Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan bagi lampu lap-lip mesra alam bertambah, jimat tenaga dan biaya

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para penjual lampu hiasan Hari Raya menyaksikan lebih banyak permintaan untuk pilihan lampu lap-lip yang mesra alam, tahun ini.

Permintaan bagi lampu lap-lip menggunakan tenaga suria misalnya, melonjak sebanyak 50% berbanding tahun lalu.

Selain dapat mengurangkan pengeluaran karbon, lampu hiasan mesra alam itu juga boleh menjimatkan bil elektrik.

LAMPU LAP-LIP LED JIMAT 85% TENAGA DAN BIL

Dari mata kasar, lampu hiasan tersebut sama sahaja dengan lampu lap-lip biasa tapi ia sebenarnya boleh menjimatkan tenaga elektrik sebanyak 85%.

Menggunakan teknologi diod pancaran cahaya (LED), lampu lap-lip yang dijual di IKEA itu juga boleh tahan lebih lama.

--

Tempoh hayat lampu-lampu ini 20 kali lebih lama berbanding lampu pijar.

Selain itu, terdapat juga pilihan mesra alam lain seperti lampu yang menggunakan tenaga bateri yang boleh dicas semula.

"Ia bukan sahaja menjimat tenaga. Ia cantik. Lampu lap-lip di belakang menggunakan bateri. Kami melancarkan bateri yang boleh dicas semula tahun lalu. Jadi sejak tahun lalu, kami tidak mengeluarkan bateri alkalin. Oleh itu, menyelamatkan alam sekitar dan menjimatkan wang," kata Encik Tariq.

Boleh dicas semula sehingga 500 kali, penggunaan bateri jenis ini boleh mengurangkan pembaziran dan sisa selain dapat menjimatkan wang.

Selain dua inovasi ini, terdapat juga pilihan lampu lap-lip yang menggunakan tenaga suria.

Contohnya pada 2019, IKEA menampilkan produk lampu lap-lip yang tidak memerlukan tenaga elektrik tapi sebaliknya, tenaga suria.

--


Produk yang dimaksudkan itu adalah Solarvet.

Bergantung pada pancaran matahari, Solarvet lazimnya memerlukan tempoh masa antara sembilan hingga 12 jam untuk dicas penuh.

Apabila ia sudah dicas sepenuhnya, lampu itu boleh bernyala sekitar 12 jam.

Sehubungan itu, Encik Tariq berkata IKEA melancarkan lampu LED pada tahun 2015 dalam usaha membantu mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau seperti karbon dioksida.

"Jika setiap daripada pelanggan kami menukar lampu mereka kepada lampu Solhetta, kami boleh mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 45,000 tan dalam setahun," kata beliau.

PERMINTAAN LAMPU LAP-LIP TENAGA SURIA NAIK 50%

Seperti IKEA, syarikat Starzdeals Pte. Ltd. turut menjual pelbagai jenis lampu lap-lip yang menggunakan tenaga suria.

Menurut pemilik Starzdeals, Cik Juvian Low Li Mei, lampu lap-lip tenaga suria sebegitu perlu diletakkan di bawah pancaran matahari sekitar enam jam bagi mengecasnya.

--

Tambahnya, permintaan bagi lampu lap-lip tahun ini naik lebih 50 peratus berbanding tahun lalu.

"Lampu solar bukan untuk rumah dengan halaman sahaja. Ia boleh digunakan di mana-mana. Juga termasuk perumahan HDB. Boleh sahaja letak panel itu di luar untuk mendapatkan pancaran matahari," ujar Cik Juvian.

Berharga antara $10 hingga $19, lampu lap-lip menggunakan tenaga suria ini boleh bertahan selama enam jam apabila dicas penuh.

"Jika anda guna lampu lap-lip yang menggunakan tenaga elektrik, anda mungkin gunakan lima hingga lapan watt bagi lampu 10 meter. Untuk tenaga suria, anda tak perlu bimbang apa-apa, hanya sinaran matahari," tambah beliau.

Selain itu, Cik Juvian berkata bahawa lampu lap-lip tenaga suria bukan sahaja mudah diguna tetapi juga amat selamat.

Memandangkan ia voltan rendah, ia dijangka boleh bertahan lebih lama berbanding lampu lap-lip yang menggunakan elektrik.

TIP JIMATKAN ELEKTRIK DALAM CNA GREEN PLAN CHALLENGE

Selain menggunakan inovasi-inovasi mesra alam ini, orang ramai juga boleh mempelajari tip-tip untuk menjimatkan elektrik sekali gus mengurangkan pengeluaran karbon menerusi episod dalam siri baru CNA Green Plan Challenge.

Penerbit-penyampai saluran radio Ria 897, Fadli Kamsani yang merupakan antara pengacara siri itu berkongsi mengenai apa yang boleh dijangkakan para penonton.

"Tentu sekali para penonton boleh siap sedia untuk pelajari perkara-perkara baru yang mungkin sebelum ini mereka tidak tahu. Iaitu cara-cara yang terbaik untuk kita menjimat tenaga. Sebagai contoh, daripada mengacara program ini, baru saya tahu yang kita sebenarnya boleh memantau kegunaan elektrik rumah hanya menerusi aplikasi di telefon bimbit anda," kata Fadli.

Selain pengeluaran karbon, siri ini juga memaparkan isu-isu seperti ekonomi hijau serta gaya hidup lebih mampan.

Siri ini boleh ditonton menerusi meWATCH serta Saluran 5 dan CNA.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan