Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan akaun simpanan peribadi meningkat dalam kalangan kanak-kanak; perlu langkah keselamatan sewajarnya

Terdapat seruan untuk segera menangani celik kewangan kanak-kanak terhadap penipuan sedang permintaan bagi akaun-akaun bank peribadi dalam kalangan muda terus meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Terdapat seruan untuk segera menangani celik kewangan kanak-kanak terhadap penipuan sedang permintaan bagi akaun-akaun bank peribadi dalam kalangan muda terus meningkat.

Menurut salah seorang pengamat industri, walaupun golongan belia kini lebih sedar mengenai pengurusan kewangan, masih perlu ada langkah-langkah sewajarnya untuk membantu mereka memahami risiko daripada perbankan digital.

Contohnya, akaun MyOwn OCBC yang baharu dilancarkan membolehkan kanak-kanak berusia antara tujuh dengan 15 tahun untuk memiliki kad debit bagi membuat pembelian.

Namun, mereka tetap tidak boleh berbelanja sakan kerana ibu bapa mereka boleh menetapkan had jumlah perbelanjaan.

"Para pelanggan yang membuka akaun bank pada usia 16 tahun telah meningkat sekitar 25 peratus tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu sejak 2022.

"Jadi ini menunjukkan terdapat peri penting bagi golongan muda yang ingin memiliki akaun simpanan peribadi masing-masing.

"Dan apabila kita bercakap dengan para ibu bapa, bagi kanak-kanak bawah usia 16 tahun, mereka juga mempunyai keinginan yang sama," kata Ketua Pengurusan Kekayaan OCBC Singapura, Tan Siew Lee.

Dengan permintaan yang meningkat itu, bank-bank tempatan berusaha meningkatkan celik kewangan bagi kanak-kanak.

Contohnya, UOB mengadakan bengkel kemasyarakatan bagi mengajar kanak-kanak mengenai konsep asas pengurusan wang.

DBS juga meluaskan program pendampingan celik kewangan untuk meliputi sekurang-kurangnya 100 sekolah tempatan.

Sesetengah ibu bapa berkata konsep seperti menabung dan berjimat semasa berbelanja adalah penting.

Namun sesetengah pengamat industri memberi amaran bahawa lebih banyak pemantauan dari ibu bapa masih diperlukan.

Ini kerana kanak-kanak belum lagi boleh mendakapi sepenuhnya konsep perbankan digital.

"Kebimbangan paling besar yang saya ada mengenai akaun sedemikian adalah kes penipuan.

"Jadi terdapat ramai penipu yang menyasarkan golongan lebih berusia.

"Kini, mereka mungkin menyedari dengan akaun-akaun ini, kita boleh menyasarkan golongan lebih muda yang mungkin tidak begitu memahami penggunaannya," kata Profesor Sumit Agarwal dari Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS).

Menurut laporan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Ogos lalu, belia berusia 19 tahun dan ke bawah membentuk sekitar tujuh peratus daripada kesemua mangsa penipuan pada separuh pertama tahun ini.

Skim penipuan e-dagang merupakan antara skim penipuan yang paling kerap berlaku.

Menteri Negara bagi Ehwal dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Sun Xueling mengalu-alukan pelancaran akaun bank sedemikian untuk kanak-kanak, namun beliau menekankan peri penting keselamatan digital.

"Kita juga harus mengajar mereka tentang bahaya yang berkaitan dengan akaun-akaun sedemikian, seperti lebih pendedahan kepada kes penipuan.

"Malah mengikut statistik, kami sudah dapat melihat ramai orang muda yang menjadi mangsa skim penipuan, jadi kita perlu mendidik anak-anak kita sejak dari usia muda lagi mengenai apa itu skim penipuan," kata Cik Sun.

Beliau menambah, perlu ada langkah-langkah keselamatan sewajarnya untuk mengelakkan kanak-kanak daripada menjadi mangsa penipuan sedang Singapura semakin mendakapi pendigitalan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan