Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permohonan bagi geran baru jagaan di rumah dibuka mulai 1 Okt

Warga tua atau penjaga mereka boleh mula memohon untuk mendapatkan geran baru bagi menampung kos jagaan jangka panjang mulai 1 Oktober ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (25 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonan bagi geran baru jagaan di rumah dibuka mulai 1 Okt

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 25 Sep 2019 06:10PM Dikemas Kini : 25 Sep 2019 06:14PM

SINGAPURA: Warga tua atau penjaga mereka boleh mula memohon untuk mendapatkan geran baru bagi menampung kos jagaan jangka panjang mulai 1 Oktober ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (25 Sep).

Geran Penjagaan di Rumah (HCG) itu menggantikan Geran Pembantu Rumah Asing (FDW) yang ada sekarang dengan sebanyak S$200 disediakan setiap bulan.

Menurut MOH dalam kenyataan medianya, mereka yang sudahpun menerima geran FDW akan didaftarkan secara automatik ke dalam HCG dan tidak perlu memohon.

Jelas MOH, geran baru tersebut yang berbentuk bayaran wang tunai bulanan akan disalurkan kepada penerima jagaan yang layak. Beliau juga boleh memilih seorang penjaga untuk menerimanya bagi pihak beliau.

MOH menambah, para penerima mempunyai lebih banyak fleksibiliti untuk menggunakan wang geran tersebut seperti mendapatkan pembantu rumah, khidmat berasaskan masyarakat dan di rumah serta pengangkutan untuk berjumpa doktor.

Untuk layak menerima HCG, MOH menyatakan penerima jagaan mesti memenuhi beberapa ukur tara termasuk sentiasa memerlukan bantuan dalam sekurang-kurangnya tiga kegiatan seharian (termasuk makan, menyalin pakaian, menggunakan tandas dan bergerak).

PENDAFTARAN JAGAAN SEMENTARA

Para penjaga juga boleh menjangkakan khidmat bantuan jagaan sementara menerusi sistem pra pendaftaran perintis oleh Agensi Jagaan Bersepadu (AIC) yang dipanggil 'Go Respite'.

Menurut laman web AIC, di bawah khidmat tersebut pemberi jagaan boleh mengambil masa rehat sementara dengan penjagaan orang tersayang mereka diambil alih oleh rumah rawatan atau pusat jagaan warga tua.

Secara purata, masa untuk mengaktifkan khidmat itu bagi mereka yang di bawah sistem perintis tersebut adalah sekitar seminggu bagi pusat warga tua dan dua minggu untuk rumah-rumah rawatan. Menurut MOH, tempoh masa itu lebih cepat berbanding empat minggu bagi mereka yang tidak berada di bawah sistem perintis berkenaan.

MOH menambah, sejak dimulakan April lalu, AIC sudah menerima hampir 150 permohonan pra pendaftaran. Setakat ini, lebih 10 peratus pemohon itu sudahpun mengaktifkan khidmat jagaan sementara di bawah sistem perintis tersebut.

Sejak September tahun ini, terdapat 20 pusat jagaan warga tua dan 26 rumah rawatan yang mengambil bahagian dalam inisiatif perintis 'Go Respite' termasuk St Luke’s Eldercare (Ayer Rajah), Vanguard Senior Care dan Econ Nursing Home (Recreation Road).

Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada Pelan Bertindak Sokongan Penjaga yang diumumkan MOH pada Februari 2019. Pelan tersebut mengukuhkan sokongan buat para pemberi jagaan dalam aspek-aspek termasuk sokongan kewangan.

MOH juga menyatakan untuk membolehkan penjaga dan warga tua memperolehi akses kepada maklumat dengan lebih baik serta mendapatkan rujukan kepada khidmat dan geran, ia akan memperluaskan kaunter AIC Link ke Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) terpilih di kawasan masyarakat.

Sekarang ini, kaunter AIC Link disediakan di lapan tempat di hospital akut dan masyarakat serta pejabat AIC di Maxwell Road.

MOH menambah, tiga lagi cawangan AIC Link di Choa Chu Kang, Nee Soon dan Pasir Ris akan siap menjelang hujung tahun ini. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan