Skip to main content

Singapura

Permainan menembak di luar: Keluarga, penggemar SG makin tertarik dengan 'blaster' gel berbanding senapang Nerf

Sebagai bapa kepada lima orang anak, Encik Zulkifli Aziz, 38 tahun, seringkali mencari hobi baharu untuk mencuba dengan anak-anaknya. Ini memandangkan dua daripada anaknya, yang berusia sembilan dan tujuh tahun, gemar aktiviti seperti permainan video. Justeru, beliau mencuba sedaya upaya untuk menggalak mereka keluar dari rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebagai bapa kepada lima orang anak, Encik Zulkifli Aziz, 38 tahun, seringkali mencari hobi baharu untuk mencuba dengan anak-anaknya. Ini memandangkan dua daripada anaknya, yang berusia sembilan dan tujuh tahun, gemar aktiviti seperti permainan video. Justeru, beliau mencuba sedaya upaya untuk menggalak mereka keluar dari rumah.

Mereka pernah cuba bermain dengan 'blaster' atau senapang mainan yang menembak peluru busa (foam). Kini, mereka tertarik pula dengan blaster gel, di mana manik gel kecil digunakan sebagai "peluru" pilihan.

Ditanya mengenai keistimewaan peluru busa itu, pengurus penjualan berusia 38 tahun itu berkata: "Tidak seperti peluru busa, pelet gel itu akan hancur dengan sendirinya. Kita tidak perlu berjalan-jalan untuk mengambil semula peluru busa selepas setiap perlawanan."

Selepas melihat 'blaster' gel itu dijual di sebuah kedai permainan tahun lalu, Encik Zulkifli pun melakukan pencarian ringkas di platform online dan menemui sebuah kumpulan yang sering menganjurkan permainan fizikal di taman setiap bulan.

"Anak-anak saya suka. Mereka menanti-nantikan hujung minggu untuk bermain 'blaster' gel dengan kanak-kanak lain. Dan saya rasa ia bagus kerana mereka akan bermain di luar rumah dan bukannya tinggal di rumah, melekat pada skrin."

Sejak itu, Encik Zulkifli menghabis sebanyak lebih S$1,000 untuk 'blaster' gel sahaja buat dirinya dan anak-anaknya.

Satu set asas 'blaster' gel dan pelet atau manik boleh menelan kos kira-kira S$150 secara keseluruhan. Pelet biasanya dijual secara berasingan. 'Blaster' gel yang lebih premium dengan aksesori pula boleh dijual pada harga dari S$200 hingga S$700.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, 'blaster' gel mula ditawarkan di kedai mainan utama. Ini menyusuli satu undang-undang baharu yang diluluskan pada 2021 untuk mengawal selia senjata api, bahan letupan dan senjata di Singapura.

Memandangkan undang-undang tersebut jelas menyatakan kesahan senjata serta senjata api replika, kumpulan 'blaster' gel memberitahu Mediacorp bahawa mereka menyaksikan minat terhadap senjata mainan itu semakin meningkat.
Gambar: Nuria Ling/TODAY

Bluebird Gel Blasters, sebuah syarikat online tempatan yang menjual senjata mainan itu, sering menerima pertanyaan mengenai produk itu sejak ia mula menjualnya di sini enam bulan lalu.

Melihat permintaan yang kukuh bagi permainan tersebut, pengasas bersama warga Singapura, Huang Yu Xuan, 34 tahun dan Eugene Tay, 42 tahun, merebut peluang untuk mula menganjurkan permainan setiap bulan atau sekali setiap dua minggu dengan para penggemar. Lebih daripada 20 individu telah turut serta dalam setiap permainan sejak November lalu.

PENGGUNA MEDIA MASIH BELUM TERIMA PERMAINAN TEMBAK 'BLASTER' GEL

Soalan seperti "Adakah ini sah?" atau "Adakah ini dibenarkan di Singapura?" antara yang lazim ditanya kepada syarikat Bluebird Gel Blasters.

Sungguhpun ia dikecualikan daripada Akta Kawalan Pistol, Bahan Letupan dan Senjata, senjata api mainan atau replika masih dianggap sebagai barangan terkawal di Singapura. Pengimportan barangan sedemikian memerlukan kelulusan daripada pihak Pasukan Polis Singapura (SPF).

Gambar: Nuria Ling/TODAY

Encik Tay dari Bluebird Gel Blasters menyentuh mengenai peri pentingnya pendidikan untuk meningkatkan kesedaran.

"Ramai pelanggan datang kepada kami dan bertanya sama ada 'blaster' gel adalah sah. Ramai yang masih tidak tahu bahawa memiliki (satu) adalah sah. Pihak berkuasa tidak mendakwa pemilikan. Mereka (sebaliknya) mendakwa penyalahgunaan."

APAKAH PERTIMBANGAN KESELAMATAN LAIN BAGI SENJATA MAINAN

Encik Huang dan Encik Tay berkongsi bahawa usaha untuk mendapatkan kesahan bagi 'blaster' gel dijalankan melalui beberapa percubaan. Mereka perlu melalui proses yang menyeluruh dan rumit semata-mata untuk memohon permit dengan Jabatan Pelesenan dan Kawal Selia Polis.

Permit sedemikian biasanya mempunyai tempoh sah selama tiga bulan. Ini bermakna pemilik perniagaan perlu memperbaharuinya secara berkala.

Sementara itu, Encik Zulkifli menarik perhatian bahawa beliau memahami bagaimana bermain dengan senjata mainan sedemikian boleh memperlihatkannya sebagai orang tua yang menyokong unsur keganasan secara tidak langsung. Namun, beliau berpendapat bahawa ia juga memberi peluang kepada golongan muda untuk bermain secara aktif, di samping terlibat dalam interaksi sosial dan penceritaan imaginatif.

Gambar: Hydro Strike SG

"Penting untuk menetapkan peraturan serta batasan yang jelas mengenai keselamatan dan tingkah laku yang sesuai ketika bermain.

Apabila dipantau dan dibimbing dengan sewajarnya, permainan sedemikian yang sesuai untuk kanak-kanak boleh mengajar pelajaran berharga mengenai aspek kerjasama, kemahiran melakarkan strategi dan semangat kesukanan.

Gambar: Hydro Strike SG
Sumber : Today/SS/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita