Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permohonan Surat Kuasa Berkekalan dibuat online mulai 14 Nov

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Proses permohonan Surat Kuasa Berkekalan (LPA) akan beralih ke wadah digital dari 14 November dengan pelancaran sebuah portal online.

Sistem online baru Pejabat Penjaga Awam (OPG) akan memberikan para pemohon lebih banyak kemudahan, keselesaan dan keselamatan.

Demikian diumumkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Sabtu (15 Okt).

Semua permohonan akan dibuat secara online dan bukan dalam bentuk borang kertas seperti biasanya. Selain itu, permohonan tersebut perlu ditandatangani secara digital menerusi aplikasi Singpass.

Kementerian tersebut turut menambah bahawa borang kertas mungkin masih boleh diterima dalam keadaan-keadaan tertentu tertakluk kepada kelulusan Penjaga Awam.

Proses permohonan secara digital itu adalah menyusuli penyesuaian yang dibuat kepada Akta Keupayaan Mental (MCA), yang diluluskan di Parlimen pada Julai 2021.

LPA membenarkan wakil yang dilantik untuk membuat keputusan perubatan dan kewangan bagi pihak seseorang yang kehilangan keupayaan mental.

Portal tersebut akan menggunakan MyInfo bagi mengisi borang LPA dengan butiran peribadi yang disahkan, dengan izin pengguna.

Tempoh pemprosesan dan pendaftaran bagi permohonan LPA juga akan dipendekkan dari tiga minggu kepada satu minggu setengah. Ini tidak termasuk tempoh menunggu wajib selama tiga minggu, menurut MSF.

Para penderma dan penerima, termasuk mereka yang mendaftarkan permohonan LPA sebelum pelancaran itu, dijangka dapat melihat permohonan mereka di portal tersebut. Para penderma juga boleh berkongsi LPA mereka dalam bentuk online dengan individu-individu yang dipercayai.

Kesemua borang kertas LPA yang berdaftar sebelum pelancaran sistem, kekal sah tetapi akan ditukarkan kepada versi elektronik.

Para penderma dan penerima akan dimaklumkan untuk mengesahkan ketepatan permohonan LPA secara online dan akan diberikan tempoh selama 90 hari daripada hari yang dimaklumkan untuk berbuat demikian.


Permohonan LPA dalam borang kertas sebelum pelancaran portal tersebut, masih boleh dihantar dalam tempoh enam bulan daripada tarikh tanda tangan penderma pada borang tersebut.

LANGKAH-LANGKAH MELINDUNGI DATA

MSF sudahpun menguatkuasakan langkah-langkah melindungi data untuk mencegah daripada terjadinya kehilangan atau pencurian data, akses yang tidak dibenarkan serta pendedahan yang tidak wajar.

Kesemua maklumat peribadi disimpan dengan selamat dalam server pemerintah, sekali gus mematuhi langkah-langkah keselamatan dan perlindungan data pemerintah.

Pemberitahuan segera juga akan dihantar menerusi SMS atau emel kepada semua pihak sepanjang proses pembuatan LPA, dengan menyediakan kemas kini segera status dan pengesahan tindakan untuk diambil oleh kesemua pihak.

OPG juga masih mengekalkan syarat untuk para penderma bertemu dengan pemberi sijil secara bersemuka bagi pensijilan LPA.

Syarat itu bertujuan melindungi para pemberi sijil untuk memastikan para penderma memahami LPA yang dirangka dan tidak terpengaruh oleh penipuan atau tekanan yang tidak wajar untuk membuat LPA.

Orang ramai yang memerlukan bantuan bagi proses permohonan boleh ke Pusat CitizenConnect di kelab masyarakat terpilih dan Pusat ServiceSG.

Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai portal dan proses permohonan LPA, boleh mengunjungi laman MSF atau hubungi hotline 1800 111 2222.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan