Skip to main content

Singapura

Permintaan bot elektrik di luar negara meningkat, penggunaan di SG masih terhad

Anggaran Waktu Membaca:
 Permintaan bot elektrik di luar negara meningkat, penggunaan di SG masih terhad

Bot elektrik Pyxis di Sungai Singapura.

Diterbitkan : 14 May 2026 11:17AM Dikemas Kini : 14 May 2026 11:18AM
SINGAPURA: Di Sungai Singapura, bot elektrik kini memberikan pilihan yang lebih senyap dan bersih bagi pelancong berbanding bot tradisional yang menggunakan enjin diesel.

Bot-bot sedemikian menggunakan bateri yang disokong oleh panel tenaga suria, dan dibina oleh syarikat tempatan, Pyxis.

Menurut pengasas syarikat itu, Tommy Phun, setiap bot menggunakan jumlah elektrik yang hampir sama dengan dua atau tiga alat pengering rambut semasa bergerak.

Lima buah bot sedemikian telah mula beroperasi di Sungai Singapura sejak tahun 2025, dan sembilan lagi dijangka akan mula digunakan menjelang akhir tahun ini.

Encik Phun berkata permintaan untuk bot elektrik syarikatnya - termasuk bot kecil untuk operasi pelabuhan - meningkat dua kali ganda dalam tempoh dua hingga tiga tahun yang lalu.

Minat kini mula datang dari pasaran luar negara seperti Jepun dan Indonesia.

Beliau menambah bahawa permintaan meningkat kerana peraturan mengenai pencemaran semakin ketat dan kos mengendalikan bot elektrik kini lebih berdaya saing.

"Matlamat syarikat dari segi kawal selia dan pengurangan pelepasan karbon semakin jelas dan kukuh," kata Encik Phun.

Beliau juga menjelaskan bahawa kos keseluruhan memiliki bot elektrik mula menjadi lebih berdaya saing, terutamanya bagi laluan yang sangat kerap digunakan dan dalam keadaan harga bahan api yang tinggi sekarang.

Harga minyak dunia melonjak sejak perang terhadap Iran bermula pada akhir Februari lalu, disebabkan gangguan bekalan minyak di Teluk.

SYARIKAT MULA PANDANG LUAR SINGAPURA

Satu lagi syarikat dalam sektor itu, Yinson GreenTech, juga melihat permintaan yang tinggi, terutamanya di luar Singapura.

Syarikat yang berpangkalan di Malaysia itu berjaya mendapat kontrak di Amiriah Arab Bersatu (UAE), sedang minat terhadap bot elektrik kini beralih daripada projek percubaan kepada penggunaan komersial sepenuhnya.

Teknologi itu dilihat sebagai cara untuk mengurangkan pengeluaran karbon dalam industri perkapalan, terutamanya bagi operasi jarak dekat seperti bot pelabuhan yang hanya dibenarkan bergerak dalam perairan Singapura sahaja.

Salah satu bot tersebut, Hydromover, direka untuk membawa kargo, bekalan dan anak kapal antara darat dan kapal besar.

Bot itu menggunakan sistem digital sepenuhnya, untuk membolehkan pengendali memantau pergerakan, prestasi dan data pencemaran pada masa nyata melalui platform berlandaskan pengkomputeran awan, kata Encik Eric Chean, pengurus kanan pembangunan perniagaan di Yinson.

Ia juga dibina untuk kegunaan masa depan, dengan pilihan untuk menambah sistem pandu sendiri dan teknologi tukar bateri, yang boleh menjimatkan masa pengecasan dengan ketara.

PENGGUNAAN DI SINGAPURA MASIH BELUM RANCAK

Walaupun permintaan di luar negara meningkat, penggunaan di Singapura masih lagi terhad.

Bot elektrik hanya mewakili sebahagian kecil daripada kira-kira 1,600 bot pelabuhan di Singapura, kata Encik Chean.

Masalah utama adalah keyakinan, terutamanya dalam kalangan pengendali bot yang memikirkan tentang kos dan sama ada penggunaan elektrik praktikal atau tidak.

"Apa yang diperlukan sekarang adalah meningkatkan keyakinan pengendali bot tentang manfaat ekonomi dalam penggunaan bot elektrik, berdasarkan pengalaman mereka menggunakan bot-bot tersebut setiap hari," tambah Encik Chean.

Pengendali juga melihat perkara praktikal, seperti adakah terdapat tempat pengecasan yang mencukupi dan betapa mudahnya anak kapal menyesuaikan diri dengan sistem baharu.

Beliau menambah bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan oleh semua pihak - daripada pembuat bot hingga ke pihak berkuasa - untuk mempercepatkan penggunaan teknologi ini.

INFRASTRUKTUR DAN OPERASI ADALAH KUNCI UTAMA

Singapura sudah pun menetapkan hala tuju untuk penggunaan bot elektrik.

Menjelang tahun 2030, semua bot pelabuhan baharu yang beroperasi di Pelabuhan Singapura mesti menggunakan elektrik sepenuhnya, boleh menggunakan bahan api bio B100, atau bahan api mesra alam seperti hidrogen, di bawah rancangan Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA).

Tempat pengecasan juga sedang disediakan secara berperingkat, manakala piawaian teknikal telah ditetapkan untuk memastikan reka bentuk bot yang berbeza boleh menggunakan sistem pengecasan yang sama dengan selamat.

Status Singapura sebagai pusat maritim dunia memberikan kelebihan, kata Profesor Madya Tay Chuan Beng dari Institut Teknologi Singapura (SIT).

Dengan salah satu pelabuhan paling sibuk di dunia, terdapat potensi besar untuk menguji teknologi ini secara meluas.

Namun, kejayaan penggunaan elektrik ini bergantung kepada kerjasama semua bahagian dalam sektor ini, daripada reka bentuk kapal hingga ke lokasi tempat pengecasan yang terbaik.

Beliau menambah bahawa cara penggunaan bot juga perlu difikirkan semula - contohnya melalui perjalanan pendek dengan banyak perhentian - bagi meningkatkan kecekapan.

"Adalah tidak praktikal untuk membawa lebih banyak bateri semata-mata untuk perjalanan yang lebih jauh," kata Prof Madya Tay.

"Kunci untuk menjayakan usaha ini adalah dengan memikirkannya secara menyeluruh, bukan hanya melihat kepada bot itu sendiri."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita