Permintaan bagi kucing baka import stabil; lebih ramai pelanggan prihatin tentang syarat pemilikan kucing
SINGAPURA: Permintaan bagi kucing baka import kekal stabil menjelang pelaksanaan rangka kerja pengurusan kucing yang berkuatkuasa pada Ahad ini, 1 September 2024.
Demikian menurut dua penjual kucing import yang dihubungi BERITA Mediacorp.
Di bawah peraturan baru itu, para pemilik dibenarkan memelihara hingga dua kucing di flat HDB dan hingga tiga kucing di rumah privet.
Mereka juga perlu mendapatkan lesen bagi setiap kucing sebelum September 2026 dan memenuhi syarat pelesenan.
Ini termasuk menjalani kursus tentang penjagaan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab dan memasang mikrocip pada kucing mereka.
PERMINTAAN BAGI KUCING BAKA IMPORT STABIL
Pemilik Designer Bengal Singapore Encik Alfred Khan berkata penjualan kucing baka import di kedainya merosot selepas rangka kerja pengurusan kucing itu diumumkan.
"Dari permulaan rangka kerja ini (diumumkan) pada Mei yang lalu, penjualan kita menurun sekitar 40 peratus sebab saya percaya ada beberapa pelanggan ini yang agak keliru dengan rangka kerja itu. Ada yang sudah ada kucing, sama ada ingin membeli satu lagi kucing. Mereka juga berfikir tentang kesan yang datang akibatnya," kata Encik Alfred kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Walau bagaimanapun, permintaan kembali seperti biasa pada bulan seterusnya.
"Selepas kesedaran dan pendidikan daripada pihak kami di mana kami beri banyak bantuan apabila mereka ke sini untuk mereka mempunyai pemahaman yang lebih jelas tentang kepentingan untuk membuat keputusan yang baik apabila membeli kucing. Selepas bulan itu Alhamdulillah, perniagaan sudah kembali seperti biasa," kata beliau.
PEMBELI LEBIH PRIHATIN, TANYA BANYAK SOALAN SEBELUM DAPATKAN KUCING
"Kami perhatikan terdapat peningkatan dalam kesedaran pelanggan mengenai tanggungjawab pemilikan kucing. Mereka lebih berhati-hati dan bertanya banyak soalan mengenai proses pelesenan dan penjagaan jangka panjang. Memang ada pelanggan yang pada awalnya keliru dengan peraturan baharu ini tetapi kami mengambil inisiatif untuk memberi penerangan yang jelas sama melalui laman web kami, perbualan semasa sesi lawatan dan juga melalui media sosial kami. Kami juga menyediakan panduan dan bantuan dalam proses pelesenan ini agar pelanggan lebih faham dan dapat mengikuti peraturan dengan mudah.
"Ada yang sebelum ini tertanya-tanya jika sekarang mereka mempunyai lima kucing, apa yang mereka perlu lalukan. Adakah perlu hantar kucing mereka untuk diambil tetapi secara lazimnya, mereka harus (terus) menjaga kucing yang mereka ada sekarang dan hanya perlu melesenkan semua kucing-kucing mereka," jelas Encik Alfred.
KUCING WAJIB DIKEMBIRI & DIPASANG MIKROCIP DI DESIGNER BENGAL SINGAPORE
Anak-anak kucing itu akan dikembiri apabila ia berusia enam bulan.
Para pemilik kucing terutama pemilik kali pertama diajar tentang penjagaan kucing baka yang mereka beli agar menjadi pemilik yang lebih bertanggungjawab.
"Dengan kucing yang sudah dikembiri dan dipasang mikrocip, pelanggan kami mendapat ketenangan bahawa kucing mereka ini semua sihat dan mematuhi peraturan. Proses ini juga memudahkan pelanggan di mana mereka tidak perlu bimbang tentang proses atau prosedur penambahan selepas pembelian," kata Encik Alfred.
Para pemilik kucing terutama yang baru pertama kali ingin memelihara kucing, malah diberikan latihan untuk pengurusan kucing mereka, agar dapat menjadi pemilik yang lebih bertanggungjawab.
ADA PEMILIK KUCING BAHARU AGAK PRIHATIN & BANYAK BERTANYA TENTANG RANGKA KERJA PENGURUSAN KUCING
Pemilik Genetique Cats Encik Andrew Choo pula berkata perniagaannya tidak terjejas dengan pengumuman rangka kerja pengurusan kucing itu.
"Mereka (para pemilik) yang sudah mempunyai kucing sebelum peraturan baharu itu dikuatkuasakan, memang sudah ada banyak kucing di flat HDB mereka jadi mungkin pemikiran mereka ialah ia tidak menjejas mereka sama sekali," kongsi Encik Choo kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Namun begitu, ramai pelanggan yang berhasrat untuk memelihara kucing untuk kali pertama yang prihatin tentang syarat-syarat baharu itu.
"Berapa banyak kucing yang boleh dipelihara di HDB, jumlah minimum dan maksimum sebelum dan sesudah September apabila ia dikuatkuasakan, perkara-perkara sebegini (yang mereka tanya)," jelas Encik Choo.
JALANI BEBERAPA PROSES SEBELUM DAPATKAN KUCING; CEGAH PEMBIAKAN
Genetique Cats menyaring semua pelanggan yang berhasrat untuk membeli kucing di kedai itu.
Ini bagi memastikan pembeli itu mendapatkan kucing untuk dipelihara dan bukan untuk tujuan membiak.
"Pertama sekali, mereka perlu memuat janji temu dengan kami dan perlu menjalani kursus pengurusan haiwan kami. Dan kemudian, kami akan mengajar pemilik baharu cara-cara untuk menjaga kucing. Selepas itu, kami bertanyakan mereka beberapa soalan seperti di mana mereka tinggal, bekerja dan sama ada mereka sangat sibuk sebagai pasangan atau mempunyai anak di rumah.
"Jadi semua ini perlu dipertimbangkan apabila mendapat haiwan peliharaan kerana ia seperti satu komitmen jangka panjangkan? Jadi jika semuanya baik, kami akan menjualnya, sebab kami juga pernah menolak beberapa pelanggan sebelum ini yang cuba membeli anak kucing daripada kami. Kami bimbang ada yang membeli anak kucing semata-mata untuk tujuan membiakkan kucing," jelas Encik Choo.
Semua anak kucing yang diperolehi dari Genetique Cats sudah dipasang dengan mikrochip dan akan dikembiri apabila kucing-kucing itu mencapai berat dua kilogram.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.