Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perniagaan F&B rata-rata lebih bersedia hadapi perubahan peraturan: Fadilah Majid

Secara umumnya, para peniaga lebih bersedia untuk perubahan peraturan yang diumumkan Pemerintah, termasuk pelaksanaan peraturan 'dua orang semeja' semasa Fasa Penstabilan yang bermula hari ini (27 Sep) hingga 24 Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Secara umumnya, para peniaga lebih bersedia untuk perubahan peraturan yang diumumkan Pemerintah, termasuk pelaksanaan peraturan 'dua orang semeja' semasa Fasa Penstabilan yang bermula hari ini (27 Sep) hingga 24 Oktober.

Demikian menurut Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Singapura (DPPMS) Cik Fadilah Majid dalam satu wawancara bersama BERITAmediacorp.

BERSEDIA HARUNGI PERUBAHAN PERATURAN

Mengulas tentang keprihatinan para anggota DPPMS dalam sektor makanan & minuman (F&B), Cik Fadilah berkata: "Walaupun berita diumumkan Jumaat lalu, anggota dari industri F&B menyatakan bahawa mereka lebih siap sekarang untuk segala langkah hadkan jumlah orang makan luar jika keadaan bertambah buruk kerana mereka telah menjangkakan langkah tersebut."

Menurut Cik Fadilah, perniagaan-perniagaan F&B Melayu Islam juga kini lebih bersiap sedia untuk bertahan dalam industri itu menerusi langkah-langkah seperti menerapkan huraian digital, meskipun berdepan dengan pelbagai ketidaktentuan akibat COVID-19.

"Berbanding tahun lalu, kami telah menyaksikan perniagaan terus berdaya tahan untuk menghadapi cabaran pandemik," jelas Cik Fadilah.

Cik Fadilah menambah: "Namun, kerana keadaan masih tidak menentu, anggota dalam industri F&B berkongsi keprihatinan utama mereka adalah kos tenaga kerja yang tinggi dan peningkatan kos operasi."

Selain itu, berdasarkan maklum balas dari para peniaga F&B kepada DPPMS, Cik Fadilah berkata bahawa mereka berharap masa yang lebih lama akan diberikan untuk perniagaan menyesuaikan diri dengan langkah-langkah baru dan memikirkan amalan perniagaan baru untuk dipertahankan.

Dalam hal itu, Cik Fadilah berkata bahawa pihak DPPMS juga faham akan kebimbangan para peniaga, lantas akan menyediakan bentuk bantuan yang tepat untuk membantu mereka.

"Kami memahami bahawa perubahan peraturan mempengaruhi perniagaan terutama dalam industri F&B. Mereka harus terus mengubah operasi perniagaan mereka untuk menyesuaikan diri dengan langkah-langkah tersebut,' jelas Cik Fadilah.

BANTUAN PEMERINTAH TIDAK MENCUKUPI, PERNIAGAAN JUGA PERLU USAHA

Cik Fadilah berkata sejak tahun lalu, para peniaga memberi maklum balas bahawa sokongan yang dihulurkan Pemerintah "banyak membantu mereka dan memberi mereka peluang untuk bertahan dalam masa-masa sukar ini".

Sokongan tersebut termasuk Skim Bantuan Pekerjaan yang dipertingkat.

Malah demi membantu syarikat-syarikat yang terjejas oleh langkah-langkah lebih ketat COVID-19, Pemerintah akan mempertingkat Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) dari 10 peratus sebelum ini kepada 25 peratus bagi tempoh antara 27 September hingga 24 Oktober.

Namun menurut Cik Fadilah, para peniaga juga perlu berusaha untuk secara konsisten melengkapi diri dengan lebih baik untuk menangani peraturan yang berbeza.

Ini termasuk memperkenalkan lebih banyak amalan digital untuk mengurangkan kos operasi dan tenaga kerja serta lebih fokus kepada penjualan dalam talian.

Cik Fadilah juga berkata bahawa menukar produk dan perkhidmatan untuk mengurangkan kos dan pembaziran adalah penting.

Selain itu, para peniaga juga perlu mengubah model perniagaan masing-masing agar tetap dapat disesuaikan dengan perubahan peraturan dan undang-undang.

PERNIAGAAN BARU PERLU TANGKAS

Meskipun dengan ketidaktentuan perubahan peraturan yang menjejas sektor F&B di Singapura, Cik Fadilah percaya bahawa masih ada banyak peluang untuk perniagaan berkembang tidak kira keadaannya di sini.

Menurut Cik Fadilah, ia juga disebabkan kadar transformasi digital yang dipercepat kerana wabak pandemik.

Cik Fadilah menasihati para peniaga baru dan mereka yang ingin mengembangkan perniagaan mereka semasa waktu sukar ini agar melengkapi diri dengan model perniagaan yang tangkas.

"Selain itu, mereka harus memperhatikan bahawa perbelanjaan harus dilakukan secara bertahap dan mengelakkan pelaburan permulaan yang berat dalam proses pengembangan awal," tambah Cik Fadilah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan