Permohonan dibuka bagi golongan bujang sewa flat HDB sebelum dapatkan rakan sewa di bawah skim perintis
Mereka akan dipadankan dengan pemohon lain berdasarkan ciri-ciri yang dikongsi, di samping faktor lain.
SINGAPURA: Golongan bujang yang tidak dapat mencari rakan sewa tetapi ingin memohon flat sewa awam kini boleh melakukan sedemikian menerusi satu program perintis. Mereka akan dipadankan dengan pemohon lain berdasarkan ciri-ciri yang dikongsi, di samping faktor lain.
Dilancarkan hari ini (17 Dis), program perintis Skim Berkongsi Flat untuk Orang Bujang yang Dikendali Operator (JSS-OR) kali pertama diumumkan pada Mac lalu sebagai model "alternatif" kepada Skim Berkongsi Flat untuk Orang Bujang yang sedia ada.
Di bawah skim sedia ada, orang bujang yang layak boleh memohon bagi flat sewa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bersama kenalan mereka, seperti rakan atau saudara. Mereka juga boleh meminta HDB bagi senarai orang bujang lain untuk mencari rakan sewa. Selepas mereka menemui rakan sewa, mereka boleh memohon untuk flat sewa.
Di bawah program perintis, orang bujang boleh mendaftar bagi sebuah flat sewa secara sendirian, sebelum menemui rakan sewa. Pihak pengendali tapak-tapak perintis yang dilantik kemudian akan memadankan mereka dengan penyewa lain dan menguruskan perkongsian flat.
Syarat kelayakan untuk program perintis tersebut adalah sama dengan Skim Berkongsi Flat untuk Orang Bujang sekarang: Penyewa mestilah warga Singapura berusia 35 tahun dan ke atas, "tanpa sokongan keluarga dan pilihan perumahan lain", menurut HDB.
"Aturan (Skim Berkongsi Flat untuk Orang Bujang) untuk golongan bujang mengongsi flat membolehkan HDB untuk membantu sebanyak mungkin warga Singapura berpendapatan rendah," tambah HDB lagi.
"Ia juga membuka peluang kepada persahabatan dan sokongan bersama, yang sangat penting untuk penyewa lebih tua."
Kumpulan penyewa pertama di bawah skim itu dijangkakan berpindah ke flat mereka menjelang hujung Januari 2022.
PENGENDALI DILANTIK UNTUK JALANKAN PROGRAM PERINTIS DI DUA BLOK
Menerusi satu tender terbuka, agensi khidmat sosial Good News Community Services dilantik untuk mengendalikan program perintis JSS-OR selama tiga tahun di dua lokasi: Blok 429A Bedok North Road dan Blok 999A Buangkok Crescent.
Dalam setiap blok sewa, "beberapa tingkat" yang merangkumi flat satu dan dua bilik telah diperuntukkan bagi program tersebut. Kedua-dua lokasi itu mampu menempatkan 270 penyewa secara keseluruhan.
HDB menyatakan flat-flat tersebut akan dipasang dinding untuk memberikan penghuninya lebih banyak privasi.
"Perhiasan rumah biasa dan peralatan seperti almari, pemanas air, mesin basuh, dan peti sejuk, juga akan disediakan dalam setiap flat bagi penggunaan penyewa," menurut HDB.
BAGAIMANA RAKAN SEWA DIPADANKAN?
Sebelum flat diperuntukkan, pengendali akan menemu bual bakal penyewa untuk "menilai personaliti dan keperluan" mereka. Seorang pegawai khidmat sosial kemudian memadankan penyewa berdasarkan "persamaan dan pembangunan".
"Prinsip persamaan mengambil kira bagaimana penyewa serupa dari segi jantina, agama, kaum, bahasa yang digunakan, usia, gaya hidup, pekerjaan serta rutin/jadual harian.
"Persamaan yang tinggi meningkatkan kemungkinan penyewa dapat tinggal bersama dengan aman," jelas HDB.
Dari sudut pembangunan pula, mereka akan mempertimbangkan manfaat yang dapat diraih penyewa dari segi sokongan rakan, yang mungkin dibawa menerusi pemadanan itu.
"Memandangkan ramai antara penyewa ini tidak mempunyai sokongan keluarga, mereka boleh meraih manfaat daripada persahabatan dan sokongan yang diberi rakan sewa mereka," tambah HDB.
Demi memupuk hubungan baik dalam kalangan penyewa, pihak pengendali akan mengadakan "kegiatan berkenalan dan memperkukuh hubungan", selain kerap meninjau keadaan mereka. Ia juga akan membantu mengadakan sesi perkongsian agar penghuni dapat bekenalan antara satu sama lain.
HDB menambah pengendali akan tampil untuk menjadi pengantara jika pertikaian antara penyewa berlaku.
Jumlah sewa di bawah model perintis baru itu serupa dengan apa yang dibayar para penyewa di bawah skim sedia ada, termasuk bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan serta api air.
Sebagai perintis, model JSS-OR kini hanya dibuka kepada pemohon baru, tambah HDB.
Satu lagi tender akan dibuka pada Januari 2022 untuk lokasi lain di Bukit Batok sebagai yang ketiga di bawah program perintis itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.