Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permohonan ikat jamin ditolak lagi bagi wanita dilihat tanpa pelitup

Mahkamah hari ini (12 Ogos) menolak permohonan kali kedua oleh seorang wanita yang sedang menghadapi pelbagai dakwaan kerana gagal memakai pelitup di tempat awam.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Aug 2021 06:06PM Dikemas Kini : 12 Aug 2021 09:09PM

SINGAPURA: Mahkamah hari ini (12 Ogos) menolak permohonan kali kedua oleh seorang wanita yang sedang menghadapi pelbagai dakwaan kerana gagal memakai pelitup di tempat awam.

Phoon Chiu Yoke, 54 tahun, yang hadir melalui sidang video, diwakili peguam Amos Cai. Mahkamah diberitahu bahawa Encik Cai dilantik keluarga tertuduh awal minggu ini.

Phoon menghadapi 22 tuduhan, kebanyakannya kerana tidak memakai pelitup di khalayak ramai sepanjang tempoh setahun sejak pertengahan 2020.

Kejadian terbaru dilaporkan pada 25 Jun di Mandarin Orchard, semasa dia diikat jamin atas beberapa tuduhan serupa. Phoon dikenakan dakwaan sebulan kemudian dan ditahan reman setelah ikat jaminnya sebanyak S$12,000 dibatalkan.

Phoon kali terakhir dihadapkan di mahkamah melalui sidang video pada 4 Ogos untuk meminta ikat jamin, yang kemudiannya ditolak. Pada Khamis, Encik Cai juga memohon ikat jamin bagi anak guamnya, dengan berkata bahawa dia tidak membuat sebarang kesalahan sejak 25 Jun.

Beliau menambah bahawa Phoon hanya memahami keadaannya setelah hadir di mahkamah pada 6 Jul - pada hari yang sama nilai jaminannya ditambah menjadi S$12,000.

"Pada 6 Julai dia memahami betapa beratnya keadaan dan tuduhan yang dihadapinya," kata peguam itu.

Permintaan terkininya pada Khamis untuk diikat jamin, ditolak mahkamah.

Mahkamah diberitahu bahawa Phoon bercadang untuk mengaku bersalah atas dakwaan-dakwaannya. Kesnya ditetapkan bagi persidangan sebelum perbicaraan pada Jumaat, setelah ditemu bual peguamnya.

Encik Cai memohon agar kes ditangguhkan dua hingga tiga minggu, dengan alasan masa yang diperlukan baginya untuk mengesahkan kedudukan Phoon.

"Saya faham bahawa dia mempunyai beberapa pertanyaan mengenai tawaran pihak pendakwa," katanya.

Phoon pertama kali didakwa pada Disember tahun lalu setelah dia didakwa gagal memakai pelitup menutup hidung dan mulutnya di pusat penjaja Newton pada 8 Mei 2020, semasa tempoh "pemutus rantaian jangkitan".

Ini diikuti dengan kesalahan serupa di tempat-tempat seperti di luar Mahkamah Negara, Marina Bay Sands dan Clarke Quay Central. Satu video perbualannya dengan pegawai jarak selamat ketika tidak memakai pelitup di Marina Bay Sands dikongsi secara meluas online.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Phoon menggesa pihak pendakwa agar menggugurkan tuduhan terhadapnya atas kesilapan prosedur, dengan berkata bahawa dia adalah "bekas pegawai tentera laut yang profesional".

Dia direman di Institut Kesihatan Mental selama dua minggu bagi penilaian psikiatri tetapi perincian laporannya tidak didedahkan di mahkamah terbuka.

Bagi setiap tuduhan melanggar perintah kawalan COVID-19, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda hingga S$10,000, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan