Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan umrah tinggi meskipun harga tiket pesawat dan hotel dijangka naik

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Permintaan bagi pakej-pakej umrah masih tinggi meskipun harga tiket pesawat dan hotel dijangka naik.

Dalam pada itu ejen-ejen penjualan pakej umrah juga menawarkan pilihan yang lebih pelbagai kepada bakal pelanggan.

Ini termasuk pakej umrah khusus bagi bakal mempelai.



Syarikat Zaky Alwie Travel & Services misalnya merupakan antara empat ejen penyedia pakej umrah yang terlibat dalam pameran Mega Wedding & Lifestyle 2023 pada 13-15 Jan.

"Kami menawarkan pakej umrah hingga akhir tahun 2023. Bukan itu sahaja, kami juga ada pakej yang terbaru yang kami uruskan iaitu pakej 'Honeymoon' Umrah," kongsi Pengurus Akaunnya, Cik Nurul Jannah Taufik.

"Harganya kami juga akan kekalkan hingga 28 Februari ini. Yang paling istimewa untuk Expo kali ini adalah S$100 pendaftaran untuk setiap seorang sahaja," tambahnya lagi.

Menurut syarikat itu, mereka melihat terdapat permintaan daripada pasangan yang ingin menunaikan umrah tetapi juga mahu satu pengalaman yang lebih peribadi.

Lantas, mereka memutuskan untuk menawarkan pakej bulan madu, yang termasuk pengangkutan peribadi buat pasangan itu sahaja bersama seorang mutawwif.



Walaupun Zaky Alwie Travel & Services baru sahaja mula bertapak dalam industri umrah, mereka mengambil kesempatan untuk bekerjasama dengan pihak penganjur seperti MegaXpress International Pte Ltd untuk mempamerkan pakej-pakej umrah mereka di Expo.

Buat masa ini, syarikat itu melihat permintaan yang semakin meningkat bagi pakej-pakej umrah yang ditawarkan.

"Sudah pasti permintaan meningkat dari masa ke masa. Walaupun ada meningkatnya harga tiket pesawat dan harga pajak hotel tidak lama lagi, itu tidak meruntuhkan semangat dan hasrat rakyat Singapura untuk melakukan ibadah Umrah," ujar Cik Jannah.

PAKEJ UMRAH UNTUK BAKAL MEMPELAI



Berhubung kerjasama dengan ejen-ejen penjualan umrah dalam pameran pengantin kali ini, Pengarah Urusan MegaXpress International, Hamzah Abdullah berpendapat bahawa ini merupakan satu konsep baru yang boleh diteroka.

"Saya rasa daripada wisata, melancong, kenapa tidak kita adakan pakej umrah? Mana tahu satu hari nanti untuk bakal mempelai, mereka akan terbuka hati untuk ibadah Haji pula? Peluang yang belum diteroka ejen-ejen pelancongan Singapura. Ini konsep yang saya rasa akan menjadikan sesuatu jalur pemasaran untuk ke depan," tambah beliau.

Beliau mengalu-alukan kerjasama dengan ejen-ejen penjualan umrah dalam masa akan datang ini.



Pameran Mega Wedding & Lifestyle 2023 yang diadakan dari 13 hingga 15 Januari di Singapore Expo itu menawarkan lebih 200 gerai.

Ini termasuk gerai-gerai yang menyediakan khidmat berkaitan perkahwinan serta produk-produk gaya hidup.

Selain daripada para penjual tempatan, terdapat juga mereka dari luar negara termasuk Indonesia.

Secara keseluruhan, sekitar 30,000 orang mengunjungi pameran selama tiga hari itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan