Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan restoran halal ‘upmarket’ meningkat, The Malayan Council buka cawangan ke-5

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Menawarkan pembaharuan dan pilihan lokasi dengan pemandangan yang menarik.

Itu dua strategi The Malayan Council bagi cawangan terbarunya di The Fullerton Waterboat House.

Restoran yang terkenal dengan hidangan 'fusion' Melayu dengan pengaruh barat menyuntik kelainan dan kesegaran di cawangan kelimanya.

Ini berbanding dengan empat cawangan The Malayan Council lain yang terletak di Bussorah Street, Winstedt Road, Dunlop Street dan Esplanade.

Tiada lagi hidangan ala-carte seperti Smoked Duck Lemak Chili Padi pasta dan Roti Kirai Beef Ribs.

Namun, di cawangan terbarunya itu para pelanggan bebas memilih puluhan jenis sajian dan pencuci mulut antarabangsa yang dihidangkan secara bufet.

Ini menjadikan restoran itu satu-satunya yang menawarkan hidangan bufet di kawasan itu.

LOKASI STRATEGIK, PIKAT PELANGGAN TEMPATAN & PELANCONG

Cawangan baru restoran itu terletak di tengah-tengah kawasan pusat bandar (CBD) dan Marina Bay dengan pemandangan indah Sungai Singapura.

Tiram mentah, sushi, rusuk kambing, udang galah dan bermacam lagi hidangan disediakan setiap hari oleh pasukan cef The Malayan Council.

Namun, Pengasas The Malayan Council, Mohamad Hafiz Salim Alkhatib berkongsi bahawa ia masih lagi mengekalkan beberapa hidangan fusion yang menarik perhatian.

"Kami membuka satu lagi cawangan kerana kami perhatikan bahawa permintaan untuk restoran Halal yang ‘upmarket’ kian meningkat. Kami mahu meneraju segmen ini dan menepati permintaan para pelanggan. Lagipun, di daerah Fullerton Bay ini masih belum ada restoran atau kafe yang halal untuk pelanggan tempatan dan pelancong," kata Encik Mohamad Hafiz.
Lokasi yang dipilih oleh pengasas restoran itu juga memainkan peranan untuk memberikan keselesaan kepada para pegunjung dengan tema mewah dan 'classy'.

TERIMA MAKLUM BALAS PELANGGAN, BUKA RESTORAN BERKONSEP 'BUFET'

Encik Mohamad Hafiz turut berkongsi kepada BERITAMediacorp bahawa cetusan idea untuk membuka satu lagi cawangan berasaskan ala bufet adalah hasil maklum balas yang diterima oleh para pelanggannya.

"Kami kerap mendengarkan maklum balas para pelanggan yang mahukan hidangan bufet yang penuh dengan kepelbagaian dengan harga yang berpatutan," kata Encik Mohamad Hafiz.

Bagi pelanggan dewasa, harga bufet waktu tengah hari itu serendah $65 pada hari bekerja dan $75 pula pada hujung minggu.

"Para pelanggan kini lebih arif dan sanggup berbelanja lebih untuk mendapatkan kualiti makanan Halal yang terbaik dan permintaan ini semakin meningkat. Sebab itu kami yakin untuk melabur dalam perniagaan bufet pula," tambah beliau.

Khusus di cawangan tersebut juga, tersedia ruang acara khas untuk disewakan bagi penganjuran pelbagai jenis acara.
"Apabila kami merancang ruang ini, kami turut pertimbangkan kebolehan untuk menampung pelbagai acara. Ruang dalaman cawangan Fullerton ini amat fleksibel dan boleh menampung 150 hingga 200 orang pada satu masa. Ini bermakna kami boleh adakan jamuan-jamuan, acara-acara korporat dan juga majlis pernikahan atau perkahwinan, kongsi Encik Mohamad Hafiz.

Cawangan kelima The Malayan Council itu akan dibuka secara rasmi pada Isnin (29 Mei).
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan