Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan bagi Ringgit Malaysia meningkat 20%; S$1 kini naik setinggi RM3.42

Para pengurup wang menyaksikan permintaan bagi Ringgit Malaysia meningkat sehingga 20 peratus berbanding minggu-minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Para pengurup wang menyaksikan permintaan bagi Ringgit Malaysia meningkat sehingga 20 peratus berbanding minggu-minggu lalu.

Selain musim cuti sekolah yang bakal menjelang, ia juga didorong dengan mata wang ringgit yang terus merosot kepada paras terendah baru berbanding dolar Singapura hari ini (25 Mei).

Menurut Bloomberg, S$1 naik melebihi RM3.42 setakat 6.00 petang tadi.

Ini merupakan peningkatan kira-kira 3 peratus daripada kadar pertukaran RM3.31 bagi setiap S$1 yang dicatatkan pada Februari lalu.

KENAIKAN 10 PERATUS PELANGGAN TUKAR RINGGIT MSIA, AKAN NAIK LAGI 10 PERATUS SEMASA CUTI SEKOLAH

Sepanjang dua jam hingga 12 tengah hari tadi, barisan beratur tidak putus-putus di kedai pengurup wang All Best Enterprise di Pusat Pertukaran Bas Woodlands.

Ramai daripada hampir 100 pelanggan yang ditemui berkata mereka mahu menukar wang kepada Ringgit Malaysia sebagai persiapan untuk bercuti sempena cuti sekolah bulan Jun minggu depan.

Ini juga didorong dengan mata wang Ringgit yang mencecah paras terendah baru berbanding dolar Singapura.

Setakat jam 11.00 pagi pada Khamis (25 Mei), kadar penukaran Ringgit Malaysia bagi setiap dolar Singapura yang ditetapkan di kedai pengurup wang All Best Enterprise Pte. Ltd adalah RM3.36.

Nilai itu adalah yang tertinggi pernah ditetapkan syarikat tersebut.

Pengurus Pematuhan syarikat itu, Cik Pu Wen Yee berkata, "Kami lihat ada peningkatan 10 peratus dalam penjualan berbanding hari-hari lalu sebab kadar semakin tinggi untuk Ringgit, jadi lebih ramai yang datang."

Peningkatan itu menurut Cik Pu dianggap tidak terlalu mendadak. Beliau menjangkakan jumlah pelanggan yang menukar mata wang Ringgit akan terus meningkat semasa cuti bulan Jun yang akan datang.

"Saya rasa jumlah pelanggan belum ramai sangat lagi. Mata wang ringgit permintaan selalunya lebih tinggi pada akhir bulan atau permulaan bulan. Semasa cuti bulan Jun, akan ada lagi peningkatan 10 peratus."

Menjelaskan tentang peningkatan jumlah para pelanggan yang menukar wang, Cik Pu memberi gambaran mengenai masa puncak bagi perniagaannya.

Cik Pu berkata, "Sekarang kalau masa puncak pada waktu makan tengah hari untuk dua jam atau waktu selepas kerja. Kalau untuk cuti bulan Jun, masa puncak akan lebih lama, mungkin empat hingga lima jam. Semasa dua minggu pertama bulan Jun, barisan beratur juga akan lebih panjang."

STOK RINGGIT MSIA DITAMBAH 20 PERATUS BAGI TEPATI PERMINTAAN TINGGI SEDANG NILAI RINGGIT JUNAM

Perniagaan yang rancak juga disaksikan syarikat Clifford Gems & Money Exchange yang terletak di pusat beli-belah Raffles City.

Apabila kru BERITAmediacorp ke kedai itu pada waktu tengah hari, kadar penukaran Ringgit Malaysia bagi setiap dolar Singapura sudah mencapai RM 3.375.

Pemilik syarikat itu, Encik Mohamed Rafeeq Mohamed Yusoof berkata: "Hari ini kadarnya paling tinggi, 3.375, paling tinggi sekali. Pagi tadi ramai orang yang tukar wang. Sekitar 30 pelanggan sudah datang sejak kedai dibuka. Waktu makan tengah hari lebih ramai pelanggan yang datang."

Atas permintaan lebih tinggi para pelanggan, Encik Rafeeq juga perlu memastikan stok Ringgit Malaysia mencukupi buat hari-hari mendatang.

"Hari ini stok Ringgit sudah habis jadi kita dapatkan stok baru. Hari ini saya membawa 20 peratus lebih banyak stok ringgit Malaysia. Kita ada cukup untuk hari ini dan esok," kata beliau.

Menurut pemantauan Encik Rafeeq, beliau menjangkakan kadar penukaran Ringgit Malaysia di kedainya boleh mencecah RM3.40 dalam minggu mendatang.

Sekiranya ia berlaku, beliau juga bersedia untuk menyediakan tambahan 20 peratus lebih banyak wang ringgit untuk menepati permintaan para pelanggan.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan