Perniagaan dari rumah mesti patuhi 'circuit breaker'; MSF & DPPMS sedia bantu, kata Dr Faishal
Perniagaan-perniagaan dari rumah, termasuk dalam bidang makanan dan minuman (F&B) mesti memenuhi kriteria tertentu untuk terus beroperasi semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19. Jika tidak, para peniaga boleh didenda S$1,000.
SINGAPURA: Perniagaan-perniagaan dari rumah, termasuk dalam bidang makanan dan minuman (F&B), mesti memenuhi kriteria tertentu untuk terus beroperasi semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19. Jika tidak, para peniaga boleh didenda S$1,000.
Syarat-syarat ini termasuk mengendalikan hanya secara online tanpa memerlukan para pemilik perniagaan atau kakitangan mereka untuk keluar rumah dan tidak memerlukan para pelanggan atau khidmat penghantaran pihak ketiga pergi ke premis pemilik perniagaan untuk mengambil atau menghantar tempahan.
PELANGGAN, PENGHANTAR MAKANAN TIDAK BOLEH AMBIL & HANTAR TEMPAHAN
Demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) sebagai respons kepada pertanyaan media mengenai sama ada perniagaan-perniagaan seumpama itu boleh beroperasi sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan virus itu.
"Sepanjang tempoh itu, perniagaan-perniagaan dari rumah sama ada di estet perumahan awam mahupun kediaman privet hanya boleh beroperasi jika ia memenuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dan peraturan terkini di bawah Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) 2020," menurut kenyataan itu.
Keempat-empat agensi pemerintah itu menarik perhatinan bahawa pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19 sudah menekankan betapa pentingnya untuk terus mengurangkan penularan virus korona.
"Jika perniagaan dari rumah tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, maka ia harus menghentikan operasinya. Ini termasuk perniagaan-perniagaan makanan dan minuman yang beroperasi dari rumah," menurutnya.
Pihak berkuasa menegaskan bahawa tindakan akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan.
Perniagaan-perniagaan yang didapati terus beroperasi tanpa memenuhi kriteria yang ditetapkan boleh didenda S$1,000 bagi kesalahan pertama. Para pesalah berulang pula boleh dikenakan denda lebih berat atau didakwa di mahkmah.
PERNIAGAAN MELAYU/ISLAM TERJEJAS JELANG LEBARAN
Sebilangan peniaga sebelum ini menyuarakan keprihatinan terhadap langkah-langkah lebih ketat itu, terutamanya mereka yang sudahpun menerima tempahan bagi sambutan Hari Raya yang bakal menjelang.
Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dalam kenyataan medianya akur bahawa langkah itu menjejas mata pencarian perniagaan-perniagaan tersebut.
DPPMS menyatakan ia sedang bekerja rapat dengan semua pihak berkuasa relevan untuk meneliti perkara itu.
"Kami memberi jaminan bahawa pihak dewan sedang meninjau semua cara untuk menangani isu itu dan mencari huraian yang sewajarnya tanpa menjejas prosedur jaga jarak selamat," kata presidennya, Farid Khan.
PELBAGAI BANTUAN DISEDIAKAN BAGI PERNIAGAAN
Dalam catatan Facebooknya pada Sabtu (25 Apr), Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim berkata beliau memahami keprihatinan yang dibangkitkan oleh para peniaga yang terjejas.
"Saya difahamkan bahawa sesetengah peniaga sudahpun mengambil tempahan sepanjang bulan Ramadan dan sempena sambutan Hari Raya. Ia sememangnya sukar, terutamanya pada musim perayaan ini," kata Dr Faishal selanjutnya dalam catatan yang sama.
Beliau berharap agar para peniaga memahami bahawa langkah-langkah harus diperketatkan demi menyelamatkan nyawa dan melindungi Singapura daripada penularan COVID-19 yang berterusan.
"Harapan kami adalah Singapura kembali teguh sebagai sebuah negara apabila pandemik ini berakhir nanti," katanya.
Dr Faishal turut memberi jaminan bahawa Pemerintah dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bersedia membantu mereka yang terjejas sepanjang masa-masa yang mencabar ini.
Para peniaga yang kehilangan mata pencarian atau terjejas hasil pendapatan boleh mendapatkan bantuan menerusi pelbagai inisiatif pemerintah, MSF dan rakan-rakan masyarakat.
Antaranya termasuk Dana Bantuan Sementara (TRF), Skim Bantuan Pendapatan Individu Bekerja Sendiri (SIRS) dan Bayaran Khas Daya Kerja.
Mereka juga boleh mendapatkan sokongan daripada skim-skim bantuan yang disediakan oleh pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam di bawah inisiatif #SGBersatu, menurut Dr Faishal.
Berikut adalah senarai bantuan yang disediakan:
Dana Bantuan Sementara (Sehingga 30 Apr)
www.go.gov.sg/Temporary-Relief-Fund
Skim Bantuan Pendapatan Individu Bekerja Sendiri (Mulai Mei 2020)
https://www.ntuc.com.sg/sirs/
Bayaran Khas Daya Kerja
www.workfare.gov.sg
Berikut adalah sokongan yang disediakan oleh pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam:
https://www.m3.sg/sgteguhbersatu/infographics
Mereka yang memerlukan sokongan emosi dan psikologi dinasihati supaya menghubungi hotline National CARE menerusi talian 1800-202-6868.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.