Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan tinggi bagi pakej umrah hujung tahun meski harga pakej melonjak hingga 40%

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Permintaan bagi ibadah umrah hujung tahun terus kukuh meskipun harga pakej yang ditawarkan sudah melonjak sehingga 40 peratus.

Ejen-ejen pelancongan Islam yang kami temui menyatakan lonjakan harga itu berpunca daripada pelbagai kos seperti harga hotel dan pengangkutan yang lebih tinggi.

Syarikat Hamidah Travel & Tours menyaksikan permintaan yang kukuh bagi pakej umrahnya sehingga hujung tahun ini.

Pakej umrah membentuk 70 peratus daripada penjualan pakej yang ditawarkan syarikat ini, dengan bakinya merupakan pakej wisata ke tempat-tempat seperti Turki, Dubai dan Eropah.

Menurut pengarah syarikat Hamidah Travel & Tours, Encik Badruzzaman Abdul Majid, harga pakej umrah yang ditawarkan sekarang adalah lebih tinggi.

Sebagai contoh, pakej bagi perjalanan 11 hari pada bulan November berharga S$3,650 manakala pakej yang termasuk wisata ke Baitulmakdis selama 15 hari bermula pada harga S$4,950.

"Bermula daripada bulan September sampai Disember, saya rasa permintaan terlalu banyak tapi tempat duduk untuk pesawat berangkat agak kurang. 

"Rata-rata harganya lebih daripada 30% naik daripada harga yang kita biasa buat sebelum pandemik," ujar Encik Badruzzaman. 

Satu lagi faktor adalah acara Piala Dunia FIFA yang bakal berlangsung di Qatar.

"Sekarang rombongan dari Singapura ini akan menaiki pesawat dari Timur Tengah. Sekarang dengan adanya Piala Dunia FIFA nanti pada bulan November sampai Disember, permintaan untuk terbang ke negara-negara Timur Tengah naik," tambah Encik Badruzzaman.  

Syarikat Al Munawwarah turut menyaksikan permintaan kukuh bagi pakej umrahnya.

Permintaan melonjak 50 peratus bagi bulan Disember meskipun harganya lebih mahal.

"Saya rasa untuk hotel dan kapal terbang permintaan terlalu tinggi pada bulan akan datang ini terutama pada bulan November dan Disember. 

"Kapal terbang dan kos pengangkutan naik hampir dalam 40 hingga 50 peratus. 

"Sebelum COVID-19 harga hotel selalunya naik 20 peratus sahaja kalau untuk masa-masa musim umrah. Tetapi pada tahun ini, harganya terlalu tinggi terutama hotel yang syarikat saya pilih. Mereka telah naikkan dalam sekurang kurangnya 50 peratus. Itu yang tidak saya jangkakan," kata Pengarah Al Munawwarah Travel & Tours, Cik Rasidah Mohamed Din. 

Kedua-dua ejen akur bahawa mereka mungkin terpaksa menyerap sebahagian daripada kenaikan kos untuk pakej-pakej yang sudahpun terjual.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan