Permintaan bagi tempahan online & penghantaran barangan runcit & daging naik sehingga seganda
Bagi syarikat SuzyAmeer Store misalnya, ia menyaksikan peningkatan sehingga 25 peratus 2020.
Keadaan pada waktu COVID-19 juga membiasakan masyarakat dengan khidmat tempahan online dan penghantaran barangan dapur.
"Di wadah online, kita lihat peningkatan dalam 20 hingga 25 peratus kerana ini adalah gelombang selepas COVID-19. Kalau kita lihat online ini, ramai yang sudah selesa apabila masa COVID-19 dulu, mereka menggunakan online. Jadi sekarang ramai sudah menggunakan wadah online kerana ia mudah dan menyenangkan mereka. Mereka duduk di rumah dan barang akan dihantarkan di rumah," kongsi Encik Ameeroodin kepada wartawan Nurfazirah Azman.
Kenaikan ini lebih ketara berbanding penjualan di kedai fizikalnya iaitu sekitar 15 peratus.
Pada musim perayaan seperti Hari Raya Haji yang bakal menjelang, permintaan bagi khidmat penghantaran produk online syarikat SuzyAmeer juga melonjak.
Ini sehingga syarikat itu harus menambah slot-slot penghantaran sebanyak 30 peratus.
Lantaran itu, Encik Ameeroodin juga terpaksa menggunakan khidmat syarikat penghantaran lain bagi memenuhi permintaan pelanggan.
"Semasa Ramadan, kita 'outsource', wadah-wadah seperti Lalamove, Grabfood dan ini pun kerana penghantaran kami penuh. Jadi kami terpaksa menggunakan salah satu daripada wadah-wadah itu untuk membantu memenuhi permintaan," jelas Encik Ameeroodin.
Walau bagaimanapun, Encik Ameeroodin bersyukur dengan bantuan yang diberikan pemerintah untuk membantu perniagaannya.
"Kami sangat berterima kasih kepada pemerintah kerana dengan mengeluarkan baucar CDC, ini amat membantu kami kerana ini menyenangkan orang dan kami ada tiga cawangan di mana mereka (pelanggan) boleh gunakannya," kata Encik Ameeroodin.
Melangkah ke hadapan, syarikatnya merancang untuk mengeluarkan lebih banyak produk jenama sendiri.
Sebuah lagi syarikat yang semakin mendapat perhatian di wadah online adalah syarikat Al-Masyhur yang menjual produk-produk segar seperti ayam, daging kambing, daging lembu dan makanan laut.
Pengasas syarikat, Encik Muhammad Hadhir Abdullah menarik perhatian akan peningkatan sebanyak dua kali ganda dalam permintaan sejak syarikat itu dilancarkan pada 2020.
"Dalam satu hari, kami ada permintaan dalam jumlah 80 hingga 100 pesanan tetapi kami mampu untuk membuat pesanan sebanyak itu sahajalah. Bulan Ramadan terutamanya dan menjelang Hari Raya, permintaan juga akan meningkat dua kali ganda tapi kita mampu buat dalam 200 pesanan.
"Kita akan memulakan operasi daripada 12.00 malam dan kita akan membungkus untuk penghantaran pada pagi itu," kongsi Encik Hadhir.
Bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, Encik Hadhir memutuskan untuk menambah kakitangan dan jumlah kenderaan bagi penghantaran.
"Sebelum ini kita hanya bekerja bertiga sewaktu mula-mula kita buat penghantaran online dan kedai fizikal tetapi sekarang kita ada 12 kakitangan. Jadi kakitangan kita sudah empat kali ganda daripada dulu dan kalau dulu kita ada satu kenderaan, sekarang kita sudah ada tiga, jadi daripada tiga (kenderaan) kita boleh menghantar pesanan sebanyak 80 dan 100 pesanan, " kongsi Encik Hadhir.
Selain itu, syarikatnya juga telah mempertingkatkan sistem pesanan supaya para pelanggan mereka dapat membuat pesanan dengan lebih mudah.
"Dari hari pertama hingga ke hari ini, kami sentiasa memperbaiki sistem kami untuk mempermudahkan lagi bagi pelanggan kami untuk membeli secara online. Lelaman kami juga sentiasa dikemas kini," kata Encik Hadhir.
Sebelum ini, syarikat itu hanya bergantung kepada kaedah manual untuk ambil pesanan mereka.
"Daripada baru baru kita mula kebanyakan kita buat secara manual, melalui Whatsapp kita tulis tapi semenjak lebih banyak pesanan, kita memerlukan aplikasi untuk menyenangkan kita membuat pesanan jadi kami tidak tertinggal pesanan. Juga lebih mudah untuk pemandu kami merancang perjalanan," kata Encik Hadhir.
Di samping itu, Encik Hadhir juga memastikan mutu produknya dijaga dengan sebaiknya.
"Sebenarnya kita lebih fokus untuk sentiasa buat yang terbaik, pesanan kami, kami sentiasa mementingkan kualiti. Kalau ada kualiti ada keyakinan, kita percaya pelanggan akan pulang kepada kita semula untuk membeli. Jadi untuk pesaing yang lain kita tak terlalu takut sebab rezeki masing-masing," kata Encik Hadhir.
Al-Masyhur kini sedang dalam perancangan untuk membuka sebuah lagi cawangan di kawasan Barat Singapura dan akan menaik taraf cawangan mereka di Tampines selepas Hari Raya Haji ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.