Skip to main content

Singapura

Permintaan perumahan mungkin beralih ke pasaran jualan semula susuli kenaikan jumlah geran

Anggaran Waktu Membaca:
Permintaan perumahan mungkin beralih ke pasaran jualan semula susuli kenaikan jumlah geran

Flat HDB di Singapura. (Gambar: iStock/Kandl)

SINGAPURA: Para pembeli kali pertama yang sedang ingin segera mendapatkan rumah, akan dapat meraih manfaat daripada Belanjawan Singapura yang terbaru itu. Namun, langkah-langkah yang diperkenalkan juga boleh meningkatkan lagi permintaan bagi flat, kata para penganalisis hartanah.

Menteri Kewangan Lawrence Wong mengumumkan Belanjawan 2023 pada Selasa (14 Feb) bahawa Geran Perumahan bagi para pembeli flat jualan semula akan dinaikkan sehingga S$30,000. Ini bermakna jumlah geran yang diberikan adalah sebanyak S$80,000, bagi keluarga-keluarga yang membeli flat jualan semula empat bilik atau lebih kecil buat kali pertama.
Keluarga-keluarga yang layak, yang membeli flat lima bilik atau lebih besar akan menerima lagi S$10,000 atau S$50,000 secara keseluruhan.

Golongan bujang yang pertama kali membeli rumah, akan menerima separuh daripada jumlah yang diberikan kepada keluarga-keluarga, iaitu S$40,000 bagi flat empat bilik dan lebih kecil, dan S$25,000 bagi flat lebih besar.

Satu lagi langkah yang disertakan dalam Belanjawan 2023 adalah keutamaan bagi para pembeli kali pertama yang muda dan mereka yang mempunyai anak, menerusi permohonan tambahan bagi permohonan Bina Ikut Tempahan (BTO) mereka.

Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan penyelidikan di Huttons, berkata pendekatan dua serampang itu - iaitu geran yang ditambah bagi pembeli flat jualan semula, dan lebih banyak peluang undi bagi BTO - seharusnya mengurangkan kebimbangan yang dihadapi keluarga-keluarga muda dalam memperolehi kediaman pertama mereka.

"Sebilangan pembeli kali pertama mungkin mempunyai keperluan yang mendesak untuk mendapatkan flat dan tidak mampu menunggu bagi sebuah flat BTO untuk selesai dibina dalam beberapa tahun akan datang," kata Encik Lee.

Encik Lee menarik perhatian bahawa harga flat jualan semula melonjak sejak dua tahun lalu dan mungkin tidak mampu dibeli para pembeli kali pertama. Beliau menambah bahawa kenaikan jumlah geran akan membantu untuk mengimbangi kenaikan harga dan akan meringankan beban yang dihadapi para pembeli, terutama sekali golongan berpendapatan rendah.

Encik Ismail Gafoor, Ketua Pegawai Eksekutif PropNex Realty, menarik perhatian bahawa indeks harga jualan semula HDB meningkat hampir 31 peratus antara Q1 2020 dan Q4 2022.

"Kami berpendapat ini adalah langkah yang tepat pada masanya dan kenaikan besar dalam Geran Perumahan CPF akan membantu pembeli flat menguruskan kos flat jualan semula dengan mengurangkan bayaran pendahuluan mereka atau jumlah pinjaman yang diperlukan.

Para penganalisis juga menjelaskan bahawa geran-geran perumahan mengalihkan sebilangan permintaan kepada pasaran jualan semula, daripada kedua-dua BTO dan hartanah privet yang lebih kecil.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita