Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permohonan pasport lonjak lebih 7,000 sehari; naik 3 kali ganda sebelum pandemik

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah permohonan pasport naik kepada lebih 7,000 setiap hari, iaitu tiga kali lebih banyak berbanding 2,000 permohonan yang disaksikan sebelum COVID-19 melanda. Jumlah tersebut juga melonjak kepada setinggi 14,000 permohonan sehari. 

Ini menggesa pihak berkuasa untuk mengerahkan lebih banyak sumber bagi menangani kesesakan di Bangunan ICA. 

Semasa menjawab pertanyaan Mediacorp pada Rabu (11 Mei), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan terdapat "permintaan luar biasa" bagi pasport sejak sekatan perjalanan COVID-19 dilonggarkan. 

Pada awal Rabu (11 Mei), Mediacorp melaporkan purata masa untuk memproses pasport kini adalah sekurang-kurangnya enam minggu dari waktu permohonan, lebih lama berbanding tempoh empat minggu pada April. 

Dalam kenyataannya kepada Mediacorp, ICA menyatakan ia akan mengambil masa lebih lama untuk orang ramai menerima pasport mereka sekiranya terdapat lonjakan lebih tinggi pada jumlah permohonan atau sekiranya terdapat masalah dengan permohonan mereka. Antaranya seperti apabila gambar yang diserahkan tidak menepati syarat-syarat pihak berkuasa.  

"ICA sedia maklum bahawa ramai rakyat Singapura ghairah untuk mula melancong sekali lagi, terutama menjelang cuti sekolah Jun. Kami sedang melakukan sedaya upaya kami untuk menguruskan permintaan yang tinggi dan para pegawai kami juga bekerja lebih lama semasa tempoh ini." 

ICA menambah ia sudahpun mengerahkan lebih banyak sumber untuk memproses permohonan pasport dan menyediakan khidmat kepada orang awam yang datang ke Bangunan ICA berdekatan Stesen MRT Lavender untuk isu-isu berhubung pasport. 

"Bagi menangani kesesakan, lebih banyak kaunter pasport dibuka di tingkat-tingkat lain di Bangunan ICA. Kami juga sudah menetapkan kawasan beratur tambahan dan menjalankan penyusunan untuk memberi arahan jalan kepada orang awam supaya mereka dibawa ke lokasi yang betul." 

"Orang awam dinasihati supaya mengikut papan-papan tanda yang diletakkan di Bangunan ICA dan arahan yang diberikan oleh para pegawai apabila memasuki bangunan tersebut." 

Penguasa itu juga menasihatkan rakyat Singapura yang perlu melakukan perjalanan ke luar negara dengan segera agar mengemukakan dokumen-dokumen sokongan bagi permohonan mereka secara fizikal di Bangunan ICA untuk "penilaian berdasarkan kes".

Ia juga menegaskan bahawa para pemohon harus memastikan gambar yang diserahkan dalam permohonan pasport memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kelengahan. 

"Jika gambar yang diserahkan tidak menepati syarat-syarat, pemohon perlu menyerahkan semula gambar baru dan lebih banyak masa akan diperlukan untuk menyelesaikan permohanan tersebut." 

Menurut ICA, masih terdapat banyak slot janji temu yang disediakan di pejabat pos di merata Singapura untuk mendapatkan pasport.

Ia juga menekankan rakyat Singapura yang tidak merancang untuk ke luar negara dalam tempoh enam bulan akan datang tidak perlu memperbaharui pasport mereka sekarang jika mereka berada di dalam negeri. 

"Pasport Singapura bukanlah dokumen pengenalan wajib dan tiada denda dikenakan sekiranya pasport yang sudah tamat tempoh tidak diperbaharui," tambah ICA.

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan