Perniagaan F&B naik 80 peratus sejak semua pekerja dibenarkan kembali ke pejabat
BERITAmediacorp: Perniagaan-perniagaan makanan dan minuman (F&B) menyaksikan perniagaan mereka melonjak sehingga 80 peratus, terutamanya pada waktu makan tengah hari sejak semua pekerja dibenarkan kembali ke pejabat.
Perniagaan yang rancak itu mendorong dua restoran yang ditemui BERITAmediacorp untuk menambah bilangan tempat duduk untuk memenuhi permintaan.
Dua pengurus perniagaan F&B berkongsi dengan BERITAmediacorp tentang kebangkitan perniagaan masing-masing.
PERNIAGAAN RUMAH MAKAN MINANG SEMAKIN RANCAK, HENTI TERIMA TEMPAHAN AWAL UNTUK DUDUK MAKAN
Perniagaan Restoran Rumah Makan Minang di Kandahar Street meningkat apabila semua pekerja dibenarkan kembali ke tempat kerja penghujung April lalu.
Menurut Pengurus Operasinya, Nur Syahidah Mohd Zin jumlah pelanggan yang meningkat pada waktu makan tengah hari sangat ketara.
"Sekarang, para pelanggan mula datang awal untuk makan tengah hari. Pada jam 11.30 pagi, sudah ada ramai orang. Sampai pukul 2.00 petang pun ada pelanggan yang duduk makan. Dibandingkan dulu, pukul 12.00 tengah hari pun perniagaan masih lembab dan pukul 2.00 petang kadang-kadang sudah sunyi," kata Cik Syahidah.
Untuk memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat, Rumah Makan Minang menambah jumlah makanan untuk dijual serta kerusi meja.
Cik Syahidah berkata: "Ramai orang mulai datang makan bersama, lebih daripada lima orang sekumpulan. Untuk waktu makan tengah hari, meja sudah ditambahkan sehingga 22 peratus kerana ramai orang yang hendak duduk makan. Di tingkat dua juga kerusi meja ditambah 15 peratus."
Ia kini dapat menampung sehingga 130 pelanggan pada satu-satu masa.
Selain itu, ia juga menyaksikan jumlah tempahan bagi khidmat bufet yang tinggi daripada para pekerja di pejabat.
"Kita menerima banyak panggilan dan tempahan dari pejabat-pejabat. Mereka adakan perhimpunan Hari Raya. Jumlah pelanggan pun naik, sampai 180 orang pun ada. Mereka memilih untuk adakan bufet supaya mereka boleh makan bersama," jelas Cik Syahidah.
Meskipun perniagaan sudah kembali rancak, ia mencabar dari sudut operasi.
Cik Syahidah berkata: "Kita alami kekurangan kakitangan dan akan jejas khidmat kita sebab kita perlu bersihkan meja dan mencuci pinggan mangkuk. Pada masa yang sama kita juga perlu melayan para pelanggan."
Tambahnya terdapat rancangan untuk menyediakan tempat khusus bagi pelanggan memulangkan sendiri pinggan mangkuk selepas mereka selesai menjamu selera.
Cik Syahidah juga mendedahkan bahawa cawangannya itu tidak lagi menerima tempahan untuk tempat duduk pada waktu makan tengah hari.
"Kita sekarang fokus lebih kepada para pelanggan yang datang masuk kerana itu lebih senang dijaga, berbanding tempahan. Kalau tempahan nanti kita perlu ketepikan meja, dan orang lain datang tidak dapat duduk lagi.
PERNIAGAAN ROYZ ET VOUS NAIK 80 PERATUS, AMBIL LANGKAH KEMBANGKAN SAIZ RESTORAN
Semua tempat duduk cawangan restoran Roys et Vous di Telok Ayer Street penuh waktu makan tengah hari.
Pemilik Roys et Vous, Cik Widyanti Mohd Yusope, berkata perniagaannya meningkat 80 peratus sejak diumumkan semua pekerja sudah boleh kembali bertugas di pejabat.
Menurut Cik Widyanti, lebih 60 peratus pelanggannya merupakan para pekerja dari pejabat-pejabat berdekatan.
"Perniagaan sangat rancak sekali pada masa ini. Dengan kembalinya para pekerja, waktu makan tengah hari sangat sibuk. Dengan prestasi sekarang ini, ia kemungkinan sekitar 20 peratus kembali ke tahap sebelum pandemik COVID-19," kata Cik Widyanti.
"Kita dapat lihat kumpulan lebih besar melebihi lima orang," tambah beliau.
Cik Widyanti mendedahkan bahawa jumlah tempat duduk di cawangan itu sudah ditambah 30 peratus, dan kini mampu menempatkan sehingga 90 pelanggan pada satu-satu masa.
Cawangan restoran di Telok Ayer itu juga perlu menolak tempahan untuk sehingga 30 pelanggan setiap hari pada waktu makan tengah hari.
Beliau telah membeli ruang kedai bersebelahan yang seluas 65 meter persegi agar dapat menampung lagi 50 pelanggan pada satu-satu masa.
Kerja-kerja perluasan itu akan dimulakan pada minggu ini, dan dijangka siap pada minggu ketiga bulan Jun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.