Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan bagi kursus IT meningkat, kadar pengambilan kerja dan gaji lulusan SIT kini lebih tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Institut Teknologi Singapura (SIT)menyaksikan peningkatan sebanyak 20 peratus tahun ke tahun dalam jumlah pemohon bagi kursus-kursus berkaitan Teknologi Maklumat (ICT) sepanjang tiga tahun lalu.

Ini termasuk kursus-kursus seperti Kejuruteraan Komputer, Pengunaan Kecedasan Buatan (AI) dan Rantaian Bekalan Digital.

Menurut Timbalan Presiden (Industri & Komuniti), Institut Teknologi Singapura (SIT), Bernard Nee, jumlah yang semakin meningkat ini dipacu perkembangan pesat dalam ekonomi digital.

"Ini menyebabkan permintaan tinggi untuk para profesional yang mahir dalam pelbagai bidang dari permainan video (gaming) hingga ke keselamatan siber. Kami juga menjangkakan permintaan dalam kursus ICT ini akan terus meningkat dalam tahun-tahun mendatang," kata Encik Bernard Nee.

Beliau turut menekankan betapa pendekatan pembelajaran SIT membolehkan pelajar belajar daripada pengalaman dalam dunia nyata.

"Graduan kami diterima baik oleh syarikat melalui Program Pengajian Kerja Bersepadu (IWSP) dengan purata separuh daripada syarikat menawarkan pekerjaan sepenuh masa tetap kepada pelajar sebelum mereka tamat pengajian," kata Encik Bernard Nee.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
AMIR RAFIE DAPAT PEKERJAAN TETAP SEJURUS SELEPAS LATIHAN AMALI

Antara yang meraih manfaat daripada pendekatan sedemikian ialah lulusan program Sains Komputer dalam Simulasi Interaktif Masa Nyata, Amir Rafie Mohamad Jasmani.

Dalam masa dua bulan sahaja selepas latihan amalinya, beliau sudah mendapat tawaran kerja meskipun belum tamat pengajian.

Beliau yang pernah mengimpikan kerjaya dalam bidang permainan video sejak kecil lagi, membulatkan tekad untuk mencapai impiannya ini.

Amir yang kini berusia 28 tahun bertugas sebagai Jurutera Perisian di syarikat digital Blackmagic Design.

"Kerja saya di Blackmagic Design memang mencabar. Tapi amat memuaskan kerana saya tolong dengan membina perisian Da Vinci Resolve ini. Software ini digunakan untuk kebanyakkan suntingan video, produksi dan bermacam lagi. Jadi saya amat puas nampak orang gunakan perisian itu untuk membina perkara-perkara yang lain," kongsi Encik Amir.

Menurutnya minat dalam bidang perisian komputer itu bermula ketika beliau di sekolah rendah lagi.

"Saya ingin tahu bagaimana orang buat permainan video ini. Dari situ saya cari, lihat video bagaimana studio-studio ini membuat pengaturcaraan permainan semua dan dari kecil mak bapa saya bilang saya, lebih baik jadi orang yang membina dari yang mengguna sahaja," kata Encik Amir.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
"Semasa sekolah rendah, saya masuk kelab CCA robotik. Dulu kami menggunakan banyak robot lego. Ada orang yang akan tolong membina robot itu, ada orang yang membuat program untuk robot itu, untuk beritahu robot itu apa yang harus dibuat untuk pekerjaan yang ada," tambahnya.

Latihan amali yang dijalankan di syarikat pengangkutan Singapura, SMRT juga banyak membantu Encik Amir terdedah kepada industri dan menimba ilmu dalam dunia nyata.

"Di SMRT saya tolong mereka dengan latihan perisian dalam realiti maya (VR) dan menggunakan enjin permainan Unity. Saya belajar banyak, dapat bekerja dengan orang-orang yang dalam industri itu, tahu apa yang saya perlu lakukan untuk membina perisian-perisian yang orang perlukan untuk kerja mereka," kata Encik Amir.

Beliau kini merancang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan mahu bekerja dalam industri permainan video kelak.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
"Untuk sekarang saya fikir saya nak ambil sarjana saya. Sekarang kebanyakan program sarjana ada dalam AI (Kecerdasan Buatan) dan itulah bidang yang paling popular dalam kebanyakan syarikat tapi untuk masa hadapan, saya fikir hendak masuk dalam industri permainan video kerana itu apa yang saya suka dari kecil.

"Jadi saya ingin jadi pengatur cara permainan video dan penerbit insya-Allah pada masa hadapan.

TINJAUAN PEKERJAAN SISWAZAH SIT

Menurut Tinjauan Pekerjaan Siswazah (GES) SIT, para graduan dalam kursus yang diikuti Amir secara purata mendapat gaji bulanan kasar sebanyak S$5,500.

Ini jauh lebih tinggi berbanding gaji permulaan graduan SIT iaitu sebanyak S$3,950.

Dalam tinjauan yang sama, SIT juga mendapati bahawa sebanyak 91.6 peratus pelajarnya berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Jumlah pelajar yang mendapat pekerjaan sepenuh masa pula melonjak sebanyak 86.6 peratus berbanding kohort 2021.

Selain itu, gaji permulaan para graduan SIT juga meningkat sebanyak S$400 dari 2021 kepada 2022.

Untuk kekal relevan dengan industri semasa, SIT cuba menawarkan program-program baharu yang ada permintaan.

Misalnya, lulusan kohort pertama kursus SIT, 'Pengurusan Pengangkutan Udara', mencatat kadar pengambilan kerja sebanyak 90 peratus tahun lepas.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan