Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan bagi ubat batuk, selesema yang boleh dibeli sendiri di kaunter makin stabil: MOH

Permintaan bagi ubat batuk dan selesema yang boleh dibeli sendiri melalui kaunter (OTC) sudah "stabil" sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary pada Selasa (10 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Permintaan bagi ubat batuk dan selesema yang boleh dibeli sendiri melalui kaunter (OTC) sudah "stabil" sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary pada Selasa (10 Jan).

Para peruncit dan farmasi melaporkan kekurangan bekalan pada bulan lalu di tengah-tengah permintaan yang meningkat. Beberapa warga China di Singapura juga memberitahu Mediacorp bahawa mereka menghantar pulang ubat selesema kepada anggota keluarga yang terjejas oleh penularan COVID-19 yang semakin memburuk di sana.

Permintaan yang melonjak itu juga mendorong sesetengah peruncit tempatan untuk mengenakan had pada jumlah produk Panadol dan Nurofen yang boleh dibeli oleh setiap pelanggan.

Berucap di Parlimen pada Selasa, Dr Puthucheary berkata bekalan perubatan Singapura termasuk oksimeter dan alat 'oxygenator' mencukupi untuk memenuhi permintaan sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun menjelang hujung 2022, terdapat kekurangan jenama ubat-ubatan tertentu, buat sementara waktu, untuk merawat demam, batuk dan selesema disebabkan oleh kes jangkitan yang lebih tinggi, katanya

"Sepanjang beberapa minggu ini, jumlah permintaan menjadi stabil dan kadar bekalan bertambah baik," katanya.

Menjawab soalan oleh Anggota Parlimen (AP) Saktiandi Supaat (PAP- Bishan-Toa Payoh) dan AP He Ting Ru (AP-Sengkang) mengenai bekalan ubat-ubatan Singapura, Dr Puthucheary berkata bekalan itu lebih daripada mencukupi.

"Bekalan negara ini, yang termasuk apa yang disimpan oleh para pembekal, kekal dalam ambang dasar kita selama ini," katanya, sambil menambah bahawa Kementerian Kesihatan (MOH) mempunyai "pandangan langsung, agak terperinci" mengenai bekalan-bekalan yang disimpan oleh para peruncit serta dalam bekalan negara.

"Kami agak yakin dapat memenuhi permintaan."

Dalam menggariskan pendekatan negara ini untuk memastikan bekalan ubat-ubatan yang mencukupi, beliau berkata para peruncit, secara umum, memantau dengan teliti bekalan ubat-ubatan yang boleh dibeli sendiri melalui kaunter dan bekalan perubatan dan akan membawa masuk lebih banyak bekalan atau jenama alternatif apabila permintaan meningkat.

MOH juga memantau paras bekalan ubat-ubatan dan bekalan perubatan yang sering digunakan, terutama sekali apabila berlaku lonjakan luar biasa terhadap permintaan atau gangguan pada bekalan, kata Dr Puthucheary.

"Jika perlu, MOH akan bekerjasama dengan para peruncit untuk memperolehi bekalan tambahan untuk memenuhi permintaan, atau mengeluarkan makluman relevan," katanya.

"Selain itu, MOH mengekalkan bekalan ubat-ubatan penting dan bekalan perubatan untuk diutamakan bagi pesakit yang lebih memerlukan di institusi jagaan kesihatan awam kita."

Dr Puthucheary menambah bahawa dalam situasi ekstrim, di mana mungkin berlaku kekangan global, langkah-langkah tambahan seperti mengenakan had penjualan mungkin dilakukan bagi mengelakkan orang ramai daripada membeli secara pukal lalu menyimpan stok dan memastikan bekalan perubatan dan ubat-ubatan dapat diagihkan secara adil.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan