Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan kit ART 'melonjak', lebih banyak bekalan dijangka tiba tidak lama lagi

Permintaan bagi kit ujian pantas antigen (ART) meningkat pada minggu lalu dan lebih banyak bekalan kit ujian dijangka disediakan di kedai-kedai merata Singapura tidak lama lagi, menurut para peruncit.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Permintaan bagi kit ujian pantas antigen (ART) meningkat pada minggu lalu dan lebih banyak bekalan kit ujian dijangka disediakan di kedai-kedai merata Singapura tidak lama lagi, menurut para peruncit.

Sesetengah kedai sudah kehabisan bekalan kit-kit ujian ART. Dalam respons kepada pertanyaan oleh Mediacorp, tiga peruncit - FairPrice, Guardian dan Watsons - menyatakan ia sedang bekerjasama dengan para pembekal untuk mendapatkan bekalan kit ART yang mencukupi.

"Permintaan bagi kit ujian ART melonjak sepanjang minggu lalu," kata seorang jurucakap FairPrice pada Rabu (9 Feb).

Ini mungkin disebabkan oleh jumlah kes COVID-19 "yang lebih tinggi" dan "kesedaran awam" untuk melakukan ujian kendiri secara kerap, tambah jurucakap itu.

Singapura menyaksikan lonjakan pada jumlah kes COVID-19 dengan 13,011 kes dilaporkan pada Selasa (8 Feb) - iaitu kali ketiga dalam seminggu di mana jumlah kes harian mencecah lima angka.

"Kami masih mempunyai bekalan di kedai dan lebih banyak stok dijangka tiba dalam masa dua minggu akan datang. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan para pembekal kami untuk memenuhi keperluan para pelanggan," kata jurucakap FairPrice itu.

Di Guardian, permintaan bagi kit ujian ART naik seganda sejak pertengahan Januari lalu, "jauh lebih tinggi" berbanding pada November dan Disember, seorang jurucakap Kumpulan Runcit DFI memberitahu Mediacorp.

Permintaan yang melonjak itu mungkin disebabkan oleh lebih ramai pekerja yang pulang ke pejabat dan cuti perayaan Tahun Baru Cina, jelas jurucakap itu.

"Kami juga menyaksikan kenaikan dalam permintaan pada minggu lalu sedang lebih ramai pelanggan mengambil langkah berjaga-jaga tambahan dan melakukan ujian kendiri sebelum melakukan kunjungan pada Tahun Baru Cina," menurut jurucakap DFI itu.

Walaupun Guardian "mempunyai bekalan kit ART yang mencukupi", peruncit itu sedang "menempah lebih banyak bekalan dan bekerjasama dengan pihak pembekal untuk memastikan terdapat bekalan kit ujian ART yang stabil".

Watsons memberitahu Mediacorp pada Rabu bahawa bekalan kit ujian ART "laris dijual" sebaik sahaja diletakkan sebagai jualan di kedai-kedai.

"Dalam menjangkakan permintaan yang lebih tinggi bagi kit ART dengan keadaan sekarang ini, kami sudahpun membuat lebih banyak tempahan untuk kit-kit ujian ART," menurut peruncit itu sambil menambah bahawa ia sedang memantau "trend itu dengan teliti".

Kementerian Kesihatan (MOH) sedang memantau trend gelombang penularan itu dengan teliti, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dalam satu ucapan pada Selasa (8 Feb).

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan