Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perniagaan baru di Gedung Kuning yakin dapat melengkapi perniagaan sekeliling di Kg Gelam

Yayasan Warisan Melayu (MHF) melahirkan rasa positif bahawa daya tarikan baru di Gedung Kuning, iaitu Amazing Chambers Singapura, akan dapat menarik perhatian masyarakat dari dalam dan luar negara.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan Warisan Melayu (MHF) melahirkan rasa positif bahawa daya tarikan baru di Gedung Kuning, iaitu Amazing Chambers Singapura, akan dapat menarik perhatian masyarakat dari dalam dan luar negara.

Ini memandangkan usaha niaga Amazing Chambers merupakan konsep baru yang sebelum ini tidak terdapat di Singapura dan juga rantau Asia.

Demikian penilaian Pengurus Besar MHF Cik Julina Khusaini di majlis perasmian Amazing Chambers Singapura hari ini (1 Nov). Ia menjadi penyewa terkini bangunan bersejarah Gedung Kuning itu.

Amazing Chambers Singapura menyediakan ruang interaktif dengan tujuh tema bagi mempelajari sejarah Singapura sejak 800 tahun lalu, dengan penggunaan teknologi 'escape room'.

SALING LENGKAPI DALAM USAHA DAKAP DIGITALISASI

Dikendalikan pasangan suami isteri Encik Hendra Harjuna dan Cik Nur Izzati Mohamed Yusof, mereka yakin Amazing Chambers Singapura juga dapat saling melengkapi perniagaan di sekitar Kampong Gelam yang kian mendakap digitalisasi.

Encik Hendra menjelaskan bahawa mereka tidak bersaing secara langsung atau secara tidak langsung dengan para perniaga di sekeliling Gedung Kuning.

"Sebabnya, salah satu cara pemasaran yang kami buat adalah melalui pemasaran online dengan rakan-rakan kerja kami. Jadi pelanggan kami kebanyakannya dari pemasaran online, jadi ini akan membawa mereka berkunjung ke kawasan di sekeliling juga."

Yang pasti, menerusi permainan 'escape room' yang berdasarkan kisah-kisah seperti Sang Nila Utama, Badang, Leftenan Adnan dan Si Tanggang, sejarah-sejarah Singapura itu kini dapat menjadi lebih 'hidup' - bukan setakat dibaca atau ditonton.

Anda malah dapat 'kembali' ke zaman silam serta meneroka pengalaman dan secebis cabaran yang perlu diharungi berkurun-kurun lalu menerusi 22 'escape room' yang disediakan.

KONSEP BARU SELEPAS PERNIAGAAN RESTORAN 16 TAHUN

Konsep baru tersebut juga diwujudkan selepas bangunan bersejarah itu yang pernah menjadi sebahagian daripada Istana Kampong Gelam, menempatkan dua perniagaan restoran berbeza, iaitu Restoran Tepak Sireh dan Mamanda, sejak 16 tahun lalu.

"Kami memang mahu mencuba sesebuah konsep yang baru di mana budaya dan warisan kita lebih dekat dengan masyarakat.

"Konsep yang mereka ketengahkan itu juga mempunyai impak yang begitu mendalam dari segi sejarah itu sendiri kerana mereka menggabungkan teknologi baru dan daya imaginasi yang tinggi," jelas Cik Julina.

KAFE BUKU GALAK PEMBACAAN, PERKONGSIAN

Bukan sekadar itu, Gedung Kuning juga berhasrat menjadi sebuah gedung ilmu, dengan adanya kafe buku di aras satu, yang menggalak pembacaan dan perkongsian buku secara percuma.

Lebih 100 buku Melayu dan Inggeris, termasuk buku-buku genre sejarah, kini disediakan di sudut membaca itu.

Kafe buku berhasrat memperluaskan lagi ruang tersebut dengan mengadakan sesi seperti 'Sembang-sembang ilmu dalam sejarah' enam kali setahun. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan