Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan katering musim Raya naik hingga seganda: HBB

Tempahan khidmat katering pada Hari Raya tahun ini kembali rancak dengan ada peniaga yang menyaksikan permintaan naik hingga seganda.

Anggaran Waktu Membaca:
Permintaan katering musim Raya naik hingga seganda: HBB

(Gambar: Syawal Yusoff)

BERITAmediacorp: Tempahan khidmat katering pada Hari Raya tahun ini kembali rancak dengan ada peniaga yang menyaksikan permintaan naik hingga seganda.

Dengan sambutan Hari Raya yang kembali seperti biasa, makin ramai yang mengambil khidmat katering untuk anjurkan majlis keramaian atau 'open house' mereka.

Selain restoran, ada yang lebih gemar memilih khidmat para perniagaan dari rumah (HBB).

ATUR STRATEGI UNTUK TANGANI INFLASI

Antaranya ialah Tiara's Kitchen yang sudah lima tahun beroperasi secara online.

Setiap tahun, lauk pauk termasuk Ayam Masak Merah, Paru Belada, Rendang Itik, Sambal Sotong, Sambal Udang Sambal Goreng Pengantin laris ditempah para pelanggannya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Untuk tahun ini, permintaan yang diterima cukup memberangsangkan dengan lebih 230 bekas lauk pauk ditempah lebih 50 pelanggan.

Jumlah itu hampir 50% lebih tinggi berbanding tempahan yang diterimanya tahun lalu.

"Tahun ini Alhamdulillah, ada pelanggan yang tempah sampai berkali ganda. Sekarang ini kita ada tempahan pada hujung minggu ini sampai hujung minggu hadapan. Tak tahulah yang akan datang nanti pasal Hari Raya sebulan bukan?" kata Cik Ramlah.


Setiap kilogram lauk yang dijual Tiara's Kitchen berharga antara S$40 hingga S$60.

Meskipun menghadapi inflasi, Cik Ramlah enggan menaikkan harga dan mengurangkan bahan sehingga menjejas rasa masakan.

Sebaliknya, beliau mengatur strategi bagi imbangi kenaikan harga barangan.

"Harga sama dengan harga sejak dua tahun lalu. Cuma yang dua tahun lalu itu saya boleh beri lebih. Macam 1 kilogram, saya boleh beri tambahan 1.2 kilogram, 1.3 kilogram. Tapi untuk tahun ini, memang saya tak boleh pasal daging pun mahal, ayam pun mahal. Tak kira apa sekali pun, harga bahan mahal, kita tidak boleh lokek. Harga kita mesti munasabah. Setiap jumlah, kami akan berikan dua tapak kuda, caj penghantaran percuma," jelas Cik Ramlah.

Prihatin juga akan kesihatan para pelanggannya, Cik Ramlah pastikan menu yang ditawarkan menggunakan bahan-bahan lebih sihat.

"Saya sebenarnya masak tidak menggunakan serbuk perasa atau gula. Saya jarang gunakan santan. Cuma kita tambahlah bahannya lebih sikit. Saya sendiri pun makan sihat juga, minyak tidak banyak. Jadi kalau kita ingin makan macam begitu, pastikan kita lakukannya yang sama juga untuk orang lain jadi ia makanan yang sihat," kata Cik Ramlah yang berharap untuk membuka sebuah kedai fizikalnya sendiri satu hari nanti.

HARGA BAHAN NAIK PADA MUSIM PERAYAAN

Seorang lagi HBB yang bertambah sibuk menguruskan tempahan dari lebih 60 pelanggannya tahun ini ialah Encik Tajjlee Rahim.

Pengasas bersama Dapur Mother Mary itu menyaksikan permintaan bagi menu Hari Rayanya meningkat seganda berbanding tahun lalu.

Ini lebih-lebih lagi pada cuti hujung minggu Hari Buruh.

"Minggu ini penuh, Hari Buruh penuh. Sebenarnya untuk bulan Mei, tiga hujung minggu pertama sudah penuh. Hari biasa ada juga tempahan cuma kita tidak ambil banyak, kita ambil sikit. Hari biasa kebanyakan kuih tapi kalau Hari Buruh dengan lauk-pauk sekali pasal orang tak nak masak nak buat Rumah Terbuka," kata Encik Tajjlee.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Harga yang dikenakan antara S$7.50 hingga S$20 bagi setiap seorang.

Ini naik sehingga 15 peratus berbanding tempahan pada hari biasa ekoran kenaikan harga barangan pada musim perayaan.

"Dengan kenaikan harga, jangkaan juga bertambah. Jadi risaunya adalah kadang-kadang orang akan fikir, ‘eh dia ini nak naik harga tapi masih sedapkah? Boleh mereka lakukan?’ Jadi ada tekanan tambahan," tambahnya.

Menurut Encik Tajjlee, harga makanannya akan diturunkan semula selepas musim perayaan ini sejajar dengan harga bahan-bahan.

Menjelang sambutan ulang tahun yang kelima perniagannya pada Mei ini juga, Encik Tajjlee dan adiknya Cik Sriwahyuni Rahim merancang untuk memperbaharui jenama mereka itu yang kini mempunyai lebih 19,000 pengikut di Instagram.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan