Skip to main content

Singapura

Permohonan tiket NDP 2024 dibuka 27 Mei

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 May 2024 02:03PM Dikemas Kini : 24 May 2024 11:46PM
SINGAPURA: Mereka yang berminat untuk menyaksikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini atau salah satu daripada dua sesi pratonton di Padang boleh memohon bagi tiket tersebut apabila permohonan dibuka pada pukul 12.00 tengah hari Isnin ini (27 Mei).

Rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) boleh memohon bagi mendapatkan dua, empat atau enam tiket NDP 2024 pada 9 Ogos atau salah satu daripada dua pertunjukan pratonton pada 27 Julai dan 3 Ogos, menurut Jawatankuasa Eksekutif NDP 2024 pada Khamis.

Permohonan boleh dibuat di laman NDP atau dengan mengimbas kod QR bagi mengakses borang permohonan.

Para pemohon perlu menggunakan akaun Singpass. Penganjur menjelaskan ini akan membolehkan pemohon menggunakan MyInfo di Singpass bagi pengisian borang secara automatik, dan mengurangkan percubaan tidak sah untuk mendapatkan maklumat peribadi melalui borang permohonan palsu.

Sistem undi secara elektronik akan menentukan pemohon yang berjaya. Tiket tidak diperuntukkan berdasarkan 'yang dahulu, didahulukan'.

"Setiap pemohon hanya akan dibenarkan satu peluang undi. Hanya permohonan terbaharu akan diambil kira sebagai muktamad, dan semua permohonan sebelumnya tidak akan disertakan ke dalam proses mengundi," menurut jawatankuasa itu.

Setiap tiket hanya diperuntukkan untuk seorang penonton. Semua kanak-kanak, termasuk bayi yang digendong, mesti mempunyai tiket sah.

Permohonan akan ditutup pada pukul 12.00 tengah hari 10 Jun.

Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan menerusi kiriman emel antara 21 hingga 25 Jun.

Pemberitahuan emel itu akan dikirimkan daripada ndp2024 [at] klook.com.

"Penerima sebarang pemberitahuan daripada NDP 2024 harus berhati-hati terhadap emel yang dihantar daripada alamat lain kerana ia mungkin berbentuk penipuan atau percubaan untuk memancing data," jelas jawatankuasa itu.

Sambutan NDP tahun ini pada 9 Ogos akan diperluaskan ke The Promontory @ Marina Bay.

Sambutan juga akan diadakan di lima kawasan kejiranan sehari kemudian, dengan persembahan pentas, perarakan kenderaan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF), pertunjukan bunga api serta kegiatan karnival bagi orang ramai.

Tema tahun ini, 'Bersama-sama, Sebagai Rakyat yang Bersatu Padu' menekankan "kekuatan bersama" rakyat Singapura dan menggariskan pentingnya setiap warga bersatu hati untuk membentuk masa depan dan memperkasa orang di sekeliling mereka, menurut jawatankuasa itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita