Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan meningkat bagi pelitup, kit ART di tengah gelombang COVID-19 SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Para peruncit sedang menyaksikan permintaan meningkat bagi pelitup dan kit ujian pantas antigen (ART) di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19 di Singapura.

Walaupun penjualan meningkat, bekalan bagi kedua-dua pelitup dan kit ART masih mencukupi, manakala harganya kekal stabil, kata para peruncit kepada Mediacorp.

"Permintaan bagi kit ART meningkat sekitar 40 peratus sepanjang tiga minggu yang lalu, tetapi harga kekal stabil," kata seorang jurucakap FairPrice Group pada Isnin (17 Apr).

"FairPrice Group akan terus memantau rapi permintaan pelanggan dan memastikan kami bersedia untuk memenuhi keperluan masyarakat," tambah jurucakap tersebut.

Watsons turut mencatatkan kenaikan permintaan bagi pelitup dan kit ART, namun peruncit itu memberi jaminan kepada pelanggan bahawa barangan itu sedia ada.

"Watsons memantau rapi permintaan dan pengagihan barangan berkaitan COVID-19 seperti pelitup dan kit ujian untuk memastikan bekalan yang konsisten dan jumlah yang sihat dalam simpanan," kata seorang jurucakap Watsons pada Selasa (18 Apr).

"Sedang kami melihat kenaikan dalam penjualan kedua-dua pelitup dan kit ujian, bekalan kami kekal sihat dan kami tiada perancangan untuk mengubah harga barangan tersebut."

DFI Retail, syarikat induk 7-Eleven, Cold Storage, Giant dan Guardian, turut menyaksikan trend yang serupa. Tambah syarikat itu, selain belalan pelitup dan kit ART, bekalan ubat-ubatan untuk merawat gejala-gejala COVID-19 masih mencukupi.

"Penjualan pelitup naik sedikit pada dua minggu kebelakangan ini," dedah jurucakap DFI Retail.

"Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kami mempunyai bekalan pelitup, kit ART dan ubat demam, batuk dan demam selesema yang mencukupi. Kami juga akan memastikan harga kami dimampui pelanggan."

Singapura berada di tengah-tengah gelombang COVID-19 sepanjang bulan ini, dengan jangkitan meningkat daripada sekitar 1,500 kes sehari pada awal Mac kepada kira-kira 2,300 kes sehari pada awal April.

Jumlah itu bagaimanapun lebih rendah berbanding purata sekitar 4,000 kes sehari yang dicatatkan antara 26 Mac hingga 1 April.

Jumaat lalu (14 Mac), Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata kira-kira 30 kes yang dicatatkan pada gelombang ini adalah jangkitan semula. Ia lebih tinggi berbanding 20 hingga 25 peratus semasa gelombang jangkitan sebelum ini.

Walaupun purata jumlah pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital meningkat, daripada 80 pada awal Mac kepada hampir 220 pada awal April, Encik Ong berkata, ia "jauh lebih rendah" berbanding ketika kemuncak pandemik dan lebih rendah daripada jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital disebabkan penyakit bukan COVID-19.

Kurang daripada 10 pesakit COVID-19 dirawat di unit jagaan rapi pada satu-satu masa sepanjang bulan lalu, tambah Encik Ong.

Encik Ong berkata, Singapura terus menjalankan ujian susunan genetik bagi sampel virus, sambil menarik perhatian bahawa kini terdapat beberapa varian COVID-19 yang menular, termasuk XBB.1.16

"Salah satu varian yang menarik perhatian ialah XBB.1.16 kerana dinamakan Arcturus," katanya.

"Namun dalam kalangan semua varian sekarang ini, tidak ada satu pun yang benar-benar dominan. Tiada bukti yang menunjukkan satu-satu varian itu menyebabkan penyakit lebih serius."
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan