Permintaan bagi pakej umrah Ramadan naik tiga kali ganda tahun ini
Permintaan untuk pakej-pakej Umrah Akhir Ramadan meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
SINGAPURA: Permintaan untuk pakej-pakej Umrah Akhir Ramadan meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Antara yang teruja untuk bersama-sama jutaan umat Islam di Baitullah pada bulan Ramadan ini ialah Encik Muhammad Fuad Aliman, 54 tahun.
Ini merupakan kali keempat bagi dirinya namun ini kali pertama beliau menjalankan umrah pada bulan Ramadan.
Oleh itu, beberapa persiapan tambahan perlu dilakukannya.

Beliau sudah lama menanamkan niat untuk melakukan demikian selepas mendengar pengalaman arwah ibunya suatu ketika dahulu.
Encik Fuad berkata, "Beliau menceritakan tentang cabaran cuaca, dengan ramai orang yang menunaikan umrah Ramadan, ia memberi satu gambaran yang amat mencabar tetapi arwah ibu juga menceritakan bahawa apabila semasa melakukan ibadah, rasanya memang lebih dekat dengan Allah swt dan Rasulullah saw"
Menurut beberapa GSA yang ditemui BERITA Mediacorp, harga pakej umrah Ramadan adalah antara yang paling mahal sepanjang tahun.
Faktor kos juga perlu dipertimbangkan Encik Fuad semasa membuat keputusan.

"Saya mula menabung daripada tahun lepas kerana saya tahu kos umrah Ramadan amat mahal terutama dengan kegenjotan ekonomi, peperangan di Timur Tengah, jadi ia akan meningkatkan kos tetapi ia bukan satu batu penghalang untuk saya," jelas beliau.
Kali terakhir Encik Fuad menunaikan umrah adalah pada Disember 2022.
Beliau mengatakan bahawa harga pakej umrah pada bulan Ramadan kali ini jauh lebih tinggi berbanding harganya pada waktu itu.
Encik Fuad berkata, "Kosnya sekitar dua kali ganda lebih mahal. Bila saya pergi waktu itu pun bulan Disember, harganya memang agak tinggi juga kerana musim cuti."
Encik Fuad akan berangkat bersama sekitar 20 lagi jemaah dari agensi KembaraUstaz.Sg pada Sabtu ini (30 Mac) untuk pakej 15 hari.
Meskipun pernah menunaikan umrah sebelum ini, namun Encik Fuad akur bahawa beliau perlu melakukan beberapa persiapan untuk umrah Ramadan ini.
"Bezanya umrah Ramadan dan umrah pada bulan-bulan lain sebenarnya kita berpuasa dan dapat melakukan tarawih di sana. Persiapan dari segi mental perlu ada kerana kita akan melakukan tarawih dalam sesi lebih panjang. Kita juga gementar sebab memikirkan sama ada kita akan mendapat rehat yang mencukupi, perlu bangun sahur juga. Kita belum pernah mengalaminya jadi kita ingin merasakannya," jelas Encik Fuad.
Antara persiapan lain beliau termasuk berpuasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis untuk membiasakan diri berpuasa semasa menjalankan umrah.
PAKEJ UMRAH AKHIR RAMADAN OLEH KEMBARAUSTAZ.SG SEGANDA LEBIH MAHAL BERBANDING BULAN-BULAN LAIN
Ini juga merupakan kali pertama pakej umrah Ramadan ditawarkan KembaraUstaz.sg.
Pengarah Eksekutif KembaraUstaz.sg, Fizar Zainal mengatakan bahawa sebahagian besar jemaah yang mengikuti mereka adalah mereka yang sudah mempunyai pengalaman menunaikan umrah sebelum ini.
Ustaz Fizar berkata, "Umrah bulan Ramadan menjadi tarikan buat mereka yang sudah ada pengalaman menunaikan umrah. Mereka memahami fadilat dan pahala untuk melaksanakan umrah sewaktu bulan Ramadan meskipun bulan Ramadan selalu lebih mahal, lama dan cabaran di lapangan lebih tinggi kerana keadaan berpuasa."

Ustaz Fizar menjelaskan bahawa bagi tempoh pakej Umrah Ramadan selalunya sekitar 13 hingga 17 hari.
Ia lebih lama berbanding tempoh sekitar 10 hari bagi pakej di luar bulan Ramadan.
"Seperti contoh, pakej kita bermula dengan harga S$7,657 untuk bilik berkongsi empat orang, ini harga lonjakan tinggi berbanding harga di luar Ramadan, yang biasanya sekitar S$3,800 ke atas. Pada bulan Ramadan kita ingin mengejarkan fadilat 10 hari terakhir Ramadan jadi mereka perlu mengikut jadual 10 malam terakhir di Makkah dan tiga malam di Madinah," jelas Ustaz Fizar.
"Pada bulan Ramadan, bagaimana hotel-hotel membuat pakej - kerana mereka tahu seluruh dunia akan mengejarkan fadilat Lailatul Qadr di Masjidil Haram - jadi mereka menjual pakej 10 malam," jelas beliau lagi.

KembaraUstaz.sg yang lazimnya menyediakan dua jenis pakej umrah - klasik dan eksekutif - memilih untuk menawarkan satu jenis pakej sahaja buat bulan Ramadan.
Ustaz Fizar menjelaskan, "Untuk pakej Umrah Ramadan, kerana harganya tinggi, kita hanya menumpukan kepada pakej klasik di mana kita menggunakan hotel lima bintang yang dekat. Ini faktor yang penting. Jemaah mengejar fadilat untuk solat di Masjidil Haram."

"Selalunya setelah waktu Asar, orang sudah iktikaf di masjid, berbuka, tarawih, ada yang tidak balik. Jadi kalau jarak hotel terlalu jauh, selalunya mereka akan solat di luar masjid atau di jalanan. Jadi untuk pakej kami, kami mengambil antara hotel terdekat dengan Masjidil Haram supaya para jemaah mempunyai kesenangan untuk ke masjid," tambah beliau lagi.
PERMINTAAN UMRAH AKHIR RAMADAN TIGA KALI GANDA LEBIH TINGGI DARIPADA TAHUN LALU
Lagi sebuah GSA yang menawarkan pakej Umrah Ramadan kali ini ialah Noah Travel.
Untuk tahun ini, GSA itu menyediakan pakej Awal dan Akhir Ramadan.

Buat pakej akhir Ramadan, pengarah syarikat itu, Reka Sungkar mendedahkan bahawa permintaannya melonjak tiga kali ganda berbanding setahun lalu.
Cik Reka berkata, "Tahun lepas kerana harganya tinggi, permintaan kurang. Tahun lepas, kita ada 20 jemaah, tahun ini ada sekitar 60 jemaah dan slot semua sudah diisi sepenuhnya. Sebenarnya masih ada yang ada ingin mengikuti tetapi slot sudah dijual sepenuhnya."
Cik Reka mengatakan bahawa harga pakej umrah Ramadan yang ditawarkan tahun lalu hampir setara dengan pakej haji kerana harga terlalu tinggi bagi penginapan hotel.

Tahun ini, Noah Travel juga mencuba untuk mengurangkan kos para jemaah dengan menempah hotel khusus semasa bulan Ramadan - berbeza dengan hotel yang ditempah mereka untuk bulan-bulan lain.
Cik Reka berkata: "Hanya untuk bulan Ramadan, kita menginap di Hotel Olayan Ajyad. Ia sekitar 80 meter dari Masjidil Haram. Biasanya kita menginap di hotel di Swissotel Menara Jam yang sangat dekat dengan Masjidil Haram."
"Saya rasa saya tidak akan ambil hotel di Menara Jam dengan harga yang terlalu tinggi untuk jemaah kita. Lebih baik hotel kita dekat tetapi berpatutan. Jemaah juga tidak memikirkan perlu menginap di hotel lima bintang yang sangat cantik untuk bulan Ramadan kerana sebahagian besar waktu kita akan luangkan di masjid."
"Kalau sekarang ini kita boleh menawarkan harga S$6,200 buat pakej kami, tetapi kalau saya ambil hotel di Menara Jam harganya boleh mencecah S$15,000. Kita melihat dengan wang itu lebih baik untuk dimanfaatkan untuk perkara lebih baik," tambah Cik Reka lagi.

Berbeza dengan menunaikan umrah pada bulan-bulan lain, Noah Travel juga mengurangkan lawatan ke lokasi-lokasi menarik dan bersejarah di sekitar Makkah dan Madinah.
Cik Reka mengatakan bahawa antara sebabnya adalah sebahagian besar jemaah yang menunaikan ibadah umrah semasa bulan Ramadan adalah mereka yang mempunyai pengalaman dan ada yang sudah pernah ke tempat-tempat itu.
Beliau berkata: "Memang mereka sudah tahu apa yang mereka ingin lakukan di sana. Mereka ada rancangan sendiri. Ada yang ingin beriktikaf, ingin khatam Quran dan mereka tidak terlalu mengikut jadual perjalanan. Kita masih juga ada jadual perjalanan tetapi hanya sebagai garis panduan sahaja. Biasanya 80% mereka sudah ada rancangan tersendiri."
"Di dalam jadual masih ada lawatan di Makkah dan Madinah tetapi jemaah akan ingin meluangkan masa di masjid, mereka juga pernah melawat sebelum ini. Jadi daripada 60 jemaah, mungkin hanya 10 yang ingin ikut ke tempat-tempat," tambah beliau lagi.

Menurut laporan Saudi Gazette, lebih 8 juta jemaah mengerjakan ibadah umrah dalam dua minggu pertama Ramadan tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.