Pernah hidap barah pada usia 7 tahun, Faiz Ihsan kini duta beri semangat kepada pesakit lain
Faiz Ihsan Mohamad Sofian dan keluarganya di acara Walk of Hope 2026 anjuran Yayasan Barah Kanak-Kanak (CCF). (Gambar: Juliana Ramli)
Remaja itu bernama Faiz Ihsan Mohamad Sofian dan dia merupakan duta acara Walk of Hope 2026 anjuran Yayasan Barah Kanak-Kanak (CCF).
Perjalanan Faiz dengan pertubuhan itu bermula apabila dia disahkan menghidapi Wilms Tumor pada usia tujuh tahun, sejenis barah buah pinggang yang lazimnya menjejas kanak-kanak.
Ya, melihat Faiz yang begitu bersemangat dan ceria pagi tadi, mungkin sukar untuk membayangkan dia pernah menghidapi barah.
Penyakit itu bukan sahaja membawa Faiz melalui rawatan dan kemoterapi, malah turut mengubah dirinya daripada seorang yang ceria dan aktif menjadi lebih pendiam.
Tujuh tahun kemudian, Faiz yang pernah menerima sokongan CCF kini tampil lebih yakin, dengan harapan dapat memberi semangat kepada kanak-kanak lain yang melalui pengalaman sama.
"Saya amat bangga menjadi duta kerana saya sendiri pernah menerima bantuan daripada mereka. Kini, saya pula berpeluang untuk membalas sokongan itu dan membantu mereka yang melalui pengalaman sama seperti saya," kongsi Faiz semasa ditemui BERITA Mediacorp selepas berjalan sejauh 4.5 kilometer.
CABARAN SELEPAS RAWATAN
Semuanya bermula apabila Faiz mengalami demam selepas menerima vaksin menerusi program vaksinasi di sekolah. Apabila demamnya tidak kebah-kebah dan dia mula muntah, ibu bapanya membawanya berjumpa doktor.
Doktor kemudian mengesan ketulan pada bahagian perutnya dan merujuk Faiz ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), sebelum pemeriksaan lanjut mengesahkan dia menghidapi Wilms Tumor.
Faiz menjalani rawatan selama kurang setahun pada 2018, termasuk kemoterapi sebelum dan selepas pembedahan.
Selepas rawatan, Faiz yang dahulunya ceria dan aktif menjadi lebih pendiam.
Apabila kembali ke sekolah, dia juga semakin sedar akan parut pada tubuhnya dan bimbang orang lain akan melihatnya secara berbeza.
Mengakui pernah berasa gementar apabila kembali ke sekolah, Faiz berkata: "Saya takut orang lain akan menilai saya secara berbeza kerana pernah menjalani rawatan dan menganggap ada batas pada apa yang mampu saya lakukan."
"Saya bimbang keadaan itu akan membuatkan orang lain menganggap saya kurang berkemampuan."
Melihat perubahan pada anak keduanya itu, Cik Juliana Ramli, 50 tahun, mendapatkan bantuan kaunselor sekolah dan berbincang dengan guru-guru untuk membantu Faiz menyesuaikan diri dan membina semula keyakinannya.
Faiz turut menerima sokongan CCF menerusi penjagaan di hospital dan dalam masyarakat, bantuan persekolahan, khidmat kaunseling serta Therapeutic Play yang membantunya menyesuaikan diri apabila kembali ke sekolah.
Dia juga menyertai program seperti Join and Make Music (J.A.M.M.), Youth Camp dan YouthConnect Gathering, yang membuka ruang untuknya berinteraksi dengan penerima manfaat lain.
MEMBINA JARINGAN SOKONGAN
Di acara pagi tadi, sekitar 1,200 peserta berjalan sejauh 4.5 kilometer sebagai tanda sokongan kepada kanak-kanak dan keluarga yang terjejas oleh barah kanak-kanak.
Namun, Walk of Hope bukan sekadar acara berjalan kaki. Ia turut memberi perhatian kepada perjalanan pesakit kanser selepas selesai menjalani rawatan.
Setiausaha Parlimen Kanan bagi Undang-Undang merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Eric Chua, yang juga Penaung CCF, menarik perhatian bahawa perjalanan mereka tidak berakhir selepas rawatan.
"Ia bukan sekadar tentang rawatan. Ia juga tentang apa yang berlaku selepas itu - kembali ke sekolah dan menyesuaikan diri semula dalam masyarakat," kata Encik Chua yang hadir sebagai tetamu terhormat.
Justeru, Walk of Hope tahun ini turut membuka ruang untuk kanak-kanak dan keluarga yang terjejas oleh barah bertemu mereka yang melalui pengalaman serupa dan membina jaringan sokongan.
"Jangan fikir penyakit ini membataskan apa yang mampu anda lakukan dan jangan anggap diri anda lebih rendah daripada orang lain. Anggaplah diri anda setaraf dengan orang lain," ujarnya.
PENYERTAAN MENINGKAT KEPADA 1,200
Bertemakan "Every Step Tells a Story", edisi kedua Walk of Hope menarik sekitar 1,200 peserta, meningkat daripada sekitar 800 pada edisi sulung yang diadakan di Gardens by the Bay.
Jarak laluan turut ditambah daripada tiga kilometer tahun lalu kepada 4.5 kilometer tahun ini, dengan Punggol Town Square menjadi titik mula dan akhir.
Sekitar 90 penerima manfaat CCF dan anggota keluarga mereka turut serta, berbanding lebih 80 tahun lalu.
Selain acara berjalan kaki, lapan reruai interaktif yang dikendalikan sukarelawan turut disediakan, dengan kegiatan seperti melukis muka dan mengait.
Turut hadir ialah Penasihat Akar Umbi Punggol, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong; serta Menteri Negara Kanan Dr Janil Puthucheary dan Cik Sun Xue Ling.
Anggota Parlimen Cik Yeo Wan Ling dan Penasihat Kedua GRC Punggol Encik Ahmad Firdaus Daud turut hadir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.