Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permohonan DSA sudah dibuka untuk JC

Para pelajar yang ingin membuat permohonan ke maktab-maktab rendah pada 2020 menerusi Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung - Maktab Rendah (DSA-JC) boleh melungsuri lelaman web maktab-maktab yang terlibat bagi mendapatkan lebih banyak perincian mulai Isnin (13 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonan DSA sudah dibuka untuk JC

Para penuntut maktab rendah pada hari pertama persekolahan. (Gambar: CNA/Ruyi Wong)

Diterbitkan : 13 May 2019 06:39PM Dikemas Kini : 14 May 2019 09:51AM

SINGAPURA: Para pelajar yang ingin membuat permohonan ke maktab-maktab rendah pada 2020 menerusi Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung - Maktab Rendah (DSA-JC) boleh melungsuri lelaman web maktab-maktab yang terlibat bagi mendapatkan lebih banyak perincian mulai Isnin (13 Mei).

Proses permohonan DSA-JC membolehkan para pelajar untuk mendapatkan tempat di maktab-maktab rendah secara langsung berdasarkan bakat dan pencapaian mereka yang mungkin tidak dapat dipamerkan menerusi peperiksaan peringkat 'O'.

Jika diterima masuk ke maktab pilihan, para pelajar boleh mengembangkan lagi bakat masing-masing.

Terdapat 20 sekolah yang menyertai proses permohonan DSA-JC 2019, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dalam kenyataan medianya pada Isnin (13 Mei).

Para pelajar yang menyertai proses DSA-JC masih perlu menduduki peperiksaan GCE peringkat 'O' dan keputusan mereka mesti menepati syarat-syarat kelayakan bagi kemasukan ke maktab pilihan mereka.

Bagi para pelajar yang berjaya dalam permohonan DSA, mereka mesti membuat keputusan sama ada untuk menerima tawaran tempat di maktab rendah berkenaan sebelum keputusan peringkat 'O' dikeluarkan, tambah MOE.

Mereka yang menerima tawaran tempat di maktab rendah menerusi proses permohonan DSA perlu memenuhi komitmen untuk mengembangkan bakat mereka dalam bidang pilihan mereka di maktab masing-masing.

Mereka juga tidak akan menyertai Pendaftaran Kemasukan Bersama (JAE) dan tidak akan dibenarkan untuk berpindah ke sekolah lain selepas mendapat keputusan peperiksaan mereka.

PENDAFTARAN KEMASUKAN AWAL BAGI POLITEKNIK, ITE

Kesemua lima politeknik akan menyertai Pendaftaran Kemasukan Awal (EAE) tahun ini, menurut MOE dalam kenyataan medianya.

Permohonan menerusi EAE akan dibuka dari 27 Jun hingga 3 Jul bagi para pelajar yang menduduki peperiksaan peringkat 'O' dan dari 6 hingga 12 Jun bagi para pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Para pelajar yang ingin membuat permohonan menerusi EAE mungkin perlu menghantar portfolio, menjalani sesi temu duga dan ujian-ujian keupayaan, dan menunjukkan bakat dan pencapaian dalam bidang-bidang seperti sukan dan kepimpinan.

Mereka yang berjaya dalam permohonan mereka akan menerima tawaran bersyarat dan mesti menepati syarat-syarat minimum dalam keputusan peperiksaan mereka bagi kursus politeknik yang ditawarkan.

Jika tawaran diterima, para pelajar tidak akan layak menyertai proses permohonan ke politeknik yang lain, atau berpindah ke kursus lain dalam politeknik yang sama.

Para pelajar peringkat 'N' dan 'O' juga boleh membuat permohonan bagi kemasukan awal ke kursus-kursus Nitec dan Nitec Lanjutan di ITE menerusi proses permohonan EAE ITE dari 21 hingga 27 Mei.

Jika permohonan mereka diterima, para pelajar akan diberi tawaran bersyarat dan keputusan peperiksaan akhir mereka mesti menepati syarat-syarat minimum bagi kursus yang ditawarkan.

Mereka yang menerima tawaran kemasukan menerusi EAE ITE tidak akan layak menyertai pendaftaran masuk bersama bagi kursus-kursus Nitec Lanjutan atau Pendaftaran Kemasukan Bersama bagi kursus-kursus Nitec.

MOE menyatakan para pelajar yang menerima tawaran kursus kemasukan awal mesti memenuhi komitmen terhadap kursus pilihan mereka.

EAE BAGI ORANG DEWASA YANG BEKERJA

Golongan dewasa yang bekerja yang ingin membuat permohonan kemasukan ke politeknik-politeknik mulai tahun akademik 2019 boleh berbuat demikian antara 6 Jun hingga 3 Julai, menurut MOE.

Golongan dewasa bekerja yang ingin dipertimbangkan bagi kemasukan di bawah EAE "secara am perlu ada pengalaman bekerja yang sesuai selama sekurang-kurangnya dua tahun," menurut MOE.

Mereka perlu menyertakan rekod pekerjaan dan majikan mereka, jika ada.

"Politeknik-politeknik akan menilai secara holistik pengalaman kerja pemohon untuk menentukan kesesuaian keupayaan dan kemahiran yang ditimba sepanjang tempoh pekerjaan dengan kursus yang mereka minati," menurut MOE.

Para pelajar yang ingin membuat permohonan menerusi DSA-JC, EAE Politeknik atau EAE ITE dinasihatkan supaya melungsuri lelaman web institusi-institusi yang terlibat untuk mendapatkan maklumat lanjut sebelum permulaan proses permohonan masing-masing, menurut MOE. 

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan