Skip to main content

Singapura

Permohonan bagi Pilihan Raya Presiden SG dibuka 13 Jun

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Jun 2023 02:41PM Dikemas Kini : 12 Jun 2023 10:17PM
SINGAPURA: Bakal calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Presiden (PE) boleh membuat permohonan bagi Sijil Kelayakan (CoE) mulai Selasa (13 Jun), menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) menerusi kenyataan medianya hari ini (12 Jun).

Permohonan bagi CoE dan penyerahan pengisytiharan masyarakat akan dibuka pada 13 Jun dan ditutup pada hari kelima selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan. Permohonan yang dibuat lewat tidak akan diterima, tegas ELD.

CoE mengesahkan seseorang calon itu memiliki integriti, mempunyai perwatakan dan reputasi yang baik, serta memenuhi syarat-syarat perkhidmatan sektor awam atau privet.

Untuk layak, bakal calon mesti pernah memegang jawatan kanan dalam pejabat awam atau menerajui sebuah syarikat yang mempunyai ekuiti pemegang saham sekurang-kurangnya S$500 juta selama sekurang-kurangnya tiga tahun.

Pemohon juga harus merupakan seorang warga Singapura, dan berusia sekurang-kurangnya 45 tahun pada Hari Penamaan Calon. Beliau juga tidak boleh terikat dengan mana-mana parti politik.

Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC), yang akan menilai para pemohon dan mengeluarkan CoE, diterajui pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Encik Lee Tzu Yang.

Dalam pengisytiharan masyarakat yang mesti diserahkan kepada Jawatankuasa Masyarakat pula, bakal calon harus mengisytiharkan sama ada beliau dari masyarakat Cina, Melayu, India atau minoriti lain. Jawatankuasa Masyarakat akan dipengerusikan Encik Edward D'Silva.

ELD menjelaskan, pemohon yang tidak menganggap dirinya sebagai anggota mana-mana masyarakat yang disebutkan, boleh menyatakan perkara ini dalam pengisytiharan masyarakatnya. Jawatankuasa Masyarakat akan menerima pengisytiharan itu lalu mengeluarkan notis penerimaan atau mempelawa pemohon itu untuk menyerahkan satu lagi pengisytiharan bagi salah satu masyarakat.

Walaupun pilihan raya akan datang dibuka kepada semua kaum, pengisytiharan diperlukan bagi menentukan bila pilihan raya yang dikhususkan buat kumpulan masyarakat tertentu, akan diadakan.

Jika tidak ada orang dari masyarakat tertentu dilantik ke pejabat Presiden sejak lima penggal sebelum itu, pilihan raya seterusnya akan dikhususkan bagi masyarakat tersebut.

ELD menyatakan, bakal calon digalakkan menggunakan khidmat-khidmat digital di lamannya untuk mengisi borang permohonan bagi CoE. Borang itu harus dicetak dan diserahkan kepada ELD, berserta semua dokumen berkaitan, dalam tempoh lima hari selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan.

Kaunter awam ELD kini terletak di Novena Rise, selepas ia dipindahkan dari Prinsep Link pada 2021.

PEC akan mengeluarkan CoE paling lewat sehari sebelum Hari Penamaan Calon dan para pemohon akan dimaklumkan tentang keputusan permohonan mereka.

ELD menyatakan Pilihan Raya Presiden akan diadakan bila-bila masa dari 13 Jun, dan jika ia tidak diadakan sebelum penggal Presiden sekarang berakhir, ia akan diadakan tidak lama selepas itu. Penggal Presiden Halimah Yacob akan berakhir pada 13 Sep.

"Kami tidak dapat mengulas lanjut tentang bila Pilihan Raya Presiden akan diadakan, kerana perkara ini akan diputuskan Perdana Menteri," jawab ELD kepada media.

Dalam PE pada 2017, permohonan bagi CoE dibuka pada 1 Jun dan Writ Pilihan Raya dikeluarkan pada 28 Ogos. Hari Penamaan Calon diadakan pada 13 Sep 2017.

Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam satu-satunya individu yang sudah mengumumkan hasratnya untuk bertanding bagi jawatan presiden setakat ini. Namun para pengamat mencadangkan pengasas Harvey Norman Ossia, George Goh, mungkin dapat menjadi pesaingnya.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita