Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permohonan 6 bakal peguam ditangguh gara-gara tipu dalam peperiksaan

Mahkamah Tinggi menangguhkan permohonan enam pelatih untuk diterima menjadi peguam antara enam hingga 12 bulan kerana disyaki wujud salah laku.

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonan 6 bakal peguam ditangguh gara-gara tipu dalam peperiksaan

Mahkamah Tinggi di Singapura. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Mahkamah Tinggi menangguhkan permohonan enam pelatih untuk diterima menjadi peguam antara enam hingga 12 bulan kerana disyaki wujud salah laku.

Menurut keputusan Hakim Choo Han Teck pada Isnin (18 Apr), keenam-enam calon peguam itu didapati menipu dalam peperiksaan kelayakan untuk diterima menjadi peguam pada 2020, termasuk dalam kertas etika dan tanggungjawab profesional.

Keenam-enam calon itu adalah dalam kalangan 26 peguam pelatih yang mengemukakakan permohonan mereka kepada Hakim Choo pada Rabu lalu.

Untuk menjadi peguam di Singapura, siswazah undang-undang perlu diterima menjadi peguam selepas menduduki peperiksaan yang dikenali sebagai 'Bahagian B'. Para lepasan universiti luar negara pula perlu mengambil peperiksaan tambahan, iaitu 'Bahagian A'.

Bagaimanapun Peguam Negara berpendapat keenam-enam calon tersebut bukan orang yang layak dan tidak sepatutnya menjadi peguam, "sekurang-kurangnya buat sementara waktu". Ini memandangkan mereka tidak jujur dan berwibawa kerana menipu dalam peperiksaan Bahagian B.

SALING BERKONGSI JAWAPAN

Lima daripada enam calon tersebut didapati berhubungan antara satu sama lain dan berkongsi jawapan dalam enam kertas peperiksaan menerusi WhatsApp.

Seorang lagi calon berpakat dengan calon lain untuk menipu dalam tiga kertas peperiksaan. Dia memberi alasan jawapannya sama dengan rakannya itu kerana mereka mengulang kaji bersama-sama dan berkongsi nota pelajaran.

"(Jawapannya) bukan setakat serupa, malah mengandungi corak dan kesilapan yang sama. Ia bukan setakat serupa tetapi sama - dengan segala kecatatannya."

Menurut mahkamah, tiada aduan dibuat berkenaan rakan subahatnya itu.

Keenam-enam pemohon tersebut sudahpun lulus selepas mengambil semula peperiksaan Bahagian B.

Mahkamah diberitahu bahawa kumpulan lima calon terdahulu diwajibkan mengambil semula peperiksaan Bahagian B manakala yang seorang lagi disyaratkan supaya menjalani semula keseluruhan kursus sebelum menduduki peperiksaan.

Ini kerana calon yang seorang itu menolak sebarang dakwaan salah laku, tidak seperti baki lima calon tersebut yang mengakui salah laku mereka sebaik saja Institut Singapura bagi Pendidikan Undang-Undang (SILE) memulakan siasatan.

PELUANG KEDUA UNTUK BERMUHASABAH

Menjelaskan keputusan untuk menangguh prosiding permohonan kumpulan lima calon tersebut selama enam bulan, dan selama 12 bulan bagi yang seorang lagi, Hakim Choo Han Teck menarik perhatian bahwa prosiding permohonan mereka bukanlah satu proses yang melibatkan tindakan disiplin.

Sebaliknya, ia terpulang kepada mahkamah sama ada untuk membenarkan permohonan mereka untuk diterima menjadi peguam.

Hakim Choo menerima hujah AGC bahawa menangguh pelantikan calon-calon terbabit akan memberi mereka masa untuk bermuhasabah tentang kesilapan mereka. Ini demi manfaat diri mereka sendiri dan segenap peguam tempatan.

"Kebanyakan pemohon itu sudah menjalani latihan dalam syarikat-syarikat besar dan ternama, termasuk dua syarikat luar negara yang bertapak di sini," ujar Hakim Choo dalam keputusannya.

ADAKAH BUDAYA MENIPU BERLELUASA?

Hakim Choo mengarahkan agar nama calon-calon berkenaan tidak didedahkan supaya tidak menjejas kerjaya mereka dalam jangka panjang. Beliau juga mengarahkan agar fail mereka ditutup.

Namun perbuatan mereka itu menimbulkan pelbagai soalan.

Khususnya, Hakim Choo bertanya sama ada terdapat "budaya menipu yang berleluasa pada peringkat awal pendidikan seseorang pemohon".

"Kerjaya ini menyanjung kejujuran sebagai antara nilai-nilai tertinggi, dan adalah terbaik agar tidak tersilap langkah kerana kurang jujur sejak dari mula," ujar Hakim Choo.

"Dalam erti kata lain, peguam yang baru - mahasiswa undang-undang - harus boleh dipercayai."

Sumber : BERITA Mediacorp/CNA/ZM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan