Permainan SABOTAJ suntik elemen gamifikasi dalam pembelajaran bahasa dan budaya Melayu

Pelajar asal Sri Lanka, Galuge Chimashi Sanduni Fernando (duduk, kanan, melestarikan kenangan bersama pengetua dan tetamu terhormat, banyak mendalami Bahasa Melayu melalui Sabotaj. (Gambar: Sekolah Menengah Changkat Changi)
Ia merupakan hasil kreativiti dan inovasi pasukan dari Unit Bahasa Melayu Sekolah Menengah Changkat Changi dan dilancarkan pada Isnin (18 Ogos).
Pada Mei lalu, sebanyak 800 set permainan itu telah dihasilkan dan akan diedarkan ke sekolah-sekolah rendah, menengah dan madrasah.
Ia merupakan hasil inovasi Sekolah Menengah Changkat Changi dan diterbitkan dengan kerjasama syarikat Mini Monsters dan sokongan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).
KENAPA ‘SABOTAJ’?
Para pemain akan diberi sejumlah wang dan mereka perlu mengelilingi papan permainan SABOTAJ dan sepanjang perjalanan, mereka harus menjawab soalan-soalan yang menyentuh aspek tatabahasa, budaya, sastera, adab, nilai dan pengetahuan am.
Pemain yang berjaya habiskan wangnya dahulu, dikira menang!

Pada petak-petak tertentu papan permainan SABOTAJ, ada arahan untuk pemain bertukar tempat duduk atau menukar wang dengan pemain lain.
Terdapat dua jenis kad permainan - satu sesuai untuk sekolah menengah dan satu lagi seseuai untuk sekolah rendah - sejajar dengan profil pelajar yang berbeza.
"Permainan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari tatabahasa Melayu dan juga mendalami nilai-nilai Melayu yang mereka tidak dapat rasakan pada zaman ini seperti falsafah 'tumpang lalu'," ujar Guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Changkat Changi yang bertanggungjawab bagi projek SABOTAJ, Abdul Matin Kassim.
"Apabila mereka berhadapan dengan situasi yang mana mereka harus berjalan di hadapan warga emas ataupun orang-orang dewasa di rumah, mereka tidak tahu bahawa mereka harus menunduk dan mengatakan 'tumpang lalu'. Jadi, kita harapkan bahawa selepas bermain SABOTAJ, mereka dapat mempelajari nilai ini yang mana ia adalah tatasusila mereka sebagai seorang pelajar Melayu dan juga anak di dalam rumah," tambahnya.

Pendekatan alternatif menggunakan permainan sebagai alat bantu mengajar dan untuk menggalakkan penguasaan bahasa, kesusasteraan dan nilai budaya seperti SABOTAJ dipuji tetamu terhormat, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim di majlis pelancarannya pada Isnin (18 Ogos).
“Kita perlu melakarkan pelbagai bentuk pendekatan di mana, yang penting, pelajar kita dapat merasakan keseronokan dan ia relevan dalam kehidupan mereka dan dapat membentuk watak, budaya, dan juga kelakonan mereka dan saya juga harap ini memberikan ruang pembangunan bagi pelajar kita kerana kita pun tahu murid-murid kita ataupun pelajar-pelajar kita sering menghadapi cabaran dalam pembelajaran bahasa ibunda. Jadi saya rasa bersemangat dapat melihat guru-guru Melayu kita masih terus bekerja keras bersama-sama dengan masyarakat dan pemerintah,” kata Dr Faishal.
“Dalam era digital ini, kita sering lihat pendekatan yang berasaskan IT untuk merangsang pembelajaran bahasa Melayu. Namun, pendekatan alternatif yang menggunakan kaedah interaktif, sekaligus memberi kepelbagaian bentuk pendekatan dalam pembelajaran bahasa,” tambahnya.
SAMBUTAN MENGGALAKKAN PARA GURU DAN PELAJAR
Projek permainan papan SABOTAJ mula diterapkan sebagai kaedah pembelajaran bahasa Melayu yang inovatif di Sekolah Menengah Changkat Changi sejak Januari 2023.
Ia juga diedarkan ke Sekolah Rendah Riverside, Sekolah Rendah Fengshan dan Sekolah Menengah Woodlands Ring bagi uji cuba.
Menurut guru Sekolah Menengah Changkat Changi, ia telah mendapat maklum balas positif daripada para guru dan pelajar.
Antaranya ialah pelajar menengah 2 dari Sekolah Menengah Changkat Changi, Galuge Chimashi Sanduni Fernando.
“Sebelum ini, saya banyak bermain permainan dalam bentuk digital. Akan tetapi, apabila guru saya mengenalkan permainan Sabotaj ini kepada saya, saya berasa sangat teruja! Ada banyak elemen keseronokan yang dapat saya rasakan. Saya tak tahu yang permainan yang menggunakan bahasa Melayu juga dapat memberi keseronokan yang sebegitu,” kata Chimashi yang berasal dari Sri Lanka.
“Mula-mula, saya rasa seronok bermain dengan kawan-kawan saya. Namun, apabila saya fikirkan balik, banyak perkara baharu yang saya pelajari melalui permainan ini. Misalnya, kalau dahulu saya asyik eja ‘selsema’, sekarang saya tahu bahawa ejaan sebenarnya adalah ‘selesema’. Saya juga belajar bahawa istilah bagi ‘homestay’ itu adalah ‘inap desa’ dalam bahasa Melayu,” tambahnya.
Unit Bahasa Melayu Sekolah Menengah Changkat Changi kini bekerjasama dengan pendidik prasekolah untuk menghasilkan versi prasekolah SABOTAJ pula yang dijangka siap awal tahun hadapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.