Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permohonan Kemasukan Langsung ke Sekolah dibuka 12 Mei, proses diubah suai kerana COVID-19

Para pelajar yang bermohon untuk ke sekolah menengah dan maktab rendah (JC) melalui Proses Kemasukan Langsung ke Sekolah (DSA) bagi tahun kemasukan 2021 akan dapat melakukannya mulai Selasa (12 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonan Kemasukan Langsung ke Sekolah dibuka 12 Mei, proses diubah suai kerana COVID-19

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 11 May 2020 02:46PM Dikemas Kini : 11 May 2020 02:52PM

SINGAPURA: Para pelajar yang bermohon untuk ke sekolah menengah dan maktab rendah (JC) melalui Proses Kemasukan Langsung ke Sekolah (DSA) bagi tahun kemasukan 2021 akan dapat melakukannya mulai Selasa (12 Mei).

Proses DSA akan diteruskan walaupun dalam situasi COVID-19 sekarang dan penangguhan tidak akan dibuat secara "tidak perlu", kata Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan media pada Isnin.

"Sebagai sebahagian daripada penekanan berterusan kami terhadap pendidikan holistik dan perluasan definisi kejayaan, kami mahu terus membuka laluan ini untuk para lulusan sekolah rendah dan menengah tahun ini, dan tidak melakukan penangguhan tidak perlu."

Menteri Pendidikan Ong Ye Kung sebelum ini mengumumkan bahawa pelaksanaan DSA tahun ini akan diteruskan, dengan beberapa penyesuaian dibuat pada cara sekolah-sekolah menilai para pelajar di tengah-tengah langkah-langkah jarak selamat COVID-19 sekarang. Ini termasuk mengadakan temu bual melalui kaedah persidangan video.

Tiada ujian fizikal atau temu bual secara langsung akan diadakan dalam proses pemilihan DSA, menurut MOE pada Isnin.

“Sebaliknya, semua temu bual dan pemilihan calon DSA yang disenarai pendek akan dilakukan secara elektronik.

"Ini mengelakkan pergaulan pelajar dari sekolah-sekolah berbeza, sejajar dengan langkah jarak selamat.

"Ini juga akan menyediakan semua pelajar akses kepada keupayaan persidangan video, tempat dan peralatan yang sesuai, dengan penetapan dan peralatan yang diselaraskan untuk memastikan keadilan dalam proses pemilihan."

PROSES DSA DI TENGAH-TENGAH COVID-19

Semasa penilaian pemilihan, MOE menjelaskan, sekolah-sekolah DSA akan menggunakan kaedah elektronik yang sudah pun biasa digunakan seperti persidangan video dan tugasan prestasi.

“Para pelajar juga mungkin diminta semasa temu bual elektronik untuk melakukan tugasan mudah yang dapat menunjukkan sifat dan potensi mereka dalam sesuatu bidang bakat tertentu, seperti melalui lakaran pensil atau persembahan muzik.

"Kami menyedari bahawa mungkin ada batasan dalam penilaian pelajar melalui kaedah elektronik untuk bidang bakat tertentu, seperti sukan berpasukan," kata MOE, sambil menambah bahawa acara seperti Kejohanan Antara Sekolah dan Pertunjukan Seni Pesta Belia Singapura tidak boleh digunakan untuk menilai pelajar.

"Sekolah-sekolah DSA perlu lebih bergantung pada rekod prestasi pelajar di sekolah dan maklumat yang diberikan dalam permohonan mereka."

Sekolah-sekolah juga akan meneliti maklumat lain mengenai pelajar, seperti rekod kegiatan luar darjah (CCA) dan pencapaian lalu.

Menjawab soalan sama ada ini kurang adil bagi pelajar dengan kurang atau tiada latihan sebelum ini atau tiada sijil formal, MOE menyatakan sekolah DSA juga akan mempertimbangkan pelbagai sifat pelajar.

“Sekolah-sekolah akan terus menyenarai pendek pelajar dengan potensi, perwatakan teladan dan sifat peribadi yang diinginkan, tidak kira sama ada mereka mempunyai latihan sebelum ini atau sijil formal.

"Ini memastikan bahawa para pelajar dari latar belakang yang kurang bernasib baik, yang mungkin tidak memiliki sumber untuk memperolehi latihan formal, diberi pertimbangan yang sewajarnya."

MASUK LANGSUNG KE SEKOLAH MENENGAH DAN JC

DSA membolehkan pelajar masuk langsung ke sekolah menengah atau JC berdasarkan bakat dan pencapaian mereka, melebihi prestasi mereka dalam peperiksaan kebangsaan.

Walaubagaimanapun, para pelajar masih perlu mengambil PSLE ​​atau GCE Peringkat O. Sekiranya tawaran DSA dibuat, para pelajar perlu membuat keputusan untuk menerima tawaran tersebut sebelum tarikh akhir, sebelum keputusan peperiksaan kebangsaan dikeluarkan.

Bagi pelajar yang mendaftar ke sekolah menengah, mereka boleh melakukannya melalui portal online dari 12 Mei hingga 5 Jun.

Pemohon perlu mengisi satu borang online untuk memohon ke beberapa sekolah dan bidang bakat, dan boleh membuat hingga tiga pilihan. Daftar masuk SingPass ibu bapa diperlukan untuk permohonan melalui portal online.

Bagi mereka yang mendaftar untuk memasuki JC, MOE menggesa para pemohon untuk meninjau laman web DSA-JC untuk tarikh-tarikh penting atau laman web JC masing-masing.

Bantuan kewangan juga disediakan untuk pelajar yang memerlukannya melalui skim seperti Skim Bantuan Kewangan MOE (FAS), Dana Peluang, Dermasiswa Sekolah Bebas (ISB), Biasiswa Edusave untuk Sekolah Bebas (ESIS) dan Biasiswa UPLIFT.

Secara keseluruhan, terdapat 146 sekolah menengah dan 20 JC yang mengambil bahagian dalam DSA tahun ini.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan