Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan lebih kukuh bagi pakej pelancongan bulan Jun; harga tiket mahal bukan hambatan

Agensi-agensi pelancongan menyaksikan permintaan lebih kukuh untuk pakej-pakej pelancongan bagi perjalanan bulan Jun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Agensi-agensi pelancongan menyaksikan permintaan lebih kukuh untuk pakej-pakej pelancongan bagi perjalanan bulan Jun.

Beberapa agensi pelancongan yang dihubungi BERITAmediacorp menyatakan mereka mula menerima pertanyaan tentang pakej-pakej pelancongan ke luar negara seawal Januari lalu.

Jumlah pertanyaan yang diterima meningkat dengan banyak apabila lebih banyak negara melonggarkan sekatan perjalanan COVID-19.

Menurut jurucakap syarikat pelancongan Dreamcation Cruises and Tours, penjualan pakej wisata untuk bulan Jun kembali semula kepada tahap 50 peratus sebelum pandemik.

"Permintaan bagi pakej pelancongan tahun ini agak kukuh dan destinasi popular kami adalah Turki. Sejauh ini, kami sudah mendapat lebih 300 pertanyaan tentang pakej percutian ke Turki. Kami menjangkakan jumlah pertanyaan akan terus meningkat memandangkan sekatan perjalanan COVID-19 sudah dilonggarkan di sesetengah negara", kata pegawai pemasaran Dreamcation Cruise and Tours, Cik Fara Saparwan.

Rombongan pertama yang mengikuti pakej selama 10 hari dijadualkan berangkat pada 4 Jun ini.

Syarikat itu turut menawarkan pakej-pakej percutian secara berkumpulan ke beberapa destinasi mesra Muslim seperti Korea Selatan, Australia dan negara Balkan di rantau Eropah.

DESTINASI LEBIH JAUH JADI PILIHAN; HARGA TIKET PENERBANGAN LEBIH MAHAL BUKAN PENGHALANG

Syarikat-syarikat pelancongan yang dihubungi menyatakan destinasi yang lebih jauh dan untuk tempoh yang lebih panjang sangat popular.

Ramai pelanggan tetap ingin meneruskan rancangan mereka untuk pergi bercuti meskipun harga tiket penerbangan lebih mahal pada masa ini.

"Sesetengah pelanggan yang mungkin lebih berhemat memilih untuk menangguhkan rancangan untuk ke luar negara. Namun bagi sesetengah rakyat Singapura yang sudah kempunan untuk bercuti ke luar negara, kenaikan harga ini bukan satu faktor utama bagi mereka," kata pengurus kanan perhubungan pemasaran di Chan Brothers Travel, Jeremiah Wong.

Berdasarkan pemintaan, Chan Brothers Travel kini menawarkan pakej-pakej wisata dengan tempoh lawatan yang lebih panjang

Misalnya, ia menawarkan pakej pelancongan ke Eropah selama 11 hingga 13 hari, berbanding hanya 10 hari sebelum pandemik.

Encik Wong menasihatkan mereka yang ingin bercuti ke luar negara supaya mengutamakan keselamatan memandangkan pandemik COVID-19 belum lagi berakhir.

"Pilih penyedia khidmat pelancongan yang bertauliah dan diyakini yang dapat membantu anda dengan segala keperluan bercuti. Segala-galanya daripada menawarkan nasihat sehingga bantuan berdedikasi serta sokongan bagi segala keperluan," kata Encik Wong.

Mereka yang ke luar negara juga digesa membeli produk insurans yang menawarkan perlindungan Covid-19 ketika bercuti.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan