Skip to main content

Singapura

Permintaan bekalan elektrik dijangka bangkit semula sedang ekonomi pulih dari kesan COVID-19

Permintaan bagi bekalan elektrik dijangka bangkit semula sedang ekonomi Singapura pulih dari kesan pandemik COVID-19 dan Pemerintah berusaha untuk mempelbagaikan bekalan tenaga, menurut Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Dr Tan See Leng, pada Selasa (5 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Permintaan bekalan elektrik dijangka bangkit semula sedang ekonomi pulih dari kesan COVID-19

Singapura akan menggunakan "empat suis" untuk mempelbagaikan bekalan tenaga.

Diterbitkan : 05 Jan 2021 06:41PM Dikemas Kini : 05 Jan 2021 06:51PM

SINGAPURA: Permintaan bagi bekalan elektrik dijangka bangkit semula sedang ekonomi Singapura pulih dari kesan pandemik COVID-19 dan Pemerintah berusaha untuk mempelbagaikan bekalan tenaga, menurut Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Dr Tan See Leng, pada Selasa (5 Jan).

Menjawab beberapa soalan parlimen, Dr Tan berkata permintaan bagi bekalan elektrik dijangka merosot sekitar 2 peratus sehingga 4 peratus pada 2020 di tengah-tengah COVID-19.

"Namun, permintaan akan naik semula sedang ekonomi pulih dan berkembang, dan ini juga didorong oleh pengguna baru seperti pusat-pusat data, rangkaian telekomunikasi 5G, kemudahan teknologi pertanian serta kenderaan elektrik," tambah beliau.

Singapura akan menggunakan "empat suis" untuk mempelbagaikan bekalan tenaga - gas asli, tenaga suria, grid kuasa elektrik serantau dan pilihan baru yang rendah karbon seperti hidrogen, kata Dr Tan.

Gas asli kini membentuk 95 peratus daripada kuasa elektrik yang dihasilkan di Singapura, sedang negara ini beralih secara bertahap-tahap dari loji kuasa yang menggunakan minyak sejak awal 2000, kepada gas asli, tambah beliau.

Kuasa suria merupakan sumber tenaga lebih bersih dan lebih andal di Singapura dengan keupayaan bersumber dari kuasa suria meningkat lebih 100 kali ganda sejak 10 tahun lalu, kata Dr Tan, sambil menegaskan lagi sasaran Singapura untuk menggunakan sumber tenaga itu untuk membekalkan 3 peratus tenaga elektrik yang digunakan menjelang 2030.

"Bergantung kepada kemajuan teknologi pada masa itu dan kosnya, kami berharap dapat melakukan lebih," katanya, dan menambah bahawa syarikat-syarikat tempatan juga bekerjasama dengan Pemerintah dalam menggunakan sistem tenaga suria. Contohnya, kumpulan syarikat Sunseap Group yang menyertai program SolarNova, menggalak agensi-agensi pemerintah supaya menggunakan tenaga suria dalam ruang dan bangunannya.

Dr Tan juga mengulangi pengumuman dibuat Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Chan Chun Sing pada Oktober bahawa Singapura akan cuba mengimport bekalan elektrik dari Malaysia, sebanyak 100 megawatt selama dua tahun.

Jumlah itu membentuk 1.5 peratus permintaan eletrik tertinggi di Singapura, lantas akan ada "kesan rendah" kepada kos dan keupayaan bekalan elektrik, kata Dr Tan.

"Kami lebih cenderung untuk mengimport elektrik daripada sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Dengan ini, kebersihan sumber penghasilan akan dipertimbangkan dahulu semasa memilih pengimport," tambah beliau.

Perbincangan mengenai saranan syarikat bekalan tenaga suria Sun Cable untuk membekalkan kuasa dari Wilayah Australia Utara ke Singapura masih dijalankan, menurut Dr Tan. Bagaimanapun, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) tidak dapat berkongsi lebih banyak perincian atas sebab "sensitiviti komersil".

Pemerintah juga sedang bekerjasama dengan masyarakat perusahaan dan penyelidik untuk mengkaji teknologi rendah karbon baru seperti hidrogen dan karbon, penggunaan serta penyimpanan karbon, katanya lagi.

Inisiatif pendanaan bagi penyelidikan tenaga rendah-karbon bernilai S$50 juta yang diumumkan pada Okt, akan digunakan untuk meneroka bekalan, penyimpanan dan penggunaan hidrogen serta pengambilan karbon dan penyimpanannya untuk digunakan bagi menghasilkan barangan atau bahan api, kata Dr Tan.

"Dengan memanfaatkan strategi empat suis, Singapura akan dapat mempelbagaikan sumber-sumber tenaganya. Ini akan meningkatkan lagi akses kepada bekalan tenaga yang terjamin dengan harga berdaya risiko serta mengurangkan risiko terhadap keselamatan bekalan tenaga di sini," kata Dr Tan.

Dalam satu soalan tambahan, AP Saktiandi Supaat bertanya tentang sasaran bagi gabungan empat suis itu memandangkan Singapura sangat bergantung kepada gas asli, sebahagian besarnya dari Malaysia dan Indonesia.

"Agak sukar untuk memberi pecahan peratusan tetapi menjelang 2030, kami menjangkakan akan mencapai pengeluaran karbon puncak sekitar 65 juta tan dari pengeluaran karbon dioksida. Sasarannya kami ialah untuk mengurangkannya sebanyak separuh menjelang 2050," ujar Dr Tan. Tambahnya, Singapura berharap dapat mencapai sifar pengeluaran karbon menjelang akhir abad ini.

Sumber : CNA/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita