Permohonan bagi Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan dibuka hingga 31 Mei
Permohonan bagi Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan (TTDS) dibuka dari Isnin (1 Apr) hingga 31 Mei 2019.
(Gambar: BERITAmediacorp)
BERITAmediacorp: Permohonan bagi Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan (TTDS) dibuka dari Isnin (1 Apr) hingga 31 Mei 2019.
Bagi para penterjemah dan pentafsir, inilah peluang untuk terus menajamkan kemahiran dalam bidang berkenaan.
Dilancarkan oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) pada tahun lalu, skim ini bertujuan untuk menggalak para penterjemah dan pentafsir rakyat Singapura dari sektor privet supaya terus membangunkan keupayaan dan mempertingkatkan kemahiran masing-masing dalam bidang tersebut.
TTDS adalah geran yang dibiayai secara bersama oleh MCI dan Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC). Jika permohonan diluluskan, para penerima geran tidak perlu terikat dengan sebarang bon.
Mereka sebaliknya akan dilantik sebagai Duta NTC selama setahun. Sebagai duta, mereka dikehendaki mengadakan sesi-sesi perkongsian yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Penterjemahan Dalam Masyarakat.
Selain itu, mereka juga perlu mengongsi dan menyumbang kepakaran mereka kepada inisiatif-inisiatif NTC yang lain.
Geran TTDS boleh digunakan untuk membiayai 90 peratus daripada kos program pembangunan keupayaan berhubung bidang penterjemahan, pentafsiran serta bahasa di Singapura dan luar negara. Ini termasuk perbelanjaan bagi program itu sehingga S$10,000.
Para penterjemah dan pentafsir rakyat Singapura yang berpengalaman dalam kerja-kerja berkaitan selama sekurang-kurangnya tiga tahun boleh mendaftar untuk menyertai skim tersebut.
Untuk maklumat lanjut mengenai TTDS, sila lungsuri laman www.mci.gov.sg/ttds. Mereka yang berminat juga boleh membuat permohonan menerusi laman tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.