Skip to main content

Singapura

Permintaan kontrak projek binaan dijangka mengukuh; diramal cecah nilai sehingga S$53 bilion pada 2025

Permintaan bagi projek-projek binaan dijangka meningkat tahun ini dengan nilai kontrak yang diberikan diramal mencecah antara S$47 bilion dengan S$53 bilion.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Jan 2025 07:59PM Dikemas Kini : 23 Jan 2025 10:07PM
SINGAPURA: Permintaan bagi projek-projek binaan dijangka meningkat tahun ini dengan nilai kontrak yang diberikan diramal mencecah antara S$47 bilion dengan S$53 bilion.

Ini lebih tinggi daripada anggaran S$44 bilion pada tahun lalu.

Jangkaan lebih kukuh itu didorong oleh lebih banyak projek pembangunan perumahan awam dan privet serta projek berskala besar seperti Terminal 5 Lapangan Terbang Changi.

Kini, sektor binaan tidak lagi terkejar-kejar dengan masa.

Siapnya projek-projek terakhir yang tertangguh akibat pandemik COVID-19 menandakan berakhirnya tempoh sibuk buat industri binaan.

Dalam tempoh lima tahun lalu sahaja, lebih 75,000 flat BTO baharu berjaya dibina.

Permintaan bagi binaan pada tahun lalu pula lebih baik daripada jangkaan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA).

Dengan pihak berkuasa perumahan berada di landasan yang betul untuk melebihi sasaran membina 100,000 flat BTO menjelang tahun ini, permintaan itu dijangka terus meningkat.

"Kami bangkit daripada krisis terburuk yang pernah dihadapi Singapura dan sektor persekitaran binaan beberapa tahun lalu.

"Memandang kepada 2025, kita melihat kepada bekalan sangat besar projek-projek binaan untuk membina, membina semula, menyegarkan dan memajukan Singapura selaku negara pulau," kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.

Projek pembangunan utama lain termasuk pembinaan Terminal 5 di Lapangan Terbang Changi.

Pembinaannya dijangka bermula pada separuh pertama tahun ini.

Satu lagi projek ialah Peluasan Marina Bay Sands yang melibatkan kerja-kerja binaan berskala besar termasuk menara keempat.

Memandang lebih jauh ke hadapan, permintaan pembinaan antara 2026 dan 2029 dijangka berkisar antara S$39 bilion dengan S$46 bilion setahun.

Encik Desmond Lee berkata terdapat kerja-kerja naik taraf besar lain dalam perancangan.

Ini termasuk kemudahan-kemudahan masyarakat baharu, loji pengurusan sisa dan rancangan untuk menyuntik kesegaran di sekolah-sekolah.
Sumber : CNA/FA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita