Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perniagaan dari rumah dikecam, pamer mesej 'biadab' ditujukan kepada penghantar makanan

Anggaran Waktu Membaca:
Perniagaan dari rumah dikecam, pamer mesej 'biadab' ditujukan kepada penghantar makanan

(Gambar: Instagram: sgriders/wakeupsingapore)

SINGAPURA: Sebuah perniagaan dari rumah (HBB) dikecam berkaitan papan-papan tanda yang dianggap biadab dan ditujukan kepada penghantar makanan.

Sekeping gambar yang menunjukkan tulisan pada beberapa papan tanda di pintu masuk perniagaan tersebut, dimuat naik di Instagram pada Selasa (23 Apr) oleh laman berita alternatif Wake Up Singapore dan SG Riders, sebuah kumpulan yang menyifatkan diri mereka sebagai "wakil pekerja penghantaran di Singapura".

Salah satu pada papan tanda tersebut mengarahkan pekerja penghantaran supaya menekan loceng, beritahu nombor tempahan dan tunggu di luar. Terdapat bangku disediakan untuk mereka.

Papan tanda kedua mengingatkan mereka yang tiba awal bahawa "perniagaan itu perlu masa untuk menyediakan tempahan" dan menawarkan mereka pilihan untuk membatalkan tempahan.

Papan tanda ketiga pula menyatakan: "Jika anda tidak boleh tunggu... mungkin pekerjaan ini tidak sesuai untuk anda."

Ia kemudian menyenaraikan beberapa pekerjaan lain yang dikatakan tidak perlu masa menunggu seperti pembersih tandas, penggali kubur dan penghias taman.

BERSUARA UNTUK PEKERJA PENGHANTARAN

Kumpulan SG Riders melahirkan rasa kecewanya mengenai mesej itu dalam satu catatan di Instagram.

"Walaupun kami menghargai bangku yang disediakan untuk menunggu tempahan, komen yang biadab dan menghina itu tidak wajar," tulis seorang anggota kumpulan itu.

Ia menjelaskan bahawa pekerja penghantaran mungkin kelihatan seperti tidak sabar kerana pendapatan mereka bergantung kepada jumlah penghantaran yang dibuat.

Tempoh menunggu yang lama dan lokasi mengambil tempahan merupakan isu utama, kerana ia menjejas pendapatan mereka secara langsung.

Justeru, kumpulan tersebut menggesa peniagasupaya bersifat lebih bertimbang rasa dan memahami keadaan mereka.

ISU SOSIAL LEBIH LUAS

Pengguna media sosial juga tidak setuju dengan mesej-mesej tersebut.

Ramai merasakan mesej itu bernada merendahkan orang lain dan tidak menghormati pekerja penghantaran.

Bahkan ada juga yang berjanji untuk memboikot perniagaan tersebut, yang dikenal pasti sebagai perniagaan kopi dan biskut, Bincho Brews.

Ramai pengguna Instagram menekankan peranan penting yang dimainkan penghantar makanan dalam kehidupan seharian: "Anda membuli penghantar makanan? Mereka juga manusia. Tanpa mereka, saya tidak rasa saya dapat hidup. Mereka memainkan peranan penting dalam kehidupan saya."

Insiden itu juga menonjolkan isu sosial yang lebih luas, kata beberapa pengguna online.

Pengguna Instagram "cardeja" menulis: Sebenarnya, ini mencerminkan sikap masyarakat Singapura yang tidak menghormati pekerja khidmat penting dan perkhidmatan yang lain.

RESPON KEPADA MAKLUM BALAS NEGATIF

Sejak gambar itu tular, pengguna online berkongsi beberapa reaksi oleh Bincho Brew kepada maklum balas pelanggan yang negatif di GrabFood.

Seorang pelanggan yang mengatakan bahawa minuman dan kuih dibelinya "terlalu manis", dijawab oleh Binchow Brews untuk "pergi beli buah-buahan lain kali" kerana produk dibelinya "adalah pencuci mulut".

Seorang lagi pelanggan yang memberi maklum balas mengenai masa yang perlu ditunggu untuk tempahannya diberitahu bahawa tempahan dibuat berdasarkan siapa yang dahulu, didahulakan.

"Kami juga ingin menjelaskan tentang isu hak. Ia penting bagi pelanggan untuk memahami bahawa meskipun kami menghargai sokongan mereka, kami melayani setiap pelanggan secara saksama dan adil," tulis Bincho Brews.
Sumber : Today/AE/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan