Skip to main content

Singapura

Permintaan bas sewa naik seganda Aidilfitri ini, kereta sewa naik 30%

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Permintaan bagi kereta dan bas sewa pada musim Hari Raya tahun ini naik sehingga seganda berbanding tahun lalu.

Malah ada pelanggan yang sudah mula membuat tempahan seawal Januari lagi.

Menurut wakil syarikat-syarikat kenderaan sewa yang ditemui, kenaikan ini disebabkan tiada lagi sekatan pada had saiz kumpulan, keluarga yang lebih besar yang mencari alternatif pengangkutan seperti menyewa bas.

Pengasas syarikat Singapore Bus Charter, Encik Jitesh Dhillion memberitahu BERITAMediacorp bahawa permintaan bagi bas-bas sewanya naik mendadak tahun ini.

"Tahun lepas, kami menerima lapan tempahan dalam sehari dan kini kami menerima 16 hingga 20 tempahan dalam sehari. Namun, para pelanggan masih memilih harga yang paling berpatutan jadi kami cuba untuk menepati permintaan. Kami juga ada pelanggan tetap dari tahun-tahun lepas dan pelanggan baru," kata Encik Jitesh Dhillion.

Pengasas syarikat Singapore Bus Charter, Encik Jitesh Dhillion.
Dengan permintaan yang tinggi, kadar sewa juga naik sehingga 40 peratus.

"Pada hari biasa, harga sewa adalah pada S$50 hingga S$60 buat bas 23 tempat duduk dan untuk 49 tempat duduk, harga adalah sekitar S$70 hingga S$80 bergantung kepada skop pekerjaan," tambah beliau.

Namun sebagai penghargaan untuk para pelanggannya pada musim perayaan ini, Encik Dhillion cuba untuk mengekalkan harga pada kadar yang berpatutan.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
"Kami cuba untuk mengurangkan kos kerana kami tahun ramai keluarga akan pergi kunjung mengunjung dan mereka merancang perjalanan mereka dengan baik dan tempohnya panjang jadi kami menawarkan minimum S$60 buat bas bersaiz sederhana dan S$70 hingga S$80 buat bus 49 tempat duduk, kata Encik Jitesh.

PERMINTAAN KERETA SEWA NAIK SEHINGGA 30%

Bagi syarikat kereta sewa Ride Now Pte Ltd pula, mereka tidak menang tangan memenuhi permintaan yang semakin meningkat pada musim perayaan ini.

"Jika anda bandingkan dengan 2021 ketika tempoh pemutus litar, kami kurang menerima pertanyaan pelanggan kerana tidak ada orang yang boleh keluar namun pada 2022, kami melihat peningkatan sedikit dalam permintaan. Untuk tahun ini, saya rasa lebih ramai pelanggan datang untuk berhimpun bersama dan menyewa kereta untuk perayaan. Kenaikan adalah sekitar 20 hingga 30 peratus, " kata Pengurus Ride Now Pte Ltd, Encik Travis Seah.
Pengurus Ride Now Pte Ltd, Encik Travis Seah. (Gambar: Nurfazirah Azman)
Meskipun pada awalnya mereka jangkakan permintaan bagi kereta sewa yang boleh dipandu masuk ke Malaysia lebih tinggi,permintaan tidak begitu memberangsangkan.

Ini kerana kebanyakan pelanggan mereka masih memilih untuk beraya di Singapura dahulu.

"Buat tempoh Hari Raya, lazimnya kami tidak melihat ramai orang yang pergi ke Malaysia kerana mereka kunjung-mengunjung keluarga di Singapura. Anda masih boleh melihat beberapa keluarga yang menyewa kereta ke Malaysia namun jumlahnya sangat kecil, " kongsi Encik Travis.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
Bagi syarikat tersebut, harga kos sewa bagi kereta-keretanya naik sekurang-kurangnya sehingga 30 peratus semasa musim perayaan ini.

Trend yang sama juga disaksikan syarikat kereta sewa, Sgrentacar Pte Ltd.

Ini amat dialu-alukan mereka bagi mengimbangi kerugian yang dialami sewaktu pandemik dahulu.

"Perniagaan sangat teruk semasa Hari Raya dua tahun lepas disebabkan sekatan COVID tetapi kini kami boleh mengembalikan harga sebelum pandemik seperti tempahan dalam jumlah besar sehingga seminggu buat tempoh Hari Raya, serupa dengan tempoh Tahun Baru Cina," kata Pengasas Sgrentacar Pte Ltd, Marilyn Teo.

Selain keadaan yang kembali normal pada Syawal ini, cuti panjang hujung minggu Hari Raya ini juga antara faktor yang mendorong lebih ramai yang mahu menyewa kereta atau bas.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita