Permintaan tinggi bagi kambing korban di S’pura; lebih 90% kambing Australia ditempah
Lebih 90 peratus 1,200 ekor kambing biri-biri dari Australia yang diimport syarikat Aaliyah's Pte Ltd untuk ibadah korban tahun ini sudah ditempah.
BERITAmediacorp: Gerakan SalamSG menerima 5,227 tempahan bagi kambing korban menerusi 52 masjid tahun ini apabila pendaftaran ditutup pada Jumaat lalu (23 Jun).
Jumlah itu melebihi sasaran tahun ini iaitu 4,500 ekor kambing dan hampir setara dengan 5,400 ekor yang ditempah pada tahun lalu.
Dalam pada itu, lebih 90 peratus kambing dari Australia untuk ibadah korban secara langsung tahun ini sudah ditempah setakat ini.
Dua pengendali privet yang menganjurkannya tahun ini berkata permintaan untuk ibadah korban dalam negara meningkat menjelang Hari Raya Haji lusa (29 Jun).
LEBIH 90 PERATUS KAMBING AUSTRALIA SUDAH DIPENUHI, KAMBING DARI LADANG HAY DAIRIES SUDAH HABIS DITEMPAH
Lebih 90 peratus daripada 1,200 ekor kambing biri-biri dari Australia yang diimport syarikat Aaliyah's Pte Ltd untuk ibadah korban tahun ini sudah ditempah.
Kambing biri-biri itu berharga S$780 seekor, dan beratnya di antara 40 hingga 42 kilogram.
Upacara korban bagi kambing biri-biri itu akan dijalankan di Masjid Petempatan Melayu Sembawang selama tiga hari, pada hari-hari Tasyrik.
Pada tahun ini, Aaliyah's Pte Ltd turut bekerjasama dengan anak syarikat Shahidah Travel & Tours, iaitu Ayoobi untuk mendapatkan tempahan kambing biri-biri dari Australia itu.
Ayoobi menerima tempahan bagi 30 ekor kambing korban yang dibawa masuk syarikat Aaliyah's Pte Ltd sejak pendaftaran dibuka sekitar sebulan lalu.
Menurut pengasas Aaliyah's Pte Ltd, Encik Rafee Eunos, permintaan bagi kambing-kambing Australia itu melonjak pada hari-hari terakhir menjelang Hari Raya Haji pada Khamis ini (29 Jun).
"Setakat ini, sekitar 80 ekor sahaja yang belum ditempah," kata Encik Rafee.
Tambahnya, sekiranya ada kambing yang tidak ditempah, daging korban itu akan didermakan.
"Daging-daging akan diagihkan kepada Free Food For All. Ini akan dapat dimanfaatkan badan itu menerusi 40,000 paket makanan yang diagihkan kepada para penerima bantuan untuk setiap bulan," kata Encik Rafee.
KAMBING-KAMBING HAY DAIRIES SUDAH DITEMPAH SEPENUHNYA UNTUK IBADAH KORBAN
Di samping itu, 180 ekor kambing jenis American Nubian dari ladang ternakan kambing tempatan Hay Dairies ditempah sepenuhnya.
Encik Rafee berkata baki 20 ekor kambing yang belum ditempah pada minggu lalu sudah diambil.
"Kami juga agak terkejut sebab kadar penempahan tidak begitu tinggi pada mulanya, tetapi ia semakin meningkat pada minggu lalu, pada penghujung waktu ini."
Encik Rafee berpendapat bahawa lebih ramai sohibul korban yang terbuka untuk menjalankan ibadah korban di dalam negara.
Beliau juga mendedahkan kira-kira 50 peratus yang membuat tempahan kambing Hay Dairies merupakan pelanggan yang melakukan ibadah korban untuk kali pertama.
80 PERATUS KAMBING KORBAN ALIYAH RIZQ DIPENUHI
Syarikat Aliyah Rizq Holdings Pte Ltd yang menawarkan khidmat korban secara langsung di Singapura untuk pertama kali turut menyaksikan permintaan tinggi.
Setakat ini, 80 peratus kambing daripada 320 ekor kambing biri-biri dari Australia yang ditawarkan firma itu telah ditempah.
Setiap ekor kambing tersebut berharga S$675.
Upacara korban bagi kambing biri-biri itu akan dijalankan di di Persatuan Arab Al Wehdah yang terletak di Lorong 37 Geylang pada Khamis ini (29 Jun).
"Kami agak yakin untuk habiskan. Jadi untuk permulaan, kita tidak membawa masuk terlampau banyak kambing. Takut tidak habis dijual, pun kita susah juga.
"Kebelakangan ini nampaknya tempahan semakin meningkat. Dalam berapa hari yang kelmarin ini, para sohibul korban menempah lebih daripada 40 ekor kambing," kata pengarah syarikat itu, Encik Mohamad Nor Ashraf Abu Bakar.
Encik Ashraf juga melihat trend di mana para sohibul korban menempah lebih daripada lima ekor kambing.
"Para sohibul korban ada yang semuda 25 tahun, paling tua sekitar 70 tahun. Dalam satu tempahan, yang paling banyak yang kita nampak adalah lapan ekor kambing. Ini semua akan diagihkan kepada ahli keluarga mereka," jelas Encik Ashraf.
Selain menjalankan ibadah korban di Al-Wehdah, syarikat Aliyah Rizq Holdings Pte Ltd turut membekalkan 100 ekor kambing biri-biri untuk khidmat korban yang ditawarkan Persatuan Muhammadiyah.
Kakitangan persatuan itu memberitahu BERITAmediacorp, kira-kira 80 peratus ekor kambing yang ditawarkannya sudah ditempah setakat ini.
Ibadah korbannya akan dijalankan di ibu pejabat Muhammadiyah di Jalan Selamat pada Khamis ini (29 Jun).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.