Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permohonan bagi flat BTO pada November merosot tetapi permintaan kekal kukuh

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonan bagi flat BTO pada November merosot tetapi permintaan kekal kukuh

(Gambar: Facebook/Desmond Lee)

SINGAPURA: Bilangan pemohon bagi flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) jatuh dalam penjualan terbaru. Ini sekali gus bermakna bahawa para pemohon kali pertama akan mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapatkan flat.

Namun demikian, terdapat lebih 25,000 pemohon bagi flat Jualan Baki Flat (SBF), lantas menunjukkan permintaan kukuh yang berterusan bagi flat-flat baru.

Secara keseluruhannya, terdapat 49,912 pemohon untuk mendapatkan flat bagi penjualan pada November, yang ditutup semalam (1 Dis). Daripada jumlah itu, 24,562 permohonan adalah bagi flat BTO manakala 25,350 permohonan adalah untuk flat SBF.

Jumlah pemohon flat BTO pada November lebih rendah daripada 39,136 yang dicatatkan semasa pelancaran pada Ogos lalu. Tiada flat SBF ditawarkan semasa pelancaran pada bulan tersebut.

Flat SBF adalah unit-unit yang tidak terjual daripada pelancaran atau pembangunan sebelumnya dan pembinaan flat tersebut lazimnya siap lebih cepat atau sudah selesai dibina.
Cik Christine Sun, Naib Presiden Kanan bagi kajian dan analisis di OrangeTee & Tie, menarik perhatian bahawa terdapat lebih banyak permohonan bagi unit SBF berbanding flat BTO bagi pusingan kali ini.

Ini meskipun terdapat bilangan flat SBF yang jauh lebih rendah bagi pusingan tersebut. Terdapat 1,071 flat SBF dan 9,655 flat BTO yang ditawarkan semasa pelancaran pada November lalu. Kadar permohonan secara keseluruhan bagi unit SBF adalah 23.7, iaitu lebih tinggi berbanding 2.5 untuk flat BTO.

Cik Sun malah mengatakan bahawa ini merupakan kadar permohonan flat BTO keseluruhan yang terendah dicatatkan sejak September 2019, dengan nisbah permohonan 2.1.

PELUANG LEBIH TINGGI UNTUK DAPATKAN FLAT

Dengan lebih banyak unit BTO ditawarkan dan bilangan pemohon yang lebih sedikit, mereka yang memohon bagi flat BTO kali ini mungkin mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapatkannya. Ini terutama sekali bagi para pemohon kali pertama, memandangkan kebanyakan flat diperuntukkan buat mereka.

Cik Sun menjelaskan bahawa kemerosotan dalam bilangan pemohon mungkin dikaitkan dengan beberapa sebab, misalnya, permintaan yang beralih kepada unit SBF dan ramai rakyat Singapura yang sudahpun membeli flat baru sejak beberapa pelancaran lalu.

"Segelintir daripada mereka mungkin tidak meneruskan hasrat mereka untuk membeli flat kerana mereka ingin membeli rumah yang mana pembinaannya sudahpun selesai, dalam pasaran peringkat kedua, dengan harga flat jualan semula mungkin jatuh menyusuli langkah-langkah yang diperkenalkan untuk meredakan pasaran," terang Cik Sun lanjut.

Beliau menambah bahawa terdapat pilihan yang terhad memandangkan kebanyakan flat BTO di estet-estet belum matang terletak di Yishun dan Tengah.

Bagi estet-estet matang, terdapat pelancaran di Kallang dan Queenstown. Projek di Kallang dan dua projek di Queenstown adalah dilancarkan di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) yang mempunyai tempoh minimum menghuni 10 tahun dan kriteria penjualan yang lebih ketat.

Bakal pemilik flat PLH juga perlu memulangkan sebahagian peratusan daripada harga penjualan semula unit mereka kepada HDB.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan