Skip to main content

Singapura

Permohonan ekstradisi peguam SG Charles Yeo dibicarakan pada Mei 2025

Permohonan ekstradisi oleh pemerintah Singapura terhadap peguam Charles Yeo dijadual dibicarakan pada Mei 2025.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonan ekstradisi peguam SG Charles Yeo dibicarakan pada Mei 2025

(Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 04 Dec 2024 12:37PM Dikemas Kini : 04 Dec 2024 12:38PM
LONDON: Permohonan ekstradisi oleh pemerintah Singapura terhadap peguam Charles Yeo dijadual dibicarakan pada Mei 2025.

Beliau hadir di Mahkamah Majistret Westminster di London pada Selasa (3 Dis) sebagai sebahagian daripada perbicaraan awal.

Yeo, 34 tahun, hanya membuka mulut semasa perbicaraan itu bagi mengesahkan nama dan tarikh kelahirannya.

Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota UK memberitahu Mediacorp bahawa dia dikehendaki oleh pihak berkuasa Singapura atas dakwaan bersubahat dalam penipuan.

Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA) juga memberitahu Mediacorp pada 13 November lalu bahawa Singapura telah menghantar permohonan ekstradisi Yeo kepada UK.

Ia bagi kesalahan bersubahat dalam penipuan, di mana dana yang disalurkan kepada syarikat guamannya merangkumi sejumlah wang penyelesaian bagi tuntutan anak guamnya.

Menurut dokumen mahkamah UK, hal itu didakwa berlaku antara 29 Julai 2020 dengan 30 November 2020.

Yeo diberkas oleh pihak berkuasa UK pada 4 November lalu.

Yeo yang tidak berdepan sebarang tuduhan di UK, diberikan ikat jamin bersyarat sebanyak £75,000 (S$127,838) pada November lalu.

Namun dia masih berada dalam tahanan sejak diberkas disebabkan kepayahan untuk mengesahkan sama ada Pejabat Kerajaan UK telah menyimpan pasportnya.

Pengesahan bahawa dia tidak mempunyai akses kepada pasport yang sah diperlukan sebelum dia boleh dibebaskan dengan ikat jamin.

Ini berikutan keprihatinan mahkamah kerana dia mungkin cuba meninggalkan negara itu.

Namun, peguam Yeo menegaskan bahawa pasport anak guam mereka masih bersama Pejabat Kerajaan UK, namun mereka tidak dapat mendapat pengesahan.

Peguam Charles Yeo, Ben Cooper KC berkata di mahkamah: "Encik Yeo jelas mahu kekal berada di negara ini.

"Memandangkan bayaran ikat jamin £75,000 telah dibuat dan syarat-syarat ikat jamin yang lain, pihak mahkamah boleh berpuas hati bahawa Encik Yeo telah melakukan sedaya mungkin untuk membuktikan pasportnya masih di Pejabat Kerajaan UK.

"Tiada apa-apa lagi yang boleh Encik Yeo lakukan bagi menentukan keberadaan pasportnya."

Dalam percubaan alternatif untuk memenuhi syarat ikat jamin, mahkamah diberitahu bahawa peguam Encik Yeo cuba membatalkan pasportnya di Suruhanjaya Tinggi Singapura di London.

Namun pasukan guamannya belum menerima pengesahan pembatalan pasportnya sebelum permulaan perbicaraan mahkamah pada Selasa.

Hakim mahkamah menyatakan syarat ikat jamin yang ditetapkan oleh ketua majistret perlu dipenuhi sebelum Encik Yeo dilepaskan dengan ikat jamin.

"Jika terdapat maklumat daripada pihak berkuasa Singapura untuk mengesahkan bahawa pasportnya telah dibatalkan, sejauh ini, ia akan memenuhi syarat ikat jamin," katanya.

"Namun ia terserah kepada pihak berkuasa Singapura untuk menguruskan permohonan yang saya difahamkan dibuat semalam. Kelihatan seolah-olah anda perlu tunggu sehingga pihak berkuasa Singapura berpeluang berbuat demikian."

Satu lagi perbicaraan mahkamah dijadual pada 10 Disember, di mana pasukan guaman Encik Yeo berharap sudah diberi pengesahan daripada Suruhanjaya Tinggi Singapura bahawa pasportnya telah dibatalkan.

Jika dibebaskan dengan ikat jamin, Encik Yeo akan diletakkan di bawah pemantauan elektronik, perlu mematuhi perintah berkurung yang ketat, dan perlu melaporkan diri secara kerap ke balai polis sementara dia menantikan perbicaraan ekstradisi sepenuhnya pada tahun depan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita