Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan meningkat bagi kursus bahasa isyarat; video bahasa isyarat dapat sambutan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Orang Pekak Singapura (SADeaf) mendapati kursus bahasa isyarat kini lebih popular berbanding lima tahun dahulu.

Jumlah peserta yang mendaftar bagi kursus Bahasa Isyarat Singapura (SgSL) yang ditawarkan SADeaf tahun ini 25 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2019.

Salah seorang jurulatih SgSL yang ditemui BERITA Mediacorp, Chia Mei Chyi menjelaskan, "Saya rasa terdapat peningkatan kerana ada lebih banyak kesedaran melalui acara-acara dan minat peribadi. Jadi mungkin orang awam ada rakan kurang pendengaran jadi mereka ingin merapatkan jurang komunikasi dan ingin melibatkan mereka dalam perbualan.”


Uniknya kursus Bahasa Isyarat Singapura (SgSL) ialah ia dikendalikan sepenuhnya oleh para jurulatih dan guru yang kurang daya pendengaran.

“Dalam media baru-baru ini juga kita ada penterjemahan di televisyen jadi menerusi itu, saya rasa ada juga minat dan rasa ingin tahu dan itu mungkin sebab mengapa mereka datang sini untuk mempelajari bahasa isyarat," tambah beliau yang sudah mengajar selama lima tahun.

Menurut Cik Chia, kumpulan pelajarnya merangkumi anggota profesional seperti Ahli Terapi Pertuturan, guru serta orang awam berusia 16 tahun ke atas.

Ada juga yang mengikutnya kerana mahu belajar berkomunikasi dan mengajar anggota keluarga mereka yang kurang daya pendengaran.

BUKA AKAUN TIKTOK UNTUK KONGSI ILMU BAHASA ISYARAT


Antara yang terdorong berbuat demikian ialah Cik Nur Aida Poh, 26 tahun.

Beliau mula didedahkan kepada bahasa isyarat di rumah. Ibu Cik Aida terlebih dahulu belajar bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan bapanya yang kurang daya pendengaran.

Cik Aida banyak memerhatikan cara mereka berinteraksi dan mempraktikkan apa yang dipelajarinya itu.

Bagi mempelajari bahasa isyarat secara formal, Cik Aida mengambil keputusan untuk sertai kursus SgSL.

Di situ, beliau juga pelajari beberapa istilah dalam konteks Singapura seperti nama tempat Lapangan Terbang Changi dan Yishun serta istilah-istilah tertentu yang bahasa isyaratnya versi Singapura berbeza dengan versi luar negara.


Beliau kemudian memberanikan diri untuk berkongsi apa yang dipelajarinya di wadah online, dengan menerbitkan kandungan-kandungan di TikTok tentang bahasa isyarat Singapura.

"Saya mula berkongsi tentang bahasa isyarat apabila saya perasan yang ramai orang di sekeliling saya memang rasa minat atau ingin tahu lebih lanjut tentang bahasa isyarat tetapi saya mendapati tidak banyak rujukan tentang bahasa isyarat dalam konteks Singapura," kongsi Cik Aida kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Jadi, saya mulakan satu inisiatif di mana saya mengajar atau berkongsi tentang bahasa isyarat kepada mereka yang berminat dan pada masa yang sama, saya ingin memupuk kesedaran tentang bahasa isyarat dalam masyarakat supaya kita lebih inklusif dalam perbualan seharian kita," tambahnya.

Sejak Disember 2021, beliau mula memuatnaikkan kandungan seperti cara mengira, bahasa isyarat bagi abjad-abjad serta frasa-frasa yang sering digunakan di Singapura.

Bagi pengguna bahasa Melayu, beliau juga berkongsi antara keunikan bahasa isyarat berbanding bahasa ibunda itu.

Baginya, apa yang menarik tentang bahasa isyarat itu adalah penyusunan bahasa yang berbeza dengan Bahasa Melayu.

"Kalau kita lihat bahasa Melayu, ia penuh dengan imbuhan dan nahunya tersendiri tetapi bahasa isyarat berbeza di mana imbuhan dan nahunya disingkatkan atau disusun semula supaya lebih mudah untuk berinteraksi dengan satu sama lain," ujar Cik Aida.

"Contohnya, kita berkata “awak nak makan?” tetapi dalam bahasa isyarat, kita cuma katakan “nak makan?” tetapi itu dikirakan penyusunan yang betul dalam bahasa isyarat," tambahnya.

INGIN BELAJAR BAHASA ISYARAT SG DENGAN LEBIH MENDALAM

Setakat ini, sambutan bagi videonya di TikTok memberangsangkan dengan ada yang ditonton lebih 27,000 kali.

Malah sepanjang hampir dua tahun membuka akaun @aidahpohsts, Cik Aida menerima pelbagai komen yang menggalakkan.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa perasaan takut itu masih ada.

"Cabarannya bermula daripada diri saya sendiri kerana saya kurang yakin pada mulanya untuk berkongsi tentang bahasa isyarat kerana saya sendiri tidak ada pendidikan formal dan saya sedar bahawa ramai orang lebih mahir dalam bahasa isyarat daripada saya," dedah Cik Aida.

"Namun, soalnya kalau kita ingin memulakan sesuatu yang baharu, kita mesti ada perasaan takut - sama juga dengan orang yang mungkin rasa takut untuk memulakan dan belajar bahasa isyarat," tambah beliau.

Beliau juga mengikuti kursus SgSL untuk mendapatkan pengiktirafan rasmi.

BAHASA ISYARAT BAGI ISTILAH SINGLISH


Selain nama tempat dan istilah tertentu mengikut konteks Singapura, SgSL juga mengajar bahasa isyarat bagi perkataan atau frasa ‘Singlish’.

"Untuk kita sebagai jurulatih, kita ada kaedah pengajaran tersendiri jadi untuk kelas saya contohnya, kita melakukan banyak perbincangan berkumpulan dan menunjukkan banyak gambar. Untuk istilah 'Singlish', contohnya 'kepo', kita juga ada tanda bagi 'kepo' dan juga seperti Teh Tarik," menurut Cik Chia.

"Untuk slanga pula, ia bergantung kepada masyarakat kurang daya pendengaran itu. Jadi mungkin menerusi ekspresi wajahnya," tambah beliau.
 

Dalam pada itu, beliau juga memerhatikan semangat dan keseronokan dalam kalangan pelajarnya.

"Kadangkala jika anda hanya mengajar menggunakan perkataan, mereka akan berasa bosan. Jadi kita cuba untuk menerapkan sedikit kreativiti. Contohnya untuk Marina Bay Sands, kita akan menyuruh mereka berkongsi tentang gambar itu dan rupanya. Jadi mereka lebih ekspresif dan ia lebih menarik buat mereka," ujar Cik Chia.

Bahasa Isyarat Singapura kini digunakan dan diterima secara meluas oleh masyarakat tempatan dan pemerintah sedang mengkaji sama ada mahu mengiktirafnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan