Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan pasang mikrocip pada kucing naik 30% jelang 1 Sep; klinik haiwan kekalkan harga prosedur

Permintaan untuk memasang mikrocip pada kucing meningkat sehingga 30 kali ganda sejak rangka kerja pengurusan kucing yang baharu diumumkan pada 11 Mei lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Permintaan pasang mikrocip pada kucing naik 30% jelang 1 Sep; klinik haiwan kekalkan harga prosedur

(Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Permintaan untuk memasang mikrocip pada kucing meningkat sehingga 30 kali ganda sejak rangka kerja pengurusan kucing yang baharu diumumkan pada 11 Mei lalu.

Lima klinik haiwan yang ditinjau memberitahu BERITA Mediacorp, ramai pemilik kucing membuat janji temu untuk memasang mikrocip pada kucing-kucing mereka sebelum 1 September.

Bermula 1 September ini, para pemilik kucing diberi masa dua tahun untuk mendapatkan lesen dan mikrocip untuk kucing-kucing mereka.

Salah satu klinik haiwan yang menyaksikan permintaan yang tinggi ialah Passion Veterinary Clinic Pte Ltd di Blok 111 Woodlands Street 13.

Ia kini melakukan satu prosedur memasang mikrocip setiap hari berbanding satu dalam sebulan sebelum rangka kerja itu diumumkan.

(Gambar: Syawal Yusoff)

GALAK PEMILIK UNTUK MIKROCIP KUCING APABILA KUCING HANTAR UNTUK DIKEMBIRIKAN

Ini juga kerana klinik itu juga untuk menggalak para pemilik kucing untuk memasang mikrocip pada kucing-kucing yang dibawa ke klik itu untuk dikembirikan.

"Hampir setiap hari memang akan ada orang yang datang untuk mikrocip kucing mereka. Selepas itu secara rutin sekarang kita juga mikrocip semua kucing-kucing yang datang sini untuk dikembirikan juga. Biasanya waktu untuk kita mikrocip kucing adalah selepas vaksinasi yang ke-3. Jadi sekitar umur empat hingga lima bulan untuk anak kucing. Kemudian waktu yang terbaik untuk mikrocip kucing adalah waktu kucing itu datang untuk dikembirikan sewaktu umur sekitar enam bulan," kata Pakar Bedah Veterinar, Dr Aidil Haziq Md Nordin kepada wartawan Syawal Yusoff.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Beliau memberi jaminan bekalan mikrocip mencukupi.

"Permintaan untuk mikrocip kucing memang agak tinggi dan ada beberapa tempoh memang kita akan kekurangan mikrocip. Tapi buat masa ini kami masih lagi boleh mendapatkan bekalan konsisten untuk permintaan itu," kata Dr Aidil.

Setiap mikrocip nombor pengenalan yang unik bagi setiap kucing memudahkan pemilik atau pihak berkuasa mengesan identiti dan pemilikan haiwan tersebut serta menjejaki mereka jika ia hilang.

"Antara sebab kenapa kami tekankan untuk memasang mikrocip sekarang adalah kerana pada dua tahun pertama selepas 1 September 2024, proses untuk mendaftarkan kucing terutama kucing yang sudah dikembirikan adalah percuma. Jadi seelok-eloknya kita menggalak pemilik-pemilik kucing untuk pasang mikrocip pada kucing-kucing mereka dalam lingkungan dua tahun ini untuk mendapatkan pendaftaran percuma," jelas Dr Aidil.

Dr Aidil memberi jaminan harga memasang mikrocip kucing yang berharga sekitar S$60 di kliniknya dikekalkan meskipun permintaan tinggi.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Klinik Genesis Veterinary di Yishun Central turut menyaksikan permintaan tinggi daripada para pemilik kucing.

Ia kini melakukan sehingga 50 prosedur memasang mikrocip pada kucing sebulan berbanding hanya 15 sebelum ini.

"Kami telah melihat peningkatan yang stabil dalam pemilik haiwan yang ingin (memasang) mikrocip pada haiwan peliharaan mereka, terutamanya kucing. Disebabkan pengumuman pelesenan kucing ini, saya akan katakan sekurang-kurangnya 20 peratus peningkatan daripada (pemilik yang) berminat, pertanyaan dan tempahan untuk perkhidmatan (memasang) mikrocip di klinik kami," kata Pakar Bedah Veterinar, Dr Lynn Tan.

(Gambar: Syawal Yusoff)

KLINIK TIDAK SEPATUTNYA AMBIL KESEMPATAN UNTUK NAIKKAN HARGA

Harga sekitar S$50 yang dikenakan di klinik itu juga dikekalkan agar ia dimampui dan tidak membebankan para pemilik kucing.

Dr Tan juga percaya, klinik-klinik tidak sepatutnya mengambil kesempatan untuk naikkan harga dalam hal ini.

"Kami tidak percaya untuk menaikkan harga hanya untuk cepat untung. Saya tidak fikir itu bukan caranya. Jadi, kami telah menetapkan harga yang sama seperti sebelum ini juga untuk mengekalkannya, untuk menjadikannya mudah diakses oleh orang ramai untuk mendapatkan mikrocip untuk kucing mereka," tambah Dr Tan.



Ketua Veterinar dari Paws N' Claws, Dr Esther Lam pula berkata kliniknya juga tidak menaikkan harga meskipun kliniknya turut menyaksikan jumlah prosedur memasang mikrocip pada kucing melonjak sehingga 50 peratus sejak dua hingga tiga bulan yang lalu.

Namun, beliau tidak menolak ada klinik yang mungkin menaikkan harga didorong permintaan yang tinggi itu.

"Permintaan yang meningkat kadangkala boleh menyebabkan kos yang lebih tinggi untuk perkhidmatan mikrocip. Klinik mungkin menaikkan harga disebabkan jumlah yang lebih tinggi atau peningkatan kos yang berkaitan dengan menguruskan lebih banyak janji temu dan menyediakan sumber tambahan. Peratusan peningkatan dalam kos boleh berbeza-beza secara meluas; walau bagaimanapun, harga naik 10 hingga 20 peratus atau lebih adalah perkara biasa semasa tempoh permintaan tinggi," katanya dalam satu jawapan bertulis kepada BERITA Mediacorp.

KLINIK SEDIA BANTU PEMILIK DALAM PROSEDUR MENDAPATKAN LESEN

Selain mikrocip, para pemilik juga perlu mendapatkan lesen untuk kucing-kucing mereka.

Permohonan lesen boleh dilakukan menerusi portal Sistem Pelesenan Haiwan Peliharaan AVS mulai 1 September 2024.

Namun, klinik-klinik haiwan sedia membantu sekiranya para pemilik kucing memerlukan lebih maklumat tentang kucing-kucing mereka.

"Jika mereka mempunyai soalan tentang umur, mereka tidak tahu bahawa mereka baru sahaja mengambil kucing itu dan ia dewasa, kita boleh cuba dan menganggarkan umurnya. Ia tidak semestinya tepat, tetapi sekurang-kurangnya ada pemahaman umum tentang umur, keadaan haiwan itu dan kecergasan fizikal. Kemudian kami boleh membantu mereka seperti memberi mereka maklumat asas tentang cara mendapatkan lesen kucing mereka," ujar Dr Tan.

USAHA DIDIK MASYARAKAT TENTANG MANFAAT PASANG MIKROCIP

Klinik-klinik haiwan itu juga memberitahu BERITA Mediacorp, masih terdapat kekeliruan tentang rangka kerja pengurusan itu serta manfaat memasang mikrocip pada kucing-kucing peliharaan.

Canopy Veterinary Centre di Yuan Ching Road misalnya menjalankan pelbagai program pendidikan tentang pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab.

"Kami adalah penyokong kuat untuk mikrocip dan pelesenan kucing untuk memudahkan pengesanan (kucing yang hilang). Poster pendidikan mengenai peraturan baharu telah diletakkan di sekitar klinik. Doktor haiwan dan jururawat veterinar kami mengambil peluang untuk menerangkan kepentingan mikrocip dan pelesenan kepada pemilik kucing kami sewaktu berjumpa doktor dan di ruang kawasan menunggu," kata Doktor Haiwan dan Pakar Pemakanan Haiwan, Dr Teo Boon Han dalam satu jawapan menerusi emel kepada BERITA Mediacorp.

Selain di klinik, pasukannya juga menjalankan pelbagai program pendidikan di tempat lain seperti di sekolah-sekolah dan perpustakaan awam.

"Melalui cabang pendidikan kami (iaitu Akademi Haiwan dan Kami), pasukan doktor haiwan dan pendidik kami pergi ke sekolah, acara, pusat masyarakat dan tempat-tempat lain seperti Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), untuk menggalak pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab dan berkongsi tentang mikrocip dan pelesenan," ujarnya.

SPCA DAMPING WARGA EMAS

Usaha mendampingi masyarakat turut diusahakan satu-satunya klinik haiwan masyarakat tanpa untung di Singapura, Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA).

Ia memberi tumpuan kepada golongan pemilik kucing, khususnya dalam kalangan warga emas.

"Bagi sesetengah penjaga kucing, terutamanya warga emas, konsep mikrocip adalah asing. Mereka menganggap mikrocip itu menjejak dan memantau pergerakan kucing mereka, sehingga menimbulkan kebimbangan bahawa kucing mereka akan dikesan atau dirampas pihak berkuasa.

"Setiap kali kami melihat kebimbangan sedemikian dalam kalangan pemilik atau penjaga haiwan kesayangan, kakitangan kami akan berkongsi dengan mereka tentang cara mikrocip berfungsi (iaitu ia hanya mengandungi nombor ID unik yang perlu didaftarkan secara manual kepada pemilik) dan cara ia meningkatkan pengesanan dan menyatukan semula haiwan peliharaan yang hilang dengan pemilik mereka.

"Kami juga menerangkan cara mikrocip dan pelesenan membantu mempromosikan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab dan menghalang pengabaian," kata Ketua Perkhidmatan Klinik, SPCA, Cik Khasheqin Kahlik kepada BERITA Mediacorp.

Bagi membolehkan para pemilik haiwan peliharaan menyesuaikan diri dengan peraturan-peraturan di bawah rangka kerja baharu itu, Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) menetapkan tempoh peralihan selama dua tahun bermula daripada 1 September 2024 hingga 31 Ogos 2026.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan