Permintaan daun janur berkurangan, ramai beli kelongsong ketupat untuk jimatkan masa
Para peniaga daun janur di Pasar Geylang Serai lebih berhati-hati tahun ini dalam mengimport jumlah bahan itu pada musim perayaan ini.
SINGAPURA: Para peniaga daun janur di Pasar Geylang Serai lebih berhati-hati tahun ini dalam mengimport jumlah bahan itu pada musim perayaan ini.
Ini setelah permintaan kian menurun sejak dua tahun lalu.
Bagi peniaga Encik Muhammad Haikal Haled misalnya, beliau mengurangkan stok tahun ini.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Tahun lalu banyak stok kita tidak habis. Jadi kebanyakan kedai-kedai di Geylang yang mana jual daun janur kebanyakan semua buang. Jadi tahun ini kita kurangkan kepada 30 peratus daripada apa yang kita jual sejak dua tahun lalu. Mudah-mudahan insya-Allah habis," kata Encik Haikal, yang membawa sekitar 30 kilogram daun janur tahun ini.
Untuk merancakkan jualan, beliau juga memberi potongan harga untuk para pembeli.
"Daun-daun saya sampai pada Selasa atau Rabu dan saya sudah menjual jadi tinggal ini sahaja yang terakhir. Satu ikat orang biasanya jual S$4. Bagi saya, saya menjual pada S$3.50 dan tiga untuk S$10," kata Encik Haikal, yang merupakan antara 10 peniaga yang menjual daun janur tahun ini.
Ini juga bagi mengelakkan stok daun janur yang ada menjadi rosak akibat cuaca panas di Singapura.
Untuk mereka yang sudah beli awal dan tidak mahu daunnya bertukar warna, ini nasihat Encik Haikal...
"Kalau beli daun, jika anda katakan beli dua atau tiga, dapatkan besen, besen bulat, letak ais, air sejuk dan anda hanya merendamnya, itu yang terbaik," jelasnya.
Sehingga jam 12 tengah hari, kesemua daun janur Encik Haikal sudah habis terjual.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Namun para pembeli tidak perlu gusar kerana masih ada stok tambahan yang dibawa oleh peniaga lain seperti Encik Mohd Nazri Mohd Khalid.
Beliau membawa masuk 3 tan daun janur dari Batu Pahat, Malaysia berbanding hanya 2.5 tan tahun lalu.
"Sasaran itu ada melebihi sedikit tapi ini pun masih belum habis lagi daunnya," kata Encik Nazri.
"Pada mulanya kita buka harga satu ikat S$4, satu 'bundle' ini akan kita jual S$35. Satu 'bundle' akan ada dalam 10 ikat. Kalau harga sekarang sebab kita hendak habiskan daun, kita jual satu ikat S$3, dua ikat untuk S$5 dan empat ikat untuk S$10," tambahnya.
Bagi para pembeli, daun janur ini sudah menjadi barangan wajib yang mesti dibeli setiap musim perayaan kerana mahu meneruskan tradisi.
Dalam tinjauan BERITA Mediacorp ke pasar tersebut pada pagi Isnin (8 Apr), ramai pembeli masih lagi mahu menganyam ketupat sendiri kerana rindukan suasana lebaran.
"Buat ketupat, buat lepat untuk hari raya. Kalau ini kan lebih tradisional. Menurut saya (daun) yang sesuai, lebar, yang muda, tidak keras begitu. Kalau keras kalau dianyam lebih susah," kata pengunjung, Cik Suhartini yang membeli sebanyak tiga ikat daun janur kepada wartawan Syawal Yusoff.
Sentimen serupa turut dikongsi seorang lagi pengunjung yang akan mula menganyam ketupat bersama isterinya untuk bangkitkan nostalgia.
"Pasal daun ketupat ini kan Hari Raya (boleh dapat), kira ada suasana," kata Encik Abdul Halim.
JIMAT MASA, BELIA KELONGSONG KETUPAT
Selain mereka yang menganyam ketupat sendiri, ada juga yang beli kelongsong ketupat kerana mahu teruskan tradisi ketupat daun janur itu.
Ada yang menjualnya antara 30 hingga 50 sen.
Bagi pembeli seperti Cik Farisah Hassan, ia dapat menjimatkan masa.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Memang tiap-tiap tahun kalau Hari Raya mesti hendak beli. Pasal anak-anak nantikan hendak makan ketupat. Jadi selalu beli yang sudah siap. (Saya beli) dalam 100 biji pasal hendak beri kepada ibu, makcik, beri sikit-sikitlah," kata Cik Faridah.
Kemudahan sebegitu juga menarik seorang ibu dengan anak kecil seperti Cik Sri Kuwati yang membeli sebanyak 60 biji kelongsong ketupat tahun ini.
"Tidak ada masa, jaga anak, bersih rumah, masak. Kalau ini senang. Tidak apa, beri rezeki kepada orang yang buat juga," kata Cik Sri, yang sudah membeli kerongsong ketupat sejak 15 tahun yang lalu.
KETUPAT SEDIA DIMAKAN JUGA DAPAT PERHATIAN
Ada juga pembeli yang lebih gemarkan ketupat yang sudah sedia untuk dimakan.
Di situlah, para penjaja makanan di bahagian pusat penjaja Pasar Geylang Serai seperti gerai 'Warong Keluarga' mengambil peluang menjual pelbagai jenis hidangan raya 'instant' termasuk ketupat, lepat dan lemang.
"Kita jual serunding, ada lontong, lemang, lontong 'Adabi' yang empat segi. Itu yang selalu orang cari pada beberapa hari sebelum raya. Setiap tahun kita akan jual benda yang sama. Semua orang akan cari benda yang sama pasal barang-barang ini semua tradisional dan Geylang adalah salah satu tempat untuk mendapatkan barang-barang seperti ini," kata pemilik bersama 'Warong Keluarga', Muhammad Faiz Darman.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Setakat ini, mereka sudah menjual sekitar 2,000 ketupat dan lepat tahun ini.
Untuk memastikan ketupat yang dijualnya boleh tahan sehingga lebaran, Encik Faiz memastikan bekalannya diurus dengan betul.
Beliau juga menasihatkan agar ketupat tersebut disimpan di dalam peti sejuk.
Dengan cara itu, Encik Faiz berkata ia boleh bertahan sehingga tiga atau empat hari.
"Biasanya pembekal kami mereka akan hantar pada waktu pagi dan kemudian beg plastik yang digunakan untuk bungkus biasanya ada lubang. Jadi semua wap panas akan keluar dekat beg plastik yang tersedia. Jadi ia tidak akan basi," tambah Encik Faiz.
Encik Faiz menjangkakan lebih banyak permintaan untuk ketupat yang sudah siap dimakan menjelang sehari sebelum Hari Raya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.