Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan bagi program pengayaan di sekolah bertambah; platform digital terus dimanfaatkan

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Permintaan bagi program-program pengayaan di sekolah-sekolah sudah kembali ke tahap sebelum pandemik.

Kenaikan itu dapat disaksikan para pengendali program-program pengayaan seperti Wira Budaya dan Mini Monsters.

Misalnya bagi Mini Monsters, sebelum pandemik mereka mengendalikan kelas pengayaan di sekolah-sekolah lima hari seminggu, pertunjukan bergerak serta program untuk kanak-kanak pra-sekolah pada setiap hujung minggu.

"Kita sudah kembali ke bilik darjah dan melakukan program seperti mana yang kita sudah lakukan sebelumnya. Cuma hari ini, guru-guru saya mendapat pengalaman baru. Mereka telah diperkayakan dengan pedagogi yang baru," kongsi Cik Rilla.

Syarikatnya memanfaatkan Geran Transformasi Pertubuhan (OTG) Majlis Seni Kebangsaan (NAC) yang membantu syarikat-syarikat yang mempunyai keperluan untuk menyesuaikan diri dengan cabaran seperti menghasilkan kandungan dalam talian.

Menurut Cik Rilla, beliau menggunakan tempoh COVID untuk merombak semula dan mengolah sukatan pelajaran serta mempelajari pedagogi yang boleh disesuaikan untuk kelas-kelas yang diadakan secara online.

"Ada pula cabaran dari segi tahap usia kanak-kanak. Macam mana kita buat perubahan, tidak dapat kita jalankan dengan baik secara online seperti untuk kanak-kanak di tahap pra-sekolah. Bagaimana kita dapat alihkan tumpuan mereka untuk melihat skrin selama 30 minit sedangkan dalam kelas lima hingga enam minit mereka sudah resah gelisah," kongsi beliau.

Bagi guru-guru, kelonggaran sekatan COVID-19 juga dilihat sebagai kesempatan untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran para pelajar di sekolah.
"Kita merasakan bahawa murid-murid sudah terlalu lama tidak berinteraksi dengan kawan-kawan sebab di sekolah pun kita ada penjarakan sosial dan mereka tidak dapat bekerja secara berkumpulan. Jadi apabila kita lihat Mini Monsters boleh mengendalikan program secara fizikal kita pun mendapatkan khidmat mereka," kata guru Bahasa Melayu Sekolah Rendah Yew Tee, Siti Nazhira Mohd Aini.

Menurut Cik Siti, sekolah itu sudah menyambung semula kelas-kelas pengayaan secara fizikal sejak awal tahun ini.

BAHAN PEMBELAJARAN DIGITAL TERUS DIMANFAATKAN

Meskipun banyak kelas dan program pengayaan sudah berlangsung secara fizikal kini, beberapa aspek baru yang diterapkan semasa mengendalikannya secara hibrid atau online tetap dikekalkan bagi manfaat yang lebih meluas.
Gambar: Wira Budaya
Bagi syarikat Wira Budaya, mereka menawarkan program secara hibrid sepanjang tempoh COVID-19.

Syarikat itu mengendalikan program-program pengayaan bagi kegiatan bahasa, budaya, seni dan kesusasteraan Melayu di sekolah-sekolah serta institusi pengajian tinggi.

"Sebenarnya ada dua cara. Satu cara ialah sekolah ingin membeli rakaman program pengayaan yang diserahkan sepenuhnya kepada guru bersama dengan sesi amali tetapi ada guru juga inginkan kehadiran kakitangan kami seperti menerusi Zoom sekiranya ada soalan-soalan yang ingin diajukan oleh murid-murid," kata pengasas Wira Budaya, Muhammad Imran Abdul Rahman.

Menurut Encik Imran, 20 peratus programnya masih dijalankan secara online.

"Saya secara peribadi telah mendapat banyak panggilan dari guru-guru yang mana mereka lebih suka sekiranya jurulatih ke sekolah untuk mengendalikan program-program ini kerana saya rasa itu lagi seronok apabila guru dan murid-murid dapat berinteraksi," kata beliau

Kedua-dua syarikat menyatakan, bahan-bahan yang dibangunkan dalam bentuk digital terus relevan malah mereka akan terus menerapkan elemen digital itu ke dalam model perniagaan mereka.

"Kalau kita buat lawatan ke Pulau Ubin, saya rasa ramai murid yang pilih yang secara fizikal kerana lebih seronok tetapi pada masa yang sama kami akan masukkan elemen-elemen digital yang menggunakan iPad dan sebagainya dalam mata pelajaran kami apabila kami buat lawatan lawatan ke tempat-tempat yang dipilih," jelas Encik Imran.
Gambar: Mini Monsters Pte Ltd
Menurut Cik Rilla, set-set program pameran bergerak yang dilancarkannya terus mendapat sambutan.

"Sebenarnya COVID-19 ini memberi kita satu keberanian yang baru. Buat pertama kalinya kita tahu bahawa dunia sudah bersedia ke arah itu. Jadi kerana kita sudah memulakan proses pendigitalan. Bahan-bahan sekarang yang ada banyak, malah terlalu banyak. Jadi tidak patut kalau kita hanya menunggu dan buat usaha pendigitalan ini hanya untuk Singapura sebab bahan-bahan ini boleh dijalankan di mana-mana negara," kata beliau.

Dengan itu, syarikat Mini Monsters juga sedang meneroka peluang-peluang di luar negara.
Sumber : BERITA Mediacorp//RR/rr
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan