Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan tinggi bagi bengkel persediaan PSLE; ada ibu bapa daftarkan anak seawal Mac

Demam peperiksaan kini semakin hangat dirasakan oleh para pelajar terutama bagi mereka yang bakal menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Anggaran Waktu Membaca:
Permintaan tinggi bagi bengkel persediaan PSLE; ada ibu bapa daftarkan anak seawal Mac

(Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

SINGAPURA:  Demam peperiksaan kini semakin hangat dirasakan oleh para pelajar terutama bagi mereka yang bakal menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Dengan tinggal kurang sebulan sebelum kertas PSLE yang pertama, ada ibu bapa yang menghantar anak-anak  mereka ke bengkel-bengkel peperiksaan semasa cuti sekolah September ini sebagai persiapan saat-saat akhir.

Tinjauan BERITAmediacorp mendapati beberapa pusat tuisyen menikmati permintaan tinggi bagi kelas-kelas berkenaan.

Walaupun bengkel-bengkel sudah dapat diadakan secara fizikal, pusat-pusat tuisyen tetap menyaksikan sambutan tinggi bagi bengkel-bengkel yang dikendalikan secara online. 

Salah satunya adalah pusat tuisyen Genius Young Minds yang menganjurkan "bootcamp" atau bengkel-bengkel Matematik bagi murid-murid Darjah 1 hingga 6.


Pusat itu menawarkan dua sesi 'bootcamp' yang dijalankan secara fizikal dan tiga sesi online pada tahun ini dengan setiap sesi dapat menampung antara 30 hingga 40 peserta.

Pada tahun lalu, ia mengendalikan empat bengkel online dengan kira-kira 160 peserta.

"Sejauh ini sambutan bagi program PSLE Math Bootcamp untuk Genius Young Minds sangat memuaskan dan sangat positif. Para ibu bapa daftar seawal Mac, mereka sebenarnya bertanya atau menempah slot-slot mereka lebih awal. Sehingga hari ini saya masih ada ramai yang berada dalam senarai menunggu untuk menyertai 'bootcamp' kami," kata Nur Hidayah Mohamed Ismail, Guru Tuisyen di Genius Young Minds.

Untuk memenuhi permintaan tersebut, pusat itu telah menambah satu lagi bengkel online pada 20 September nanti.

"Bengkel yang diadakan secara maya tetap menarik perhatian para ibu bapa kerana ia mungkin lebih mudah untuk mereka, lebih senang untuk anak-anak mereka pelajari dari rumah dan ibu bapa boleh sertai sama di rumah dan membuat soalan-soalan ataupun sertai bootcamp itu bersama anak mereka," kata Cikgu Hidayah lagi.

MAKIN RAMAI IBU BAPA SEDAR KEPENTINGAN BAHASA MELAYU

Selain bengkel persediaan PSLE bagi subjek Matematik, bengkel-bengkel Bahasa Ibunda turut mendapat sambutan hangat.

Pusat Bahasa Nusa turut menyaksikan permintaan tinggi bagi bengkel-bengkel pengayaan Bahasa Melayu kendaliannya yang bermula hari ini (5 Sept) hingga 8 September. 

Kesemua tempat bagi bengkel online selama dua hari itu sudah penuh.

"Saya rasa para ibu bapa semakin sedar tentang kepentingan Bahasa Melayu. Dahulu, tumpuan mereka lebih pada subjek Matematik dan Sains. Namun, mereka kini lebih sedar bahawa mata pelajaran Bahasa Melayu juga sama penting dengan subjek-subjek lain,"  kata Pengarah Program di Pusat Bahasa Nusa, Cikgu Hayati Abdullah.

Cikgu Hayati juga berkongsi bahawa strategi pusat itu adalah untuk membantu murid-murid menghadapi ujian lisan. Ini kerana ujian merangkumi 25 peratus daripada keseluruhan markah kertas PSLE Bahasa Melayu.

Selain itu, pusat itu turut menggalakkan penyertaan ibu bapa dalam persediaan anak-anak mereka.

Para ibu bapa dapat mengakses sebuah portal pendidikan yang mengandungi rakaman setiap bengkel online yang disertai anak-anak mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan