Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pernah bertarung nyawa, pelajar bangkit cemerlang dalam GCE O

Seperti diberi peluang kedua untuk hidup. Nurul Huda Helmi, 16 tahun menyedari betapa berharga kesempatan yang diperolehinya itu.

Anggaran Waktu Membaca:
02:53 Min
Seperti diberi peluang kedua untuk hidup.

SINGAPURA: Seperti diberi peluang kedua untuk hidup.

Nurul Huda Helmi, 16 tahun menyedari betapa berharga kesempatan yang diperolehinya itu.

Pelajar Sekolah Menengah Perempuan Cedar itu pernah bertarung nyawa ketika di Menengah 3 selepas terjatuh dari tingkat enam rumahnya dua tahun lalu.

Selama enam bulan Nurul Huda terlantar di hospital dan terpaksa menjalani pelbagai pembedahan.

(Gambar: Nurfazirah Azman)

"Saya tidak tahu jikalau saya masih akan kembali kepada keadaan sebelumnya, saya tidak tahu jikalau saya akan dapat pulih sepenuhnya kerana doktor, pakar-pakar cakap ada kemungkinan saya akan menjadi buta, yang saya tidak akan berjalan lagi atau bercakap," kata Nurul Huda.

Dia cekalkan hati dan kembali ke sekolah pada lewat 2021, apabila keadaannya bertambah pulih.

Berkat kesungguhannya serta sokongan keluarga, sekolah dan rakan-rakan, remaja itu bangkit dari kesakitan untuk meneruskan pembelajarannya sehingga dia dapat menduduki peperiksaan GCE O tahun lalu.

(Gambar: Nurfazirah Azman)

"Tiada seseorang yang menjangkakan saya boleh menduduki peperiksaan ini. Pakar-pakar, doktor di hospital semua menyangka yang saya akan tetap di hospital selama sembilan bulan. Namun selepas tiga bulan saya sudah dibenarkan pulang," tambahnya.

Anak sulung dua beradik ini turut terhutang budi dengan adiknya yang banyak menjaganya.

Hari ini, Nurul Huda boleh berbangga kerana meraih keputusan cemerlang dengan enam gred 'A'.

"Saya berasa amat terharu dan bersyukur kerana saya betul-betul tidak sangka yang saya akan mendapat keputusan yang secemerlang ini," jelasnya.

(Gambar: Nurfazirah Azman)

Dia berharap untuk melanjutkan pelajarannya di politeknik dalam bidang perubatan atau kejururawatan.

Ini juga caranya untuk membalas budi mereka yang telah membantunya.

"Bila saya dalam hospital, saya terkesan dengan bagaimana para doktor dan jururawat, kaunselor dan ahli psikologi saya, bagaimana mereka membantu dalam pemulihan saya dan saya mahu membantu orang lain seperti mana mereka telah membantu saya," kata Nurul Huda.

PELAJAR CINA RAIH A1 UNTUK BAHASA MELAYU

Seorang lagi pelajar yang menanam niat serupa untuk berbakti kepada masyarakat, khususnya masyarakat Melayu ialah Darius Song Junliang.

Bahkan minat kepada bahasa dan budaya Melayu mendorong pelajar Sekolah Tinggi Chung Cheng (Main) itu untuk mengambil subjek Bahasa Melayu Program Khas (MSP) sejak Menengah 1.

Dia bercita-cita untuk menyumbang khidmat sebagai doktor satu hari nanti.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Saya percaya bahawa dengan mempelajari belajar Bahasa Melayu, di masa hadapan saya boleh berhubung dengan pesakit atau orang lain dengan baik dan mudah. Mempelajari Bahasa Melayu boleh membantu saya memahami budaya, warisan dan sejarah Melayu dengan baik," kata Darius, yang fasih berbahasa Melayu.

Anak kedua daripada tiga beradik ini juga berkongsi, dia tertarik untuk mempelajari bahasa Melayu selepas melihat abangnya mengambil subjek Bahasa Indonesia suatu ketika dahulu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Atas kerja kerasnya, Darius meraih lapan gred 'A' termasuk gred A1 untuk MSP.

Dia berharap untuk melanjutkan pelajarannya ke Institut Hwa Chong atau Maktab Rendah Nanyang.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan