Permintaan kukuh keluarga muda naikkan harga flat HDB 4 bilik sebanyak 35% sejak 5 tahun lalu, kata penganalisis
Gambar fail: Jeremy Long/CNA
SINGAPURA: Harga flat empat bilik di Singapura telah meningkat kira-kira 35 peratus sejak lima tahun lalu, naik pantas sedikit berbanding flat lima bilik.
Meskipun julat harga meningkat, flat empat bilik masih lebih mendapat perhatian berbanding jenis flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang lain, di tengah-tengah pasaran hartanah yang berkembang pesat.
Ini kerana lebih ramai pembeli sedang mencari rumah yang sesuai untuk keluarga mereka yang semakin membesar, sambil memastikan ia tidak menjejas bajet masing-masing, kata para penganalisis yang ditemui Mediacorp.
LEBIH BANYAK MINAT TERHADAP FLAT EMPAT-BILIK
Pengurus pengeluaran Kang Zhi Wei dan isterinya misalnya, baru-baru ini membeli flat empat bilik di Bukit Batok dengan harga sekitar S$600,000.
Sebelum itu, mereka menetap di flat tiga bilik di kawasan sama tetapi mahukan ruang lebih besar untuk membina keluarga mereka. Semasa melihat pilihan yang ada, mereka mendapati bahawa flat lima bilik berada di luar jangkauan kewangan mereka.
"Saya cuba mencari flat lima bilik tetapi ia pasti lebih mahal daripada bajet saya, jadi saya hanya boleh melihat flat empat bilik," kata Encik Kang, yang turut menimbangkan pelbagai faktor seperti kemampuan dan akses kemudahan sebelum membeli rumahnya.
Beliau merupakan antara ramai pembeli yang sedang mencari flat empat bilik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"(Sejak) 2022, kami menyaksikan lebih banyak flat empat bilik dijual dengan pantas. Setakat tahun lalu, perangkaan itu meningkat kira-kira 15 peratus berbanding 2022," jelas ejen hartanah Tay Jooann, sambil menambah bahawa harga dijangka akan terus melonjak.
PERMINTAAN LEBIH TINGGI BAGI FLAT EMPAT BILIK
Sepanjang beberapa tahun lalu, flat empat bilik lebih laris terjual berbanding flat lima bilik, kata para ejen hartanah.
Secara purata, mereka menerima sehingga tujuh pertanyaan seminggu untuk flat empat bilik, manakala hanya kira-kira empat seminggu untuk flat lima bilik.
Harga flat empat bilik biasanya lebih berpatutan berbanding flat yang lebih besar, dan menarik minat keluarga yang lebih muda dan sebilangan warga emas yang ingin berpindah ke unit yang lebih kecil, kongsi para pengamat.
HARGA FLAT LIMA BILIK JADI HAMBATAN
Para pembeli masih terhambat dengan harga flat lima bilik yang lebih tinggi, kata Dr Lee Nai Jia, ketua pakar hartanah di PropertyGuru.
"Jumlah permintaan semakin kecil kerana kami mendapati bahawa sebilangan harga hampir menjangkaui S$1 juta bagi sesetengah kes," katanya.
"Jadi itu sebenarnya membuat sesetengah pembeli lebih cenderung memilih flat empat bilik."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.