Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permata SG sedia 100 set makanan setiap hari pada Ramadan bagi keluarga kurang bernasib baik

Anggaran Waktu Membaca:
 Permata SG sedia 100 set makanan setiap hari pada Ramadan bagi keluarga kurang bernasib baik

Pengarah Kulinari Permata Singapore, Cef Mel Dean. (Gambar: Permata Singapore)

BERITAmediacorp: Buat julung-julung kalinya, restoran Permata Singapore akan menaja 100 bungkusan makanan setiap hari untuk keluarga-keluarga kurang bernasib baik dalam bulan Ramadan bermula Selasa (28 Mac).

Ia hasil kerjasama Permata Singapore dengan GRC Jalan Besar untuk membantu keluarga memerlukan di kawasan tersebut.
Permata Singapore yang terletak di Gedung Kuning. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)
Pengarah Kulinari Permata Singapore, Cef Mel Dean, memberitahu BERITAmediacorp langkah untuk memulakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam bulan Ramadan adalah sebagai menyokong anggota masyarakat yang sedang berdepan cabaran ekonomi tidak menentu, yang menjejas pendapatan ramai orang disebabkan kelembapan ekonomi sejagat, kehilangan pekerjaan dan kenaikan ketara harga sewa serta bayaran ansuran bagi gadai janji sejak setahun lalu.

"Menyumbang kepada keluarga-keluarga kurang bernasib baik dalam bulan Ramadan ini meninggalkan kesan yang mendalam ke atas masyarakat. Terutama sekali mereka yang bergelut dengan kemiskinan.

"Bagi restoran Permata dan saya sebagai pengarah kulinari, untuk membantu individu-individu sedemikian boleh menjadi cara untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan mereka yang memerlukan," kata Cef Mel Dean.
Cef Mel Dean di Permata Singapore. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)
Sebagai pengarah kulinari, beliau turut menekankan bahawa pihaknya perlu memastikan individu-individu kurang bernasib baik mendapat akses kepada makanan berkhasiat dan lazat semasa bulan suci ini.

"Tambahan pula, menyumbang kepada golongan kurang bernasib baik semasa Ramadan adalah komitmen kami kepada tanggungjawab sosial dan pendampingan masyarakat. Ia juga membantu menjalin hubungan muhibah antara pelanggan dan memperkukuh reputasi restoran sebagai perniagaan yang menyedari tanggungjawab sosialnya," ujar Cef Mel Dean.

Bermula Selasa (28 Mac), Permata Singapore menyediakan sebanyak 100 bungkusan makanan untuk diagihkan menjelang pukul 4.30 petang setiap hari.

Menunya terdiri daripada satu hidangan utama seperti rendang, ayam balado, ikan lemak cili padi, ayam palumara dan hidangan sampingan seperti begedil, telur dadar, sambal telur dan sayur-sayuran.

Cef Mel Dean menyifatkan hidangan-hidangan yang disediakan sebagai 'comfort food'.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan GRC Jalan Besar untuk membantu mereka yang memerlukan. Selain itu, kami merancang untuk meneruskan kerjasama ini menjangkaui bulan Ramadan; untuk membawa keluarga-keluarga yang menetap di flat-flat sewa datang makan di Gedung Kuning," kongsi Cef Mel Dean kepada BERITAmediacorp.

2 ORANG MAKAN, 1 ORANG BAYAR

Buat pertama kali juga, Permata Singapore mengadakan promosi dua orang makan, satu orang bayar atau ‘1 for 1’ bagi menu bufet Ramadan tahun ini.

Dari 23 Mac hingga 20 April, Permata Singapore yang dikenali dengan hidangan nusantara, menawarkan menu bufet pada harga S$88++ seorang.

Dengan promosi '1-for-1' itu, bermakna para pelanggan akan menikmati potongan harga 50 peratus!

Selain itu, kanak-kanak berusia lapan tahun dan ke bawah makan percuma.

"Untuk menyokong masyarakat, Permata menawarkan promosi Bufet Ramadan 1-FOR-1 dengan kod promosi: IFTAR2023," menurut restoran itu menerusi kenyataan medianya.

MEE MAIDIN IKONIK DARI BUSSORAH ST

Hidangan-hidangan yang ditawarkan dibahagikan kepada enam 'stesen' - Laksamana, Bendahara, Pembuka Selera, Sri Paduka, Belanga Bentara dan Manisan.

Setiap 'stesen' itu menawarkan hidangan dalam kategori berbeza-beza.
Enam 'stesen' bufet di Permata Singapore dalam bulan Ramadan 2023. (Gambar: Cef Mel Dean)
Misalnya, Laksamana merupakan sudut di mana terletaknya makanan laut dan salada. Manakala Bendahara bakal membuat pelanggan terliur dengan hidangan yang dibakar, seperti Rusuk Percik, secara langsung di depan mata.
Cef Mel Dean, memberitahu BERITAmediacorp, salah satu makanan yang mesti dicuba ialah Mee Maidin.
Mee Maidin yang berasal dari Bussorah St pada tahun 1940an. (Gambar: Cef Mel Dean)
Ia bukan Mee Maidin goreng seperti yang dijual di Malaysia. Sebaliknya, Mee Maidin itu merupakan makanan ikonik yang berasal dari Bussorah St pada tahun 1940-an.

Maka, Cef Mel Dean memberitahu BERITAmediacorp Mee Maidin itu sememangnya hidangan asli Singapura!

Rupanya seperti Mi Rebus tetapi bezanya terletak pada rasanya. Mee Maidin mempunyai rasa udang geragau yang menyerlah.
'Stesen' Mee Maidin. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)
Antara hidangan ikonik lain termasuk Ayam Palumara - yang diinspirasikan dari Sulawesi Utara - dan Botok-Botok Barramundi - ciptaan Cef Mel Dean sendiri.

Yang pasti, para pelanggan akan dapat menikmati lebih 30 hidangan yang membawa mereka menelusuri zaman apabila berbuka di Permata Singapore.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan